Images
  • fitrah main
    (Gambar: MUIS)

Rasa tanggungjawab, ingin lihat masyarakat inklusif jadi motivasi 2 sukarelawan muda FITRAH

SINGAPURA: Seorang adalah siswa bidang sains politik yang baru tamat pengajian di Universiti Nasional Singapura (NUS). Seorang lagi adalah seorang ustazah.

Namun kedua-dua belia itu berkongsi matlamat sama - mahu mendampingi golongan pesalah dan bekas pesalah serta keluarga mereka menerusi kerja-kerja sukarela di Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (FITRAH).

KEINGINAN FAHAMI SISTEM JENAYAH CETUS PERJALANAN FITRAH

Ismail Shogo, 25 tahun, yang baru lulus dengan kepujian tertinggi dari NUS, mula menyumbang tenaga sebagai sukarelawan FITRAH pada Mei 2019.

Encik Ismail berkata titik permulaan pelibatannya dengan badan tersebut adalah apabila dia mengambil satu modul di sekolah mengenai sistem keadilan dan hukuman jenayah.

Memandangkan bahan rujukan yang dibacanya ketika itu banyak tertumpu kepada sistem keadilan di Amerika Syarikat, dia mula tertanya-tanya tentang isu-isu tersebut dalam konteks Singapura.


Lantas apabila terserempak iklan FITRAH di Facebook, Encik Ismail terus merebut peluang.

"Motivasi awal untuk saya sebenarnya itu, untuk benar-benar memahami sistem (keadilan) yang kita ada di Singapura kerana tidak banyak yang ditulis dan diterbitkan tentangnya," kongsi Encik Ismail.

Dia yang bermula sebagai Pendamping masyarakat kini menjadi jurulatih sukarelawan baru di bawah Projek Masyarakat Reben Kuning. Berkongsi lanjut, Encik Ismail berkata kini matlamat utamanya adalah untuk melihat Singapura yang lebih inklusif daripada sedia ada.

"Dan pada saya sebahagian penting proses itu berkait dengan bagaimana kita menyantuni mereka yang dipenjara, atau mereka yang sudah keluar penjara, malah bagaimana kita mendekati jenayah secara amnya," katanya.

"Dan itulah sebabnya saya memilih untuk terus bersama FITRAH."

KALAU TIDAK KITA, SIAPA LAGI?

Turut ingin merubah keadaan dan pemikiran masyarakat adalah Ustazah Maria Mohamed Siddique.

Wanita 29 tahun yang merupakan Pendamping Masyarakat dan Kaunselor Agama itu berkata, beliau meneruskan kerja-kerja bersama FITRAH kerana percaya bahawa golongan asatizah punya tanggungjawab membentuk pandangan masyarakat terhadap bekas pesalah.

Tidak ingin masyarakat terus menganggap bekas pesalah sebagai 'tidak mempunyai masa depan', Ustazah Maria menambah: "Kita sebagai asatizah perlu tukarkan pemikiran itu, kepada yang positif supaya kita dapat kurangkan kadar jenayah di Singapura, terutama dari golongan Melayu/Islam di Singapura. Itulah menjadi penyebab saya kekal di FITRAH."


Tanggungjawab golongan asatizah membimbing masyarakat, kata beliau lagi, tidak terhad kepada di masjid-masjid, tetapi juga untuk mendampingi mereka yang "di luar sana".

Beliau berkongsi, ada golongan pesalah yang menganggapnya 'sesuatu yang luar biasa' apabila didampingi oleh golongan asatizah.

"Jadi, apa yang luar biasa itu, saya nak buat. Kerana kalau tidak kita, siapa lagi?" tambah beliau.

Encik Ismail dan Ustazah Maria adalah antara para sukarelawan yang menghadiri sesi latihan pertama anjuran FITRAH bagi tahun ini pada Sabtu (30 Jan).

Badan tersebut pada tahun lalu menyaksikan lonjakan dalam jumlah sukarelawan baru, dengan 105 mendaftarkan diri untuk menyumbang tenaga sebagai Pendamping Masyarakat atau Kaunselor Agama.

Jumlah sukarelawan baru yang dicatat itu membentuk sekitar suku daripada keseluruhan tenaga relawan FITRAH seramai 401 yang bergiat dengan badan itu sejak ia ditubuhkan pada awal 2019. 

- BERITAmediacorp/tq

Top