Images
  • sg healthcare heroes main
    (Gambar ihsan: SG Healthcare Heroes)

Sekumpulan belia mulakan gerakan julang bakti kakitangan kesihatan; tawar diskaun di lebih 40 kedai

BERITAmediacorp: Apabila pandemik COVID-19 mula melanda, mereka ditabik sebagai antara pejuang barisan hadapan yang rela berkorban demi masyarakat.

Namun apabila satu kelompok jangkitan tercetus dalam kalangan mereka, mereka sebaliknya disisih oleh sudah penat lelah mereka lindungi.

Wira tidak didendang yang dimaksudkan itu adalah para kakitangan kesihatan, yang sumbangan mereka tiada tolok bandingnya dalam usaha mengatasi koronavirus yang mencengkam dunia.

Demi menyanjungi jasa mereka, khususnya kakitangan kesihatan tempatan, sekumpulan belia memulakan daya usaha SG Healthcare Heroes (atau Wira Jagaan Kesihatan SG).

Dan dalam masa sekitar dua bulan saja, bermacam-macam sudah dikecapi inisiatif tersebut.

Selain sokongan dalam bentuk kata-kata pembakar semangat daripada orang ramai, puluhan peniaga tanpa mengira saiz operasi sudah tampil memberi tajaan dalam bentuk diskaun pembelian atau agihan barangan. Malah ada sumbangan yang bernilai hingga puluhan ribu dolar!

Meskipun bukan kecil nilai tajaan yang berjaya dikumpulkan - mentelah lagi mereka hanya sebuah kumpulan baru dan tidak rasmi - pasukan di balik SG Healthcare Heroes menekankan bahawa matlamat utama yang ingin mereka kecapi tidak boleh diukur hanya dengan wang ringgit.

KELOMPOK JANGKITAN DI TTSH CETUS IDEA

"Semuanya bermula ketika berita melaporkan bahawa kes (COVID-19) di Hospital Tan Tock Seng adalah seorang jururawat warga asing, yang mencetuskan diskriminasi yang meningkat terhadap para pekerja kesihatan yang dianggap pembawa virus tersebut," kongsi Nur Fatehah Binte Salim, 27 tahun, pengasas SG Healthcare Heroes kepada BERITA Mediacorp, merujuk kepada kelompok jangkitan yang bermula pada hujung April tahun ini.

Beliau menarik perhatian bahawa apa yang berlaku itu sangat berbeza dengan sokongan yang ditunjukkan masyarakat kepada para kakitangan barisan hadapan dan pekerja kesihatan sebelumnya.

"Kurangnya sokongan, ditambah pula dengan diskriminasi telah menjejas kesejahteraan mental pekerja kesihatan. Ini sesuatu yang semestinya tidak patut mereka hadapi, lebih-lebih lagi apabila mengenang pengorbanan yang telah mereka lakukan demi masyarakat. Oleh itu, kami ingin melakukan sedaya upaya kami untuk menyokong pekerja kesihatan kami," luah beliau, yang bekerja sebagai penganalisis media.

USAHA SERAMPANG TIGA MATA

Sejak tercetusnya ilham, Cik Nur Fatehah kini sudah menarik penyertaan 14 lagi belia termasuk golongan bekerja serta pelajar, yang tidak ingin terlepas menyumbang kepada usaha murni itu.


Pasukan di sebalik SG Healthcare Heroes (Gambar-gambar ihsan: SG Healthcare Heroes)

Setelah perbincangan dengan institusi-institusi jagaan perubatan serta kakitangan di lapangan, kumpulan itu memberitahu BERITAmediacorp, mereka memilih untuk mengambil tiga pendekatan utama dalam kempen tersebut:

  • memberi ruang untuk kakitangan kesihatan meluahkan perasaan dan kongsi pengalaman dalam suasana yang selamat,
  • menggalak masyarakat supaya bersifat lebih ihsan dan memahami serta menunjukkannya menerusi kata-kata perangsang, dan
  • mendapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat untuk memberi sumbangan berbentuk ketara sebagai tanda penghargaan buat para kakitangan kesihatan.

PENGORBANAN DAN PENGHARGAAN SAMA-SAMA DIRAKAM

Semakan di akaun Instagram SG Healthcare Heroes menunjukkan luahan jujur oleh beberapa kakitangan kesihatan yang menceritakan tentang cabaran yang dihadapi mereka. Perkongsiannya boleh dikatakan menjentik jiwa sekaligus mencelikkan mata kepada pengorbanan yang mungkin masyarakat umum kurang sedar atau terlepas pandang.

"Baru-baru ini di wad, seorang jururawat menangis kerana tidak dapat pulang ke negara asalnya selama lebih setahun gara-gara COVID-19," kongsi seorang pakar pemakanan.

"Penat saya risaukan yang kami mungkin boleh menjejas orang yang tersayang apabila kami pulang dari hospital," tulis seorang lagi jururawat.

Pun begitu, jumlah kata-kata semangat yang dikirimkan oleh orang ramai jelas menunjukkan bahawa masih ramai yang menghargai jasa kakitangan kesihatan.

Selain anggota masyarakat biasa, Anggota Parlimen GRC Jurong Xie Yao Quan juga antara sekitar seratus orang yang tidak ingin ketinggalan untuk menulis pesanan di wadah Instagram.

PENGHARGAAN BUKAN 'TANGAN KOSONG'

Kata-kata rangsangan itu sememangnya enak didengar dan sedap dibaca. Namun masakan keringat yang diperah siang malam hanya dibalas secara simbolik dengan madah sahaja?

Lantaran itu SG Healthcare Heroes gigih mencari perniagaan yang sudi menghulur sedikit sumbangan sebagai tanda penghargaan kepada para kakitangan kesihatan.

Dalam tempoh sekitar dua bulan ini, sekitar 15 penaja sudah menyertai usaha mereka. Beberapa perniagaan memilih untuk mengagihkan produk dan pek jagaan kepada para pekerja di institusi-institusi perubatan.

Sumbangan agihan terbesar adalah tajaan bernilai S$29,000 oleh syarikat F&B Swensens yang disalurkan ke poliklinik, pusat klinik pakar dan hospital tempatan.

Selain agihan barangan fizikal, lebih 40 penaja juga memilih untuk menawarkan diskaun pembelian di cawangan-cawangan mereka.


Restoran 'Secret Garden by Zeekri' antara perniagaan yang sokong usaha SG Healthcare Heroes.

SG Healthcare Heroes kini sedang sibuk mengagihkan pelekat untuk ditampal di kedai-kedai yang mengambil bahagian agar lebih senang dikenal pasti oleh para kakitangan kesihatan.

Cara untuk menikmati potongan harga pula amat mudah, hanya perlu menunjukkan pas kerja kakitangan kesihatan apabila membuat pembelian.

Senarai lengkap penaja-penaja itu boleh didapati di pautan ini https://sghealthcareheroes.carrd.co/.

Lebih menarik lagi, kongsi Cik Nur Fatehah, perniagaan kecil-kecilan juga ingin menyumbang berbakti, namun memerlukan sedikit sokongan. Ini penjelasan beliau kepada BERITAmediacorp:

"Ada banyak perniagaan atau syarikat kecil yang juga ingin mengagihkan makanan/pek jagaan namun tidak mampu menanggung kos penghantaran. Kami amat hargai jika terdapat sebarang rakan kerjasama penghantaran yang ingin turut serta sebagai penaja!"

MATLAMAT UTAMA: MASYARAKAT YANG PEDULI

Beliau mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa dalam tempoh dua bulan ini, lebih 900 kakitangan dari lima institusi kesihatan sudah menerima agihan barangan yang disertakan dengan kad mesej penghargaan, dengan 8,000 agihan tambahan dirancang pada Julai.

Menjelang hujung bulan ini pula, pasukannya akan mula menghantar kiriman mesej langsung elektronik (EDM) setiap bulan kepada sekitar 37,000 kakitangan hospital-hospital dalam rangkaian mereka. Ini untuk memaklumkan tentang diskaun dan kod promosi eksklusif buat mereka.

Ditanya oleh BERITAmediacorp apa lagi yang sedang mereka rancang untuk mengembangkan lagi usaha itu, Cik Nur Fatehah berkata matlamat pasukannya bukan hanya "memperluaskan usaha itu semata-mata", tetapi membantu memupuk sebuah masyarakat yang lebih berbelas ihsan.

"Pada akhirnya, kami ingin mencapai tahap di mana masyarakat tidak perlukan (usaha seperti) kami untuk memberi peringatan untuk menunjukkan belas ihsan dan sokongan kepada satu sama lain dalam apa jua bentuk yang terdaya," ujar beliau.

"Kami ingin memberi inspirasi untuk orang lain bangkit dan mengambil tindakan mereka sendiri, baik dalam kehidupan sehari-harian atau pada skala lebih besar." 

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/tq

Top