Images

Program bimbingan dan memperkasa belia tarik lebih 1,000 relawan

SINGAPURA: Lebih 1,000 sukarelawan tampil sebagai pembimbing kepada remaja berusia antara 14 dengan 16 tahun dan juga para pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Daripada jumlah itu, lebih 550 relawan belia dan karyawan sudah mendapat latihan Pejabat Pementoran Belia yang diterajui Mendaki.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli menyifatkan kemajuan yang dicapai program M³ bagi membimbing dan memperkasa golongan belia itu sebagai "luar biasa'.

Ia dijalankan di bawah bidang tumpuan ketiga (FA3) yang diterajui Setiausaha Parlimen bagi Kementerian Kesihatan (MOH), Rahayu Mahzam.

Program utamanya termasuk Project SOAR bagi remaja berusia 14 hingga 15 tahun serta Program Pengupayaan Wanita M³ (EPG) dan Program Pengupayaan Lelaki (EPB) untuk para pelajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE)

"Pada awalnya apabila kita memikirkan tentang-tentang program yang ingin kita adakan, antara dapatan yang kita adalah para pelajar di usia-usia tertentu perlukan bimbingan kerana itu adalah masa-masa yang genting dalam kehidupan mereka yang kemudian akan menetapkan trajektori kehidupan mereka," kata Cik Rahayu kepada BERITAmediacorp.

Menurutnya, para pelajar menengah harus memilih subjek-subjek tertentu yang akan membawa mereka ke landasan tertentu alam persekolahan mereka, namun ibu bapa mereka tidak semestinya mempunyai pemahaman tentang pelajaran mereka.

"Jadi mereka tidak ada tempat di mana mereka boleh bertanya. Mungkin ada guru-guru tetapi lebih baik sekiranya ada seseorang yang pernah mempunyai pengalaman atau pernah mengalami situasi seperti mereka,"

Ia akan membantu mereka membuat pilihan yang lebih tepat apabila meneruskan pendidikan ke peringkat pos menengah.

Program di ITE dibuka kepada semua para pelajar ITE dan akan saling melengkapi program pendampingan MENDAKI dan juga di ITE.

Program Pengupayaan Wanita M³ (EPG) dan Program Pengupayaan Lelaki (EPB) pula disasarkan kepada semua pelajar ITE.

Selain kemahiran kehidupan, para mentor akan memberi bimbingan dan nasihat tentang laluan pendidikan dan juga laluan-laluan kerjaya di masa hadapan.

Diharapkan lebih ramai lulusan ITE akan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memanfaatkan program Diploma Kerja-Belajar yang memberi mereka peluang untuk membina kerjaya. 

- BERITAmediacorp/tq

Top