Images
  • computer keyboard
    (Gambar: Kirill Kudryavtsev/AFP)

Program YouthTech perkasa 1,000 belia dengan kemahiran digital, tawar pengalaman kerja

SINGAPURA: Sehingga 1,000 belia tidak lama lagi akan berpeluang belajar kemahiran digital dan mendapat peluang penempatan untuk menyokong usaha pendigitalan dalam badan-badan sektor masyarakat dan sosial di bawah satu program baru.

Demikian diumumkan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Edwin Tong pada Khamis (3 Sep).

Program YouthTech itu dibangunkan bersama oleh MCCY dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC).

Ia akan "membekalkan kumpulan pertama sebanyak 1,000 belia, dengan kemahiran dan latihan digital, dan kemudian menempatkan mereka di sektor masyarakat dan perkhidmatan sosial untuk membantu sektor-sektor ini memperoleh kemahiran baru dan beralih ke arah digital", kata Encik Tong di Parlimen.

Program itu bertujuan memberi golongan muda peluang untuk mempelajari kemahiran baru dan mendapatkan pengalaman kerja dalam bidang digital.

Pada masa yang sama, ia juga akan berusaha memanfaatkan tenaga belia untuk menyokong perniagaan dan badan-badan dalam sektor media digital, kesenian, sukan, masyarakat dan sosial - termasuk agensi perkhidmatan sosial, badan-badan amal dan keagamaan serta belia untuk mendakap digital.

Program itu susulan kepada kenyataan tambahan MCCY kepada ucapan Presiden pada Jumaat lalu, di mana Encik Tong mengumumkan penubuhan sebuah "pasukan digital" untuk melibatkan warga muda dalam memacu usaha pendigitalan dalam sektor masyarakat dan sosial.

Penempatan mereka di badan-badan yang mengambil bahagian akan berlangsung selama enam hingga 12 bulan, bergantung kepada keperluan badan tersebut, dan diselia serta disokong oleh NYC dan badan tuan rumah.

Walaupun program itu dibuka kepada semua belia, lulusan baru dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti akan diutamakan, menurut kenyataan media oleh NYC.

Penganggur berusia 35 tahun ke bawah pada tahun 2021 juga boleh memohon, tanpa mengira latar belakang pendidikan atau kelayakan mereka.

Kemahiran digital pemohon akan dinilai, dan mereka akan mengikuti latihan sehingga sebulan sebelum dikerahkan ke badan-badan yang mengambil bahagian. Latihan itu akan dikendalikan oleh badan bertauliah dan dibiayai oleh NYC, tambah majlis berkenaan.

Permohonan dibuka pada Oktober dan lebih banyak maklumat akan diberikan pada satu tarikh kelak. 

- CNA/TQ/tq

Top