Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Relawan masjid kongsi pengalaman bermakna, harap remaja sumbang tenaga

Kerja sukarela adalah satu amalan yang mulia. Setiap orang yang terlibat dalam kerja-kerja sukarela adalah orang yang terpuji di sisi agama. Ia akan mendorong manusia untuk terus hidup secara bermasyarakat dan berkongsi ukhwah serta kasih sayang.

Anggaran Waktu Membaca:
Relawan masjid kongsi pengalaman bermakna, harap remaja sumbang tenaga

Para sukarelawan di Masjid Al-Islah. (Gambar: Nizam Khan Photography)

BERITAmediacorp: Kerja sukarela adalah satu amalan yang mulia. Setiap orang yang terlibat dalam kerja-kerja sukarela adalah orang yang terpuji di sisi agama. Ia akan mendorong manusia untuk terus hidup secara bermasyarakat dan berkongsi ukhwah serta kasih sayang.

Sebagai umat Islam, kita perlu menampilkan barisan sukarelawan yang sentiasa bersedia untuk berkongsi khidmat dan keringat untuk membantu orang lain. Peranan kita bukan hanya untuk mengerjakan solat, berpuasa dan membayar zakat, tetapi kita juga digalak memainkan peranan yang lebih luas dengan bekerja untuk memperbaiki masyarakat kita.

Juga penting untuk terus memastikan agar kerja-kerja sukarela dijadikan sebagai satu kebiasaan. Biasanya, umat Islam melihat kerja sukarela sebagai sesuatu yang perlu dilakukan hanya apabila kita tidak mempunyai apa-apa lagi yang perlu dilakukan. Ini tidak sepatutnya berlaku. Jika orang umumnya melihat kerja sukarela sebagai sesuatu yang kurang penting, maka kualiti usaha itu akan berkurangan. Ia mesti sekurang-kurangnya sama penting dengan usaha lain. Para sukarelawan juga mempunyai tanggungjawab lain - terhadap keluarga, pekerjaan, aktiviti sosial misalnya.

Para sukarelawan di Masjid Al-Islah. (Gambar: Nizam Khan Photography) 

(Gambar-gambar: Nizam Khan Photography) 

Perkataan “sukarela”, menurut Kamus Dewan, bermakna “dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa-paksa, tidak dikerah dan dengan rela hati.” Manakala perkataan kesukarelawanan pula membawa makna “orang yang sanggup berkorban dan melakukan kerja-kerja sukarela”.

Dalam Islam terdapat etika sukarelawan yang kuat. Sebagai umat Islam, kita melihat peranan kita sebagai warganegara dunia. Idea untuk bekerja untuk masyarakat atau komuniti yang lebih baik tidak boleh dibatasi kepada masyarakat Islam saja tetapi harus diperluas ke masyarakat bukan Islam yang lebih luas. Kerana kita hidup dalam komuniti itu, apa pun kelemahan yang ada turut mempengaruhi kita.

Persediaan diri yang perlu ada pada sukarelawan adalah kesediaan untuk bekerja dan berkhidmat secara berpasukan dengan para sukarelawan lain. Ini kerana kerja sukarela yang sukar dan mencabar berkehendakkan kemampuan bekerja secara berpasukan yang tinggi, yang berasaskan iman dan ukhwah yang padu.

Sebagai contoh, para sukarelawan di Masjid Al Islah sudah menyumbang tenaga sebelum masjid itu dibangunkan dan mereka menghulurkan bantuan yang besar kepada Lembaga Pengurusan Masjid (MMB) dalam menyokong semua aktiviti di masjid. Mereka adalah kekuatan dan tunggak masjid dan mereka sentiasa datang secara sukarela untuk membantu memastikan semua aktiviti masjid dilaksanakan dengan lancar dan berjalan lancar. Terdapat kira-kira 80 sukarelawan Muslimin dan Muslimah aktif yang berdaftar berusia antara 25 hingga 70 tahun.

Para sukarelawan Masjid Al Islah, yang lebih dikenali sebagai “NADI”, terdiri daripada individu yang ikhlas dengan semangat yang tidak berkesudahan dari pelbagai latar belakang. Sumbangan dan bantuan mereka membantu Masjid Al Islah mencapai visi untuk membangunkan keluarga Islam yang dipertingkatkan secara rohani, progresif dan berdaya tahan kepada masyarakat Punggol khususnya serta penduduk-penduduk di kejiranan yang berdekatan secara amnya.

Terdapat beberapa peranan atau tugas sebagai sukarelawan. Antaranya:

MENYUMBANG DARI SEGI TENAGA KERJA 

Sumbangan dari segi tenaga adalah sumbangan yang sangat-sangat diperlukan oleh sesebuah pertubuhan seperti masjid. Contohnya dalam program Blessing In Harmony anjuran Masjid Al Islah pada 22 September tahun lalu, para relawan Masjid Al Islah bergotong royong mengagihkan barangan asas dan makanan kepada lebih kurang 600 keluarga berpendapatan rendah di sekitar kawasan kejiranan Punggol, hasil derma orang ramai.

DUTA KEBAJIKAN KEPADA MASYARAKAT

Secara tidak langsung, sukarelawan turut menjadi duta kepada masyarakat, khususnya dari aspek kebajikan. Ia mewujudkan satu persepsi yang baik kepada masyarakat iaitu aktiviti sebegini adalah satu aktiviti yang mulia. Fitrah manusia ini suka membantu dan dibantu. Namun tak ramai yang menyedari bahawa untuk dibantu perlulah ada yang membantu.

Oleh itu, melalui kerja-kerja sukarela, masyarakat akan terdidik oleh apa yang kita lakukan, apa yang kita amalkan, iaitu memberi bantuan. Tugas sukarelawan juga adalah untuk mempelawa mereka atau memahamkan mereka bahawa terdapat pelbagai faedah dan manfaat yang mereka boleh diraih daripada aktiviti sukarela.

BERI SEMANGAT KEPADA PENERIMA BANTUAN

Sebagai sukarelawan juga, kita sebenarnya menyuntik semangat kepada para penerima bantuan dan merangsang mereka untuk menuju ke arah yang lebih baik pada masa akan datang. Dengan kepuasan dan keriangan yang terpancar pada wajah para sukarelawan, ia juga sudah cukup untuk memberikan semangat kepada para penerima bantuan. Semangat yang mereka bawa itu akan mereka terapkan dan tingkatkan dalam diri para penerima bantuan supaya mereka tidak rasa keseorangan.

BUAT KAWAN DAN KENALAN BARU

Salah satu cara terbaik untuk membuat kawan baru dan mengukuhkan hubungan adalah dengan melakukan aktiviti secara bersama. Kerja-kerja sukarela adalah cara terbaik untuk bertemu dengan kenalan baru, terutamanya jika anda dianggap sebagai orang baru di sesebuah kawasan. Ia menguatkan hubungan anda dengan masyarakat dan memperluaskan rangkaian sokongan anda, mendedahkan anda kepada orang yang turut mengongsi kepentingan dengan anda, kejiranan dan aktiviti yang menyeronokkan dan memuaskan.

Antara faktor seseorang itu melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela adalah untuk mendapatkan keredaan Tuhan. Bagi orang Islam misalnya, melakukan kerja-kerja sukarela, selagi ikhlas dan tidak bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, akan mendapat balasan pahala.

Asas-asas utama yang perlu dititikberatkan dalam kerja-kerja sukarela adalah memelihara hubungan yang rapat dengan Allah SWT (hablu min Allah) dan pada waktu yang sama, memelihara hubungan sesama manusia (hablu min ‘an nas).

Akhir kata, para sukarelawan yang saya hormati, hayatilah pesanan – pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.” (Riwayat Ibn Hibban)

“Barangsiapa di antara kamu yang mampu memberikan manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia segera memberikan manfaat kepadanya.” (Riwayat Muslim) 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan