Images
  • ayuni 1
    Nur Ayuni, 18 tahun, seorang pembantu guru prasekolah di pusat jagaan kanak-kanak PCS.

Nur Ayuni Abdul Rahim 'sama seperti guru lain' meski berkeperluan khas

SINGAPURA: Semasa beliau membesar, Nur Ayuni Abdul Rahim, 18 tahun, sentiasa mengasingkan diri.

Di sekolah rendah, abangnya selalu pulang ke rumah dan menceritakan bagaimana Ayuni dibuli oleh murid-murid lain. Namun beliau tidak pernah mengatakan sepatah kata pun mengenai pengalamannya itu.

"Ia agak sukar untuk memahami apa yang dia sedang rasakan atau fikirkan, dan dia bukan jenis orang yang meluahkan perasaan sendiri," kata kakak sulungnya, Nur Azian.

Perbuatan buli terhadap Ayuni meremukkan hati keluarganya. Hati mereka terguris lagi apabila pihak sekolah rendah Ayuni menghubungi mereka ketika dia berusia 11 tahun, untuk menyarankan agar Ayuni dipindahkan ke Sekolah Grace Orchard, iaitu sebuah sekolah pendidikan khas bagi murid-murid yang mengalami autisme dan kekurangan daya intelektual.

"Kami fikir dia normal, tetapi hanya perlu bekerja keras," kata Azian.

Keluarga Ayuni sekian lama mengetahui bahawa Ayuni merupakan pelajar yang memerlukan lebih banyak masa untuk mempelajari sesuatu. Namun sebenarnya Ayuni kurang daya intelektual dan mengalami gangguan pembangunan yang menyulitkannya untuk mempelajari konsep-konsep dan menyelesaikan masalah.

Lebih-lebih lagi, Ayuni merupakan salah seorang anggota keluarga yang ramai adik-beradik, dengan 10 adik-beradik lain dan anak-anak saudara yang menetap di bawah satu bumbung. Flat mereka di kawasan barat Singapura menjadi tempat tinggal bagi 16 orang dan keadaan sentiasa riuh-rendah.

Setelah Ayuni memulakan pendidikan di Sekolah Grace Orchard, keluarganya memerhatikan perubahan pada dirinya - Ayuni akan pulang ke rumah dengan wajah lebih riang.


PELUANG KEEMASAN

Perjalanan Ayuni menjadi pembantu di sebuah pusat jagaan kanak-kanak bermula pada 2014 apabila Sekolah Grace Orchard mahu murid-muridnya menimba pengalaman dalam bidang jagaan kanak-kanak.

Sekolah tersebut yang dikendalikan di bawah naungan pertubuhan kebajikan sukarela Presbyterian Community Services (PCS), menghubungi PCS.

Pada peringkat percubaan, sebilangan pelajar Grace Orchard mula mengunjungi pusat-pusat jagaan kanak-kanak PCS selama beberapa jam seminggu.

Pada 2017, bagi melanjutkan program tersebut, satu skim perintis telah dilancarkan untuk melatih sekumpulan tiga pelajar sebagai pembantu guru. Peranan mereka adalah untuk membantu guru-guru melakukan tugasan harian seperti memberi makanan dan memandikan kanak-kanak, di samping menyediakan sokongan tambahan kepada guru-guru pada waktu dalam kelas.

Struktur korikulum yang dibangunkan bersama oleh PCS dan Sekolah Grace Orchard, termasuk gabungan latihan dalam darjah dan pengalaman amali di sebuah pusat PCS di Jurong.

Sebelum mereka selesai menjalani program tersebut, ketiga-tiga pelajar terpilih - Ayuni dan dua lagi remaja perempuan sebaya - akan menjalani latihan amali di pusat-pusat PCS berlainan.

Semasa setiap lawatan, jurulatih PCS Gomathey Veeramari mengadakan sesi renung semula dengan setiap pelajar untuk beliau memberi maklum balas tentang perkara-perkara yang dilakukan dengan baik dan perkara-perkara yang perlu diperbaiki.


Menurut Pengetua Sekolah Grace Orchard Lisa Goh, ia mengambil masa tiga tahun bagi remaja-remaja perempuan itu untuk selesai menjalani program tersebut kerana setiap tugas dibahagi-bahagikan supaya mereka dapat lebih memahaminya.

"Mereka memerlukan jangka masa sedemikian dan arahan yang sangat terperinci," jelas Cik Goh.

"Jika saya boleh latih remaja-remaja perempuan itu untuk berdikari dan menyumbang kepada masyarakat ... Saya fikir ia sesuatu yang berbaloi untuk dilakukan, tidak mengira jangka masa yang diambil."

TEKAD UNTUK MENJAYAKAN PROGRAM

Apabila pengetua pusat PCS Kelyn Soh menerima khabar dari pengurusnya pada Februari bahawa seorang pelatih amali bernama Ayuni akan menyertai pusatnya sebagai pembantu jagaan kanak-kanak pada April, sejak awal lagi dia sudah berasa teruja.

Beliau sentiasa percaya bahawa mereka yang berkeperluan khas perlu diberi peluang dalam kehidupan. Selain itu, beliau tahu terdapat banyak faedahnya.

Misalnya, para pembantu itu, yang sudah menjalani latihan berstruktur dan terperinci selama dua tahun, akan memulakan pekerjaan dengan pengetahuan mengenai perkara-perkara yang perlu dilakukan, dan bagaimana untuk melakukannya.

Sebaliknya, latihan formal tidak diperlukan untuk menjadi pembantu program yang memainkan peranan serupa dengan yang dilakukan oleh para pembantu terlatih.

Namun Cik Soh akur tentang cabaran-cabaran yang akan dihadapi.

"Keprihatinan saya sebagai pengetua adalah pasukan saya kerana saya memerlukan mereka untuk menyokong program itu dan menerima idea itu," katanya.

"Keprihatinan saya yang kedua adalah mengenai ibu bapa. Saya tidak tahu jika mereka boleh menerimanya."

Sebilangan guru, menurut Cik Soh, mengongsi keprihatinannya mengenai ibu bapa. Namun beliau akur bahawa ia sesuatu yang perlu dihadapi kelak.

Pada masa yang sama, para guru menanyakan sama ada pembantu itu akan memperlahankan proses pekerjaan atau menghadapi kesukaran mematuhi arahan.

Sebelum ketibaan Ayuni, Cik Gomathey mengadakan bengkel bagi guru-guru untuk membantu mereka supaya memahami bagaimana untuk menyambut kedatangannya.


Tambahan lagi, Cik Soh menemu duga setiap guru secara perseorangan untuk memastikan bahawa Ayuni diletakkan dalam kelas-kelas di mana para guru lebih selesa dengan kehadirannya.

REMAJA KURANG BERKATA-KATA

Ayuni masih ingat perasaan gementar pada hari pertama di pusat PCS.

Meskipun beliau sudah menjalani latihan selama dua tahun, lengkap dengan pengalaman menjaga kanak-kanak di sebuah lagi pusat PCS dan pengetahuan tentang perkara-perkara yang perlu dilakukan, beliau berasa kurang selesa dalam suasana baru.

Apabila Ayuni berasa gementar, beliau lebih cenderung melakukan tugas seorang diri, dan perlu diingatkan untuk bercakap dengan kanak-kanak di bawah jagaannya.

Guru yang dibantu Ayuni, Jean Ngoo, mengimbas kembali bahawa beliau prihatin kerana perlu meluangkan lebih banyak masa untuk membimbing Ayuni. Namun lama-kelamaan, ia menjadi lebih mudah untuk memberi tunjuk ajar kepada Ayuni.


"Apabila saya mengatakan sesuatu kepadanya, beliau mengingatinya dengan sangat jelas. Dan apabila saya mengajar perkara yang baru, beliau sangat bersedia untuk belajar, dan menerima maklum balas dengan baik," kata Cik Ngoo.

"Apabila dia berasa selesa dengan kami, beliau akan lebih kerap bercakap dan tidak lagi perlu diberi peringatan."

AYUNI DIKASIHI KANAK-KANAK

Hari ini, Ayuni berada di peringkat bulan-bulan terakhir program tersebut sebelum tamat pengajian. Bagi para kanak-kanak, beliau adalah 'Cikgu' Ayuni, dan tiada perbezaan antaranya dengan 'Cikgu' Jean dan guru-guru lain, melainkan Ayuni yang bertocang dan memakai apron hijau, iaitu seragam yang dipakai oleh para pembantu guru.


Ayuni berjaya meningkatkan keupayaan diri semasa latihan amali. Malah prestasinya menjangkaui jangkaan sehinggakan beliau sudah mula membaca buku cerita kepada kanak-kanak, iaitu suatu tugas yang pada mulanya berada di luar skop pekerjaannya.

"Tiada sesiapa yang boleh membezakan bahawa beliau berkeperluan khas," kata Cik Soh.

PELUANG PEKERJAAN OLEH MAJIKAN LAIN?

Selepas Ayuni dan rakan-rakan sebaya menamatkan pengajian, mereka akan dijamin pekerjaan di pusat-pusat PCS. PCS juga bersetuju untuk menjamin pekerjaan bagi para graduan seterusnya.

Namun lebih dari itu, PCS berharap prasekolah-prasekolah lain lebih bersedia mengambil mereka untuk bekerja, menurut pengarah eksekutif PCS David Lim.

"Kami ingin menjadikan mereka sebagai duta kami... untuk menunjukkan majikan lain bahawa mereka boleh melakukannya," kata Encik Lim.

Setakat ini, PCS sedang berunding dengan salah sebuah pengendali prasekolah untuk memberi peluang pekerjaan kepada para graduan program tersebut. Mereka juga berharap untuk meluaskan program itu dan sedang merancang untuk mengubah suai salah sebuah pusatnya sebagai tempat latihan dalam bilik darjah.

"Sebilangan prasekolah sudah pasti ada keprihatinnya, lebih-lebih lagi mereka yang belum pernah bekerja dengan orang-orang berkeperluan khas sebelum ini, kata Encik Lim. "Sesetengah orang mempunyai tanggapan salah bahawa orang-orang berkeperluan khas mengalami keadaan sangat serius... Namun para pelajar ini mempunyai keupayaan lebih tinggi."


Bagi membuat persiapan untuk menangani keprihatinan ibu bapa, pusat PCS di mana ketiga-tiga remaja perempuan berlatih, mengundang ibu bapa untuk bertemu dengan mereka. Mereka berasa terpegun dengan reaksi ibu bapa.

"Apabila mereka bertemu dengan remaja perempuan itu dan dapat melihat wajah mereka, mereka sebenarnya sangat positif mengenainya," kata Encik Lim. "Kami mempunyai tanggapan bahawa ia akan menjadi cabaran terbesar, tetapi keadaan sebenar berbeza sekali.

MENJANGKAUI JANGKAAN

Setelah berbulan-bulan melihat Ayuni pulang ke rumah dengan wajah gembira, dan mendengar lagu kanak-kanak yang didendangkannya kepada anak saudaranya, kakaknya yang kelima, Amirah, mengambil keputusan untuk mengunjungi Ayuni di tempat kerja buat pertama kalinya.

Air mata berlinang ketika Amirah menjenguk dari luar jendela untuk memerhati Ayuni menjalankan tugas.

"Kami hanya mengetahui cerita-cerita tentang apa yang dilakukannya di tempat kerja, tetapi ini menjangkaui jangkaan saya, katanya. "Saya tidak pasti sama ada dia boleh menjaga kanak-kanak lain... tetapi (sebaliknya) dia melakukan tugas yang baik."


Ayuni yakin bahawa beliau ingin meneruskan pekerjaan dalam sektor jagaan kanak-kanak. Beliau juga melahirkan harapan untuk menjadi guru tajaka sepenuh masa.

Kakak-kakaknya mengetahui tentang cita-citanya, tetapi mereka juga mengetahui tentang cabaran-cabaran yang bakal dihadapi. Ayuni perlu menjalani kursus-kursus dan meraih diploma untuk mendapatkan pentauliahan. Mereka tidak tahu sama ada Ayuni mampu melakukannya.

Namun, setelah menyaksikan prestasi Ayuni, dan kemajuannya, mereka berharap agar pada suatu hari nanti, beliau akan berjaya.

- CNA/ZM/zm

Top