Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Sikap 'cinta alam sekitar' satukan belia berbilang kaum dan agama di S'pura

Hidup di dalam masyarakat yang majmuk serta berbilang kaum dan agama merupakan satu cabaran bagi setiap anggota masyarakat di Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Hidup di dalam masyarakat yang majmuk serta berbilang kaum dan agama merupakan satu cabaran bagi setiap anggota masyarakat di Singapura.

Pelbagai isu dan konflik boleh timbul dan ada pihak-pihak yang ingin melihat perpaduan dan keadaan aman sentosa yang dinikmati menjadi kacau bilau dan huru-hara.

Namun begitu, kita sebagai rakyat Singapura amat beruntung kerana pelbagai wadah telah disediakan bagi memupuk persefahaman antara kaum dan agama seperti Pusat Harmoni di Masjid An-Nahdhah dan Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC).

Wadah-wadah ini mencorak pemikiran kita untuk menjadi lebih terbuka serta mengajar kita untuk berlapang dada dalam interaksi seharian kita.

ERTI KEHARMONIAN

Keharmonian membawa maksud sesuatu keadaan yang penuh kemesraan, ia juga berkait rapat dengan penghormatan pihak lain agar tercapai maksud hidup berharmoni dan tersemai kemesraan antara satu sama lain.

(Gambar: Encik Fazlur Rahman Bin Kamsani)

Maka itu, jika kita lihat pada acara-acara yang diadakan di sekolah-sekolah setempat semasa meraikan Hari Keharmonian Kaum, para murid sekolah rendah khususnya, digalak memakai pakaian tradisional mereka ke sekolah pada hari tersebut agar dapat dipamerkan kepada rakan-rakan sedarjah yang berbilang kaum supaya dapat mengenali budaya masing-masing dan memupuk sikap hormat menghormati dan lebih sensitif terhadap topik atau isu yang berbaur perkauman.

'MEMBERSIHKAN' ALAM SEKITAR

Pada 21 September 2019 sempena Hari Memulihara Alam Sekitar, ramai orang akan berbondong-bondong menggembleng tenaga bagi mengutip sampah serta membersihkan sekitaran kita.

(Gambar: Encik Fazlur Rahman Bin Kamsani)

Sempena hari itu, Kuil Shinnyo-En bekerjasama dengan beberapa organisasi lain seperti relawan belia daripada Pertapis, IRCC, dan juga kumpulan Alhawariyyun Masjid Darul Aman.

Usaha murni ini yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pemanasan bumi serta pentingnya menjaga dan memulihara alam sekitar telah disertai oleh lebih 100 relawan daripada pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Acara tahunan ini bermatlamat untuk menyatukan individu-individu daripada pelbagai kaum dan agama untuk sama-sama menyokong nilai universal dalam menjaga kebersihan dan memulihara alam sekitar kita.

KEBERSIHAN ADALAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Pada acara kutipan sampah tersebut, mengikut purata kumpulan, kebanyakan sampah ataau barangan yang dikutip adalah bahan-bahan plastik kecil, serpihan styrofoam dan puntung-puntung rokok dengan jumlah sampah tertinggi dikutip dalam satu bag adalah seberat 18 kilogram.

(Gambar: Encik Fazlur Rahman Bin Kamsani)

Walaupun bahan-bahan ini merupakan barangan ringan dan kecil, namun bagi haiwan seperti burung misalnya, ia tidak dapat membezakannya dengan makanan atau bahan asli yang akan memudaratkan haiwan tersebut.

Maka itu, menjaga dan memulihara alam sekitar menjadi satu tanggungjawab bersama dan bukan setakat tugas pekerja pembersihan saja.

Akhir kata, Hari Kebersihan Sedunia yang disambut setiap tahun merupakan satu peringatan buat masyarakat agar sentiasa mementingkan kebersihan alam sekitar yang bukan sahaja untuk manusia, tetapi juga untuk haiwan dan tumbuh- tumbuhan.

Acara sebegini juga dapat memupuk keharmonian kaum dan persefahaman yang diperlukan untuk mengukuhkan masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan