Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Petinju profesional wanita pertama S’pura, Nurshahidah, buka niaga gimnasium Juggernaut Studio

Petinju profesional wanita pertama Singapura, Nurshahidah Roslie, mengorak satu lagi langkah bersejarah dalam terus memperjuangkan minatnya dalam sukan tinju.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Petinju profesional wanita pertama Singapura, Nurshahidah Roslie, mengorak satu lagi langkah bersejarah dalam terus memperjuangkan minatnya dalam sukan tinju.

Kalau tahun lalu (2016) beliau menjadi petinju wanita pertama Singapura menjuarai pertarungan super-featherweight antara benua Pertubuhan Tinju Universal (UBO), kini Nurshahidah merintis jalan menjadi petinju wanita pertama negara ini yang membuka gimnasiumnya sendiri. Gim tersebut diberi nama Juggernaut Studio.

Keputusan beliau menjadi ‘tauke gim’ itu diambil sedang namanya memuncak naik selaku petinju wanita Nombor 1 Singapura.

Saya membuka kelas khas buat kaum wanita kerana saya ingin mereka berlatih sesama sendiri .... dan tidak rasa diperkecil oleh kaum lelaki... - Nurshahidah 'The Sniper' Roslie

Baru September tahun ini, nama Nurshahidah menjadi lebih bersinar di persada antarabangsa apabila beliau merangkul pula kemenangan kategori featherweight kejohanan Majlis Tinju Dunia (WBC) dan silver-featherweight Persekutuan Tinju Pasifik Oriental (OPBF).

SUASANA GIM YANG ‘TIDAK MENAKUTKAN’

Gimnasium Nurshahidah sebenarnya bukan hanya untuk mereka yang mahir dalam sukan tinju.

Sebaliknya lebih penting lagi, beliau membuka gimnasium itu dengan harapan dapat memperkenalkan lagi sukan lasak itu kepada semua lapisan masyarakat yang ingin menjalani gaya hidup lebih sihat.

"Gim ini dibuka dengan niat untuk memberi pendedahan kepada sukan ini bagi orang ramai yang tidak minat untuk bertarung tetapi ingin menjaga kecergasan jasmani," kata Nurshahidah yang digelar ‘The Sniper’ dalam gelanggang.

Nurshahidah (kanan) memberi perhatian kepada pelbagai aspek sebelum membuka gimnya. (Gambar-gambar: Siti Nur Afiqah)

Malah, jika anda melangkah masuk ke dalam gimnya itu, anda tidak akan melihat gelanggang untuk pertandingan tinju, melainkan peralatan sukan tinju seperti sarung tangan tinju, beg tumbuk, 'kettlebell' dan peralatan sukan lain.

Daripada lokasi sehingga reka bentuk gim, Nurshahidah memberi perhatian kepada aspek-aspek seperti ini agar mereka yang datang ke gimnya tidak berasa takut untuk mencuba sukan ini.

Petinju berusia 30 tahun itu juga memberitahu BERITAMediacorp bahawa beliau memilih untuk membuka gimnya di kawasan pusat bandar untuk menjangkau para pekerja di kawasan bandar yang selalu sibuk.

BAGAIMANA SAMBUTAN BAGI JUGGERNAUT STUDIO SEJAUH INI?

Gimnasium Juggernaut Studio itu baru dibuka sekitar tiga bulan lalu, iaitu pada September tahun ini. Ia terletak di 57B Boat Quay.

Antara moto syarikat Nurshahidah itu seperti yang dipaparkan di lamannya ialah 'Anda tidak perlu menjadi seorang petinju untuk menjadi seorang juara' (You don't have to be a fighter to train like a champion). Juggernaut Studio mengajar tinju, kickboxing, seni mempertahankan diri campuran (MMA) dan kecergasan jasmani.

Hakikatnya, ini perniagaan tukikan yang baru. Sebagaimana lazimnya syarikat-syarikat baru, gimnasium ini belum mendapat perhatian seperti yang beliau harapkan.

"Seni mempertahankan diri ataupun sukan tinju sering dipandang sebagai sukan yang ganas dan tidak selamat. Tetapi kajian menunujukkan seni tinju ini sebenarnya lebih selamat daripada bola sepak.

"Di sini, kami latih mereka dengan teknik yang tepat dan pastikan mereka dapat melaksanakan teknik itu dengan baik sebelum mereka ke peringkat seterusnya," tegas Nurshahidah, yang merupakan pemilik tunggal Juggernaut Studio.

BUKA KELAS UNTUK KAUM WANITA

Bagi merancakkan perniagaannya itu yang berasaskan perkhidmatan, Nurshahidah yang mula menjadi petinju profesional pada 20 Februari 2016, mengatur beberapa strategi.

Pertama, sebagai satu strategi menarik pelanggan, gim Nurshahidah berhasrat mengadakan kelas khas bagi kaum muslimah bermula Januari depan (2018).

Nurshahidah bergambar dengan mereka yang mengikuti kelas MMA khusus buat kaum wanita. (Gambar: @juggernautstudio/ Instagram)

"Saya membuka kelas khas buat kaum wanita kerana saya ingin mereka berlatih sesama sendiri. Jadi, mereka rasa selesa kerana mereka berlatih dengan kaum sendiri dan tidak rasa diperkecil oleh kaum lelaki," dedah Nurshahidah kepada BERITAMediacorp.

Bagi strategi jangka panjang pula, bekas lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan Universiti Western Australia (UWA) itu mendedahkan, beliau berharap menyasarkan pula kanak-kanak, sekolah-sekolah dan juga belia berisiko, untuk menyertai program-programnya.

GELANGGANG SERBA BOLEH UNTUK WANITA

Selain itu, beliau juga membuka gelanggang sukannya itu untuk para jurulatih tetamu mengadakan sesi-sesi perkongsian mengenai kesihatan wanita.

Misalnya, pada bulan lalu (29 Nov), beliau menjemput aktivis kesedaran penyakit Endometriosis, Cik Namira Marsudi, untuk berkongsi tentang penyakit tersebut. Isu kesihatan kulit pula akan dibincangkan dalam sesi perkongsian selanjutnya.

Jika anda musykil dan mahukan maklumat lanjut mengenai kegiatan-kegiatan yang ditawarkan studio Nurshahidah 'The Sniper' Roslie, anda boleh mengunjungi laman https://www.juggernautstudio.sg/ untuk maklumat lanjut.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan