Images
  • club rainbow main
    Penerima Anugerah Penjaga Contoh, Freida Iryana Jailani, 17 tahun dan Adik-Beradik Contoh, Aniq Irfan, 10 tahun. (Petikan video: Club Rainbow/Facebook)

Remaja 17 tahun Freida Iryana & Aniq Irfan 10 tahun dikurnia Anugerah Penjaga Teladan Club Rainbow

SINGAPURA: Bagi menghargai komitmen dan pengorbanan mereka yang mengasuh kanak-kanak yang memerlukan jagaan jangka panjang, tiga individu dikurniakan Anugerah Penjaga Teladan sementara seorang lagi diiktiraf dengan Anugerah Kepujian bagi Penjaga.

Sebagai sebahagian daripada acara tahunan “Meraikan Wira” (Celebrating Heroes) anjuran Club Rainbow, dua adik-beradik kepada penerima bantuan Club Rainbow menerima Anugerah Adik-Beradik Teladan dan dua lagi mendapat Anugerah Kepujian.

Meskipun acara Meraikan Wira tidak dapat diadakan secara fizikal tahun ini disebabkan oleh pandemik COVID-19, anugerah-anugerah tersebut disampaikan sendiri oleh Penaung Club Rainbow, Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin yang berkunjung ke rumah mereka pada Sabtu (24 Okt).

KAKAK IBARAT IBU

Penerima Anugerah Penjaga Teladan yang paling muda tahun ini, Freida Iryana Jailani, 17 tahun, sanggup memainkan peranan sebagai ibu sepanjang hayat adiknya berusia lapan tahun yang mengalami autisme.

“Saya berasa memang peranan saya sebagai kakak untuk menjaganya,” kata Freida.


Freida ibarat ibu kepada adiknya yang didiagnos dengan autisme. (Petikan video: Club Rainbow/Facebook)

Beliaulah yang menjaga adiknya ketika anggota keluarga lain tiada di rumah dan remaja ini tidak mengenal lelah melayan dan mengasuh adik lelakinya yang didiagnosis dengan autisme pada usia sekitar 5 tahun.

 “Saya belajar untuk menyesuaikan diri dengan keperluannya. Saya belajar supaya lebih bersabar dan memberitahunya supaya melakukan perkara-perkara dengan elok.”


Setelah menyaksikan sendiri kesan bantuannya kepada adiknya yang kini sekurang-kurangnya mampu menjawab apabila disapa oleh orang lain, Freida memilih untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Politeknik Ngee Ann.

Freida bercita-cita untuk membawa keceriaan dan kebahagiaan kepada kanak-kanak berkeperluan khas yang lain sebagai seorang ahli terapi kanak-kanak.

“Saya ingin mendatangkan kesan serupa kepada kanak-kanak lain juga,” ujarnya.

KEMATANGAN TIDAK MENGENAL USIA

Meskipun baru berusia sepuluh tahun, penerima Anugerah Beradik Teladan, Aniq Irfan, sudah mengenal erti sebenar pengorbanan sebagai abang kepada adik perempuannya berusia enam tahun yang mengalami sindrom Down dan leukemia.


Meskipun hanya berusia 10 tahun, Aniq sudah mengenal erti pengorbanan demi keluarga. (Petikan video: Club Rainbow/Facebook)

Aniq mengimbas kembali kenangan dia terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang: “(Adik saya) perlu dimasukkan ke hospital bagi tempoh yang sangat lama.

“(Pada ketika itu) saya berasa sangat, sangat sedih kerana tidak dapat meluangkan masa dengan adik atau ibu bapa saya," kongsi Aniq.

Meskipun dia sendiri masih lagi dianggap seorang kanak-kanak, Aniq menggalas tanggungjawabnya dengan rela hati untuk mengurangkan beban keluarganya dengan melakukan sendiri tugasan harian demi kasih sayangnya sebagai abang.

Aniqlah yang membancuh susu untuk adiknya dan membaringkannya, membaca buku kepadanya dan mengajar kemahiran baru seperti menulis menggunakan pensel.

“Saya tidak selalu keluar rumah untuk bertemu rakan-rakan saya kerana saya lebih rela meluangkan masa di rumah untuk membantu ibu saya dan menjaga adik perempuan saya,” kongsi Aniq.


Penghargaan tersebut diharap akan terus menyuntik kekuatan dan ketabahan kepada para penjaga dan adik-beradik mereka supaya tabah menempuhi cabaran harian, kata Presiden Club Rainbow, Dr Sashikumar Ganapathy.

Orang ramai digalak untuk menunjukkan penghargaan mereka dengan menghulurkan sumbangan derma menerusi laman giving.sg.

Sumbangan derma itu akan membantu Club Rainbow untuk terus menyediakan khidmat-khidmat bermutu kepada para penerima bantuannya. 

- BERITAmediacorp/ha

Top