Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Piala Dunia Dodgeball 2018: Meski baru ditubuhkan, pasukan S’pura bertekad harumkan nama negara

Pasukan 'dodgeball' Singapura bakal bertarung dalam Piala Dunia Dodgeball 2018 di New York pada Ogos ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Pernahkah anda dengar tentang ‘hentam bola’? Jika tidak, mungkin namanya dalam Bahasa Inggeris lebih dikenali – ‘dodgeball’. Ia adalah sukan yang menyeronokkan dan mungkin pernah dimainkan oleh nenek moyang kita semasa zaman kanak-kanak mereka. Biasanya ia dimainkan dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan.

Namun tahukah anda bahawa terdapat sebuah persatuan khas bagi para penggemar ‘dodgeball’ dan juga sebuah pasukan yang mewakili negara untuk bermain sukan itu di peringkat antarabangsa?

Persatuan Dodgeball Singapura (DAS) ditubuhkan pada 2010. Sejak itu, ia berjaya mendampingi masyarakat umum dengan mengajar tentang cara-cara bermain sukan tersebut. 

Objektif permainan itu adalah untuk menyingkirkan kesemua anggota pasukan lawan dengan membaling bola ke arah mereka. Para pemain 'tersingkir' jika bola terkena pada mana-mana bahagian tubuh mereka. 

Semasa ditemui BERITAMediacorp, Presiden Persatuan Dodgeball Singapura (DAS), Neoh Yi Hui, turut mendedahkan bahawa sejak persatuannya ditubuhkan, sambutan yang diterima amat memberangsangkan.

“Walaupun ramai di Singapura yang tidak tahu apa itu ‘dodgeball’, ia sebenarnya seakan dengan permainan zaman dahulu yang dikenali ramai iaitu ‘hentam bola’. Pada mulanya kami hanya mempunyai tujuh ahli ‘dodgeball’ tempatan. Kini kami sudah mencecah lebih 300 ahli masyarakat yang giat dalam sukan ini. Ini mendorong kami untuk ingin terus berjuang dalam sukan ‘dodgeball’,” kata Encik Neoh. 

PRESTASI BAIK PASUKAN S’PURA, DUDUKI TANGGA KE-8 DI DUNIA

Walaupun ‘dodgeball’ baru diperkenalkan di Singapura lapan tahun lalu, pasukan tempatan sudahpun berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia Dodgeball 2018 di Madison Square Garden, New York. 

Malah, skuad Singapura kini menduduki tempat kelapan dalam ranking dunia bagi kategori pasukan campuran lelaki/wanita, menurut catatan rasmi Persatuan Dodgeball Sedunia (WDA).

Pasukan Malaysia pula berada di tangga kedua, dengan Brunei di kedudukan ke-19, manakala Filipina di tempat ke-21. 

(Gambar: Persatuan Dodgeball Sedunia) 

“Kami dapat tahu tentang sukan ini semasa di Malaysia. Di sana ‘dodgeball’ diperkenalkan sekitar empat tahun (lebih awal dari) Singapura. Sejak membawanya ke Singapura, kami bertekad untuk belajar dan terus bermain ‘dodgeball’. Apatah lagi dengan sokongan dari keluarga, rakan-rakan dan masyarakat,” Encik Neoh memberitahu BERITAMediacorp.

Antara pertandingan yang pernah ditandingi pasukan Singapura termasuk Kejohanan Dodgeball Asia Pasifik 2017 di Kuala Lumpur dan Piala Dunia Dodgeball 2016 di Manchester. 

NUR 'ARIFAH MOHAMED SALLEH PEMAIN CEMERLANG SUKAN DODGEBALL

Salah seorang pemain cemerlang di Piala Dunia Dodgeball 2016 ialah Nur 'Arifah Mohamed Salleh, 17 tahun, yang berjaya menumpaskan enam atlit Ireland di saat-saat akhir perlawanan.

“Di Piala Dunia yang lalu, kami bermain dalam kategori perlawanan undangan sahaja. Jadi tahun ini amat bermakna bagi kami kerana berpeluang merebut Piala Dunia itu sendiri,” kata Cik 'Arifah yang merupakan pemain termuda pasukan Singapura. 

Pasukan 'dodgeball' Singapura bakal bertarung dalam Piala Dunia Dodgeball 2018 di New York pada Ogos ini. (Gambar: Persatuan Dodgeball Singapura)

(Gambar: Persatuan Dodgeball Singapura)

Pasukan nasional itu terdiri daripada 25 atlit yang berusia antara 17 dengan 39 tahun. Buat Piala Dunia tahun ini, Singapura bakal bertanding dalam kategori lelaki dan wanita. 

BIAYA, JADUAL & LOKASI LATIHAN ANTARA CABARAN

Sekalipun demikian, biaya untuk ke Amerika Syarikat (AS) menjadi salah satu cabaran utama bagi pasukan Singapura yang juga terdiri daripada individu-individu dari pelbagai latar belakang. 

“Ada yang bekerja seperti saya. Tapi ada juga yang sedang bersekolah dan ramai daripada mereka tidak cukup wang untuk perbelanjaan di Amerika nanti. Jadi kami jual jersi-jersi pasukan Singapura untuk mengumpulkan dana,” kata Fatin Halina Abdul Halim, 25 tahun.

(Gambar: Persatuan Dodgeball Singapura)

Menetapkan jadual dan tempat latihan juga merupakan antara cabaran bagi pasukan nasional yang baru saja berpeluang untuk menambah sesi latihan mereka dari sekali seminggu kepada tiga kali seminggu di beberapa lokasi termasuk Institut Sukan Singapura (SSI) dan Kelab Masyarakat Kampong Ubi. 

“Amat sukar bagi kami mencari lokasi tertutup kerana ia tidak mudah untuk membuat tempahan di Singapura. Kami rasa bertuah kerana akhirnya dapat berlatih di tempat-tempat yang tetap,” Encik Neoh memberitahu BERITAMediacorp. 

KOMITMEN ATLIT NEGARA JELAS SEKALI

Walaupun kesuntukan masa disebabkan tanggungjawab dan komitmen masing-masing di luar sesi latihan, keazaman dan komitmen para atlit negara begitu jelas sekali. 

Dari kanan: Muhammad Zulkarnain, Fatin Halina, Neoh Yi Hui, Nur 'Arifah dan Muhammad Lufty Alif (Gambar: BERITAMediacorp/Zulaikha Zulkiflee)

“Jadual kerja saya tidak tetap. Tapi dengan sokongan rakan-rakan sepasukan yang memahami situasi pekerjaan saya, saya tetap dapat berlatih bersama mereka,” kata Muhammad Zulkarnain Mohd Zin, 29 tahun, yang bekerja sebagai seorang penyelam komersil. 

Cik Fatin yang bekerja sepenuh masa sebagai seorang doktor gigi juga memanfaatkan masa lapangnya untuk mengekalkan stamina jika tidak menjalani latihan. 

“Sebagai seorang wakil negara, saya harus pandai membahagikan masa dan mendisiplinkan diri saya untuk mengutamakan perkara-perkara yang penting terlebih dahulu,” ujar Cik 'Arifah yang sedang menuntut di Kolej Timur ITE.  

Pasukan Singapura akan berlepas ke New York pada 30 Julai untuk bertanding di Piala Dunia Dodgeball 2018 yang bermula pada 4 Ogos nanti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/zz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan