Images

SIM peruntuk hampir $430,000 bagi biasiswa pelajar, Silas Abdul Razak Noor Shah antara penerima

BERITAMediacorp: Institut Pengurusan Singapura (SIM) memperuntukkan hampir $430,000 untuk biasiswa pelajar pada tahun ini - jumlah tertinggi pernah ditawarkan sejauh ini.

Naib Kapten pasukan hoki Singapura, Silas Abdul Razak Noor Shah, salah seorang penerima biasiswa Pendidikan Global SIM.

Silas berkongsi sumber motivasi dan inspirasi beliau untuk meraih kejayaan.


GURU SUMBER INSPIRASI PENERIMA BIASISWA SIM

Jika bulan lalu, Silas membantu pasukan hoki Singapura memenangi pingat gangsa dalam sukan SEA, minggu lalu beliau meraih biasiswa Pendidikan Global SIM yang mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan bakat-bakat luar biasa seperti sukan.

Bagi Silas, pengiktirafan ini sesuatu yang amat bermakna baginya.

Ketika atlit berusia 24 tahun ini menceburi sukan hoki, 15 tahun lalu, beliau tidak mampu membeli alat sukan yang diperlukan.

Mujur, salah seorang gurunya sedar akan bakat Silas dan atas dorongan beliau memberinya inspirasi untuk berjaya.

"Sumber inspirasi saya ialah cikgu saya, Cikgu Hector Gomez. Dia jurulatih hoki dan cikgu saya sejak saya berumur sembilan tahun. Dia orang pertama yang membelikan kayu pemukul hoki dan kasut saya. Dia memberi kita semangat dalam setiap aspek kehidupan kita," kata Silas Abdul Razak Noor Shah.

Silas juga mewakili Singapura di upacara menyalakan obor Sukan Olimpik Belia (YOG) di Greece pada 2010.

Mahasiswa perniagaan ini juga meraih Anugerah CCA Lee Kuan Yew yang berprestij.

Meski cenderung dalam sukan, Silas bertekad untuk membantu keluarganya yang berpendapatan rendah. Ibu Silas tidak bekerja sementara ayahnya seorang pekerja buruh.

Pengalaman hidupnya yang terpaksa membahagikan masa antara pekerjaan, sukan dan pelajaran diharap akan menjadi contoh yang baik buat belia lain.

"Ke depannya, saya harap saya boleh mengadakan bengkel motivasi bagi golongan belia, mengajar mereka membahagikan masa dan mempunyai jadwal yang bagus. Kalau mereka benar-benar ingin berjaya, mereka boleh lakukannya," tambahnya.

Dengan biasiswa yang diterima, Silas tidak perlu bimbang tentang yuran pengajian dan peperiksaan selain mendapat elaun untuk membeli buku.  

- BERITAMediacorp/AQ/ur

Top