Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Sidang TCC ajak belia Melayu/Islam kenali pelbagai bidang kerjaya boleh mereka ceburi

Belia Melayu/Islam dipelawa menyertai Sidang Kerjaya Pendidikan Tinggi (TCC) untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bidang-bidang yang boleh atau ingin mereka ceburi - langsung daripada pakar-pakar bidang berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Belia Melayu/Islam dipelawa menyertai Sidang Kerjaya Pendidikan Tinggi (TCC) untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bidang-bidang yang boleh atau ingin mereka ceburi - langsung daripada pakar-pakar bidang berkenaan.

Bermula minggu depan, TCC akan diadakan pada setiap Sabtu pada Julai ini dan merangkumi perkongsian meluas berkaitan bidang pekerjaan yang kian berkembang dalam ekonomi Singapura.

Kembali buat tahun kedua, TCC 2019 ini berharap dapat mendekati 1,000 belia dan menggalak mereka meluaskan jaringan sosial dan memahami trend pengambilan pekerja di Singapura.

SEHINGGA 8 SESI RANGKAIAN DIADAKAN

Tahun lalu, sekitar 300 belia menyertai TCC walaupun ia hanya mengadakan dua sesi rangkaian yang menyentuh tentang bidang Matematik & Sains Semula Jadi serta Sains Kemasyarakatan & Sekitaran. 

Menyusuli kejayaan itu, ia kini diadakan pada skala lebih besar yang mana para peserta boleh meneroka lebih banyak bidang dengan lebih mendalam. Lapan bidang bakal ditinjau kali ini, antaranya termasuk Seni Halus dan Sains Islam.

Dalam setiap sesi, golongan karyawan akan berkongsi resipi kejayaan dan pengalaman mereka menceburi bidang masing-masing.

"Di masa-masa ekonomi sedang berubah, kerjaya kita semakin berbeza. Amat penting melihat bagaimana kita mendapatkan karyawan melibatkan diri dengan para belia untuk memberikan sedikit nasihat dan dorongan, membantu mereka untuk memilih kerjaya yang terbaik dalam masa genting ini," kata Anggota Parlimen GRC Jurong Rahayu Mahzam semasa ditemui BERITAmediacorp di satu acara sempena pelancaran TCC 2019 hari ini (29 Jun).

TCC DIRANCANG SENDIRI OLEH GOLONGAN BELIA

Menariknya, semua sesi-sesi ini dirancang sendiri oleh sekumpulan belia yang mengenal pasti isu-isu yang menghambat mereka dalam lingkungan usia sebaya, untuk mendapat pekerjaan.

Mereka memastikan TCC tahun ini akan menghuraikan masalah di mana mahasiswa lazimnya terlalu mengutamakan keputusan yang cemerlang. Kumpulan sasaran TCC juga adalah mereka yang kurang membuat persediaan awal untuk melangkah ke alam pekerjaan.

"Banyak cabaran yang dihadapi belia kerana pekerjaan yang mungkin wujud pada masa hadapan, tidak ada sekarang. Jadi ini adalah fenomena Industri 4.0 di mana kita harus membuat lebih banyak persiapan awal untuk mencari kerjaya di masa hadapan," kongsi Pengarah Projek TCC 2019, Nuruljannah Hisham.

Di acara perasmian hari ini (29 Jun), Cik Rahayu turut memberi sijil dan hamper kepada kumpulan belia yang membantu dalam penganjuran TCC sebagai tanda penghargaan.

Disokong Kelab Mendaki, TCC akan menjadi jembatan antara golongan belia dengan karyawan selain menawarkan pelbagai maklumat yang akan membantu mereka mendaki tangga kejayaan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan