Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Pelajar hasilkan prototaip pertingkat mutu hidup warga emas, golongan kurang upaya

Masih lagi menuntut di bangku sekolah, tetapi sudah cukup peka terhadap keperluan masyarakat setempat yang kian menua.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Masih lagi menuntut di bangku sekolah, tetapi sudah cukup peka terhadap keperluan masyarakat setempat yang kian menua.

Bahkan sekumpulan belia mengambil selangkah ke hadapan dengan menghasilkan sendiri prototaip demi meringankan beban mereka yang perlu menempuhi cabaran dalam kehidupan harian dek masalah kesihatan yang dihadapi.

Sekumpulan belia yang membanggakan ini termasuklah anak-anak Melayu tempatan yang baru-baru ini muncul sebagai pemenang dalam peraduan 7th National Assistive & Rahabilitation Technologies Student Innovation Challenge.

Pertandingan itu dianjurkan secara bersama oleh Institut Penyelidikan Pemulihan Singapura (RRIS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Pusat Teknologi Bantu dan Robotik Jagaan Kesihatan (CHART) Hospital Besar Changi.

PENDAKAP LUTUT BIJAK BOLEHKAN PESAKIT JALANI TERAPI DI RUMAH

Sedang usia kita meningkat, sakit lutut menjadi satu lumrah. Dalam satu tinjauan yang dijalankan di Singapura, dianggarkan sekitar 40 peratus warga emas mengalami osteoartritis - sejenis penyakit sendi degenaratif.

Bukan sahaja warga emas, golongan muda yang aktif tidak lepas daripada kecederaan lutut sedang mereka menjalani gaya hidup aktif.

Bagi membantu orang ramai yang mengalami sakit lutut - khususnya para pesakit yang menjalani pembedahan penggantian sendi lutut (knee replacement surgery) - sekumpulan pelajar dari Kolej Tengah Institut Pendidikan Teknikal (ITE) menghasilkan prototaip pendakap kaki unik yang lazimnya digunakan dalam proses pemulihan.

Pendakap kaki yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri bijak bagi membolehkan para pesakit menjalani terapi di rumah. BERITAmediacorp berpeluang melihat sendiri bagaimana prototaip mereka berfungsi - dan ia sangat mudah untuk digunakan!

Pesakit hanya perlu menggunakan pendakap kaki seperti biasa. Hanya sahaja, pendakap kaki ini dilengkapi dengan satu sistem yang mampu mengukur sejauh mana pesakit dapat meluruskan atau membengkokkan kaki sedang mereka duduk. Kaki mereka kemudian diletakkan di atas satu papan kecil yang sama seperti papan luncur.

BERPELUANG MEWAKILI S'PURA DI AUSTRALIA

Kemampuan pengguna untuk menggerakkan kaki seterusnya akan dikemas kini dalam satu aplikasi mudah alih. Laporan itu boleh dijadikan sebagai rujukan bagi pesakit mahupun pakar-pakar perubatan untuk memantau proses pemulihan mereka.

"Dengan adanya alat ini juga, pesakit tidak perlu kerap ulang-alik ke hospital kerana doktor dapat memantau perkembangan kesihatan mereka walaupun pesakit menjalani terapi di rumah," kongsi Nur Ikmal Rosman, salah seorang anggota kumpulan yang menghasilkan projek dinamakan Smart Rehabilitation Knee Brace itu.

"Ini sekaligus membantu pesakit untuk menjimatkan masa dan wang di samping fokus kepada pemulihan mereka," katanya lagi.

Hasil projek kumpulan pelajar ini antara 24 prototaip yang dipamerkan di Hospital Besar Sengkang pada Jumaat (12 Apr).

Kumpulan yang dianggotai Nur Ikmal bersama rakan-rakannya memenangi Anugerah Prototaip Terbaik dan Anugerah Perak dalam kategori Teknologi.

Mereka sekaligus berpeluang mewakili Singapura dalam satu cabaran inovasi di Canberra, Australia, yang bakal berlangsung pada lewat Ogos ini. Atas kemenangan mereka, pihak penganjur akan menaja S$800 bagi yuran pendaftaran peraduan di negara itu.

SISTEM KUNCI BIJAK BAGI PESAKIT DEMENSIA

Bagi kumpulan pelajar dari Kolej Timur ITE, kekhuatiran terhadap para pesakit demensia pula menjadi dorongan untuk menghasilkan sistem kunci bijak.

"Pesakit demensia kadangkala terlupa dan meninggalkan kunci di pintu. Sebab itu kami menghasilkan prototaip ini," jelas Aqilah Insyirah Abdul Rahim tentang projek kumpulannya semasa pameran diadakan.

Sistem yang dinamakan MySMART Key AMD (Alarm, Message & Detection) itu akan mengaktifkan penggera sekiranya ia mengesan kunci yang ditinggalkan di pintu selepas tiga saat.

Jika tiada tindakan diambil setelah beberapa saat, pengguna akan langsung menerima kiriman mesej.

"Ada juga risiko jika kunci ditinggalkan di pintu. Sesiapa sahaja boleh pecah masuk ke dalam rumah pesakit. Jadi dengan adanya sistem ini, risiko seperti itu dapat diatasi," tambah Aqilah lagi.

Kumpulan Aqilah Insyirah memenangi anugerah Merit dalam kategori teknologi.

TOPANG KAKI SIAP DENGAN SISTEM AMARAN

Satu lagi prototaip pelajar Kolej Tengah ITE juga mendapat anugerah Merit.

'Crutch Sentry' adalah sejenis topang kaki yang dilengkapi dengan sistem amaran.

Mengapa sistem amaran dipasang pada topang kaki tersebut? Muhammad Izam Nizar Mohd SS menjawab: "Jika seseorang menggunakan topang kaki, bahagian bawah lengan mereka sering melecet kerana mereka mengepit bahagian lengan mereka terlalu lama. Jadi, sistem ini dapat mencegah pengguna daripada menggunakan topang kaki dengan cara yang salah."

Pengalaman rakan para pelajar inilah yang mencetuskan idea di sebalik ciptaan kreatif itu.

"Dahulu rakan saya mempunyai seorang teman yang mengalami masalah sama. Saya sudah mengingatkannya beberapa kali tetapi dia sering terlupa," cerita Izam.

Penggera hanya akan berbunyi sekiranya ia mengesan berat berlebihan pada bahagian atas topang tersebut.

Peraduan yang dianjurkan RRIS dan CHART ini diadakan bagi menggalak para pelajar untuk membangunkan huraian bagi mempertingkat mutu kehidupan warga emas dan golongan kurang upaya. Setiap prototaip dinilai berdasarkan kreativiti pelajar, kesan, reka bentuk dan potensi untuk memasarkan prototaip yang dihasilkan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan