Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Seni teater Melayu semakin diiktiraf di peringkat nasional

Seni teater Melayu Singapura semakin mendapat perhatian di peringkat nasional. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seni teater Melayu Singapura semakin mendapat perhatian di peringkat nasional.

Pada April tahun ini, sebanyak 13 pementasan dicalonkan dalam satu anugerah teater anjuran sebuah akhbar tempatan yang meraikan karya terbaik dalam teater Singapura.

Jumlah itu adalah satu lonjakan yang besar jika dibandingkan dengan hanya 3 pencalonan tahun lepas.

Perkembangan teater Melayu di Singapura secara keseluruhan yang menggalakkan juga dapat dilihat daripada jumlah kumpulan teater Melayu yang tertubuh hari ini.

Menurut satu tinjauan rambang yang dijalankan oleh BERITAmediacorp, jumlah kumpulan teater Melayu yang aktif di Singapura meningkat kepada sekitar 20 hari ini berbanding kira-kira 10 sahaja sedekad lalu.

Pemangkin utama bagi peningkatan itu adalah kerjasama yang padu di antara para penggiat teater mapan dengan para pelapis baru di samping penampilan kandungan yang dekat kepada perihal kehidupan masyarakat moden di Singapura.

"Apa yang amat jelas adalah terdapat pelbagai peluang dan sokongan yang diberikan kepada kumpulan-kumpulan teater di Singapura hari ini.

Selain itu, isu-isu yang diketengahkan dalam pementasan teater Melayu juga amat relevan kepada kehidupan masyarakat moden khususnya bagi para belia," kata Cik Nabilah Said, Pengasas kolektif penulis teater Melayu Main Tulis.

Berbeza dari seni pementasan tradisional seperti bangsawan dengan penceritaan berdasarkan cerita rakyat, mitos dan elemen-elemen tradisional, kebanyakan kumpulan dan penggiat teater Melayu di Singapura hari ini menampilkan genre kontemporari.

"Teater moden hari ini banyak menerapkan teknologi dalam cara ia dipentaskan tetapi teater Melayu seperti bangsawan dan bersifat tradisional masih lagi dipentaskan sekarang dan masih lagi relevan," kata Encik Fared Jainal, Pengarah Artistik kumpulan Teater Ekamatra.

Namun demikian, bagi para penggiat teater Melayu hari ini, cabaran utama yang dihadapi adalah untuk menjadikan seni teater sebagai satu kerjaya tetap atau sumber rezeki.

Mujur pementasan teater moden yang melibatkan lebih keperluan teknikal dari aspek visual, bunyi, cahaya dan sebagainya memberi ruang kepada para penggiat seni teater untuk mengembangkan kemahiran mereka bukan saja dalam bidang lakonan tetapi juga dalam aspek-aspek lain.

"Sebagai seorang penggiat seni, adakalanya sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang tetap jadi kita harus beranikan diri untuk mencuba disiplin yang baru.

Saya dilatih sebagai seniman seni lukis tetapi saya beranikan diri untuk mencuba bidang teater dan muzik. Jadi dari situ saya dapat belajar cara-cara disiplin yang lain," kata Encik Rizman Putra seorang artis berbilang disiplin.

Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran, masa depan teater Melayu di Singapura kelihatan semakin cerah dengan sokongan dari segi kewangan dan infrastruktur pemerintah dan juga kandungan yang dekat dengan hati masyarakat Singapura hari ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan