Images
  • moe siti main photo

Pelajar NYP Siti Nurhajah Haron satu-satunya penerima yang berjaya bolot 3 Anugerah Khas MOE

SINGAPURA: Pelajar Melayu dari Politeknik Nanyang adalah antara tiga penerima anugerah berprestij Kementerian Pendidikan (MOE) tahun ini.

Lebih membanggakan lagi, Siti Nurhajah Haron dari jurusan kejururawatan Politeknik Nanyang (NYP), juga merupakan satu-satunya pelajar yang menerima tiga anugerah yang disampaikan pada Selasa (27 Ogos).

TANGGUH PELAJARAN DEMI AYAH, BANGKIT DENGAN CEMERLANG

Di sebalik ketawa riangnya, Siti Nurhajah Haron, pernah terpaksa menangguhkan pelajarannya dalam bidang kejururawatan selama empat tahun apabila ayahnya jatuh sakit dan tidak lagi dapat bekerja untuk menyara kehidupan keluarga.

Namun, apabila diberi peluang kedua untuk meneruskan pelajarannya dalam bidang yang sama di ITE, beliau bukan saja merebut peluang itu, malah cemerlang dalam bidang akademik dan aktiviti-aktiviti di sekolah.


Berkat kecemerlangannya yang sungguh menyerlah, Siti Nurhajah menerima tiga Anugerah MOE hari ini - Anugerah Lee Hsien Loong bagi Pencapaian Cemerlang dalam Pelbagai Bidang, Biasiswa Lee Kuan Yew untuk Menggalakkan Peningkatan dan Hadiah Buku Sultan Haji Omar Ali Saifuddien.

"Terutama, saya tidak putus asa dan di dalam setiap perkara yang saya melalui, saya yakin di setiap dugaan, mesti ada jalan penyelesaiannya," kongsi Siti Nurhajah apabila ditemui BERITAmediacorp.

"Saya ingin meraih ijazah di dalam bidang kejururawatan dan bekerja untuk beberapa tahun untuk mendapatkan pengalaman dan kembali kepada ITE untuk menjadi inspirasi dan motivasi kepada para pelajar di sana"

LIYANA AFIQAH, MUHD DHAFER ANTARA PENERIMA ANUGERAH

Seorang lagi anak Melayu yang turut menerima anugerah MOE tahun ini ialah Liyana Afiqah Mohd Faizal dari Raffles Institution.

Liyana Afiqah menerima Hadiah Buku Perdana Menteri bagi mengiktiraf kemahirannya berdwibahasa.


Ditanya tentang jadual pembelajarannya, Liyana Afiqah berkata: "Setiap hari saya akan memberi beberapa jam untuk aktiviti luar darjah saya dan masa yang berlebihan itu saya akan fokus kepada pelajaran saya pula. Tambahan pula, apabila saya pergi ke aktiviti luar darjah, saya dapat hilang tekanan saya apabila saya menghadapi cabaran dalam pelajaran."

Penerima Biasiswa Presiden tahun ini, Muhd Dhafer Muhd Faishal pula menjadi anak Melayu/Islam pertama yang menerima Anugerah Lee Hsien Loong bagi Pencapaian Cemerlang dalam Pelbagai Bidang di peringkat Maktab Rendah dan Institut Millenia.

SIKAP SERBA BOLEH PENTING BAGI PELAJAR, NASIHAT INDRANEE RAJAH

Anugerah-anugerah MOE itu disampaikan oleh Menteri Kedua Pendidikan merangkap Kewangan Indranee Rajah di Politeknik Republik.

Dalam ucapannya, Cik Indranee turut menegaskan bahawa pendidikan tidak harus tertakluk kepada pencapaian akademik semata-mata.

Sebaliknya, para pelajar harus mengamalkan sikap serba boleh, bersedia untuk mempertingkatkan kemahiran dan mendakapi pembelajaran sepanjang hayat.

Acara tahunan yang mengiktiraf para pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan luar akademik turut mencatat jumlah pemberian anugerah tertinggi sebanyak 199 anugerah pada tahun ini. 

- BERITAmediacorp/tq

Top