Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mohamad Irfan, Nur Umairah atasi kesukaran belajar untuk capai kecemerlangan

Meskipun dikesan mengalami disleksia sejak usia lapan tahun, Mohamad Irfan Mohamad Adi cekal enggan membiarkan keadaan itu menghambat dirinya daripada mencapai kecemerlangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Mohamad Irfan, Nur Umairah atasi kesukaran belajar untuk capai kecemerlangan

Mohamad Irfan Mohamad Adi dan Nur Umairah Mohd Akbar. (Gambar: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Meskipun dikesan mengalami disleksia sejak usia lapan tahun, Mohamad Irfan Mohamad Adi cekal enggan membiarkan keadaan itu menghambat dirinya daripada mencapai kecemerlangan.

Daripada tidak dapat membaca, tidak tahu menyebut perkataan dan tidak mampu menulis nama penuhnya tanpa merujuk kepada pas konsesi, Irfan berhasil meraih gred A untuk Matematik dan B bagi Bahasa Inggeris.

Malah berbekalkan semangat tidak putus asa dan tekadnya untuk menjadi yang terbaik, pelajar 13 tahun daripada Sekolah Menengah Crest ini pada Selasa (27 Ogos) dikurniakan Anugerah Lee Kuan Yew bagi Kecemerlangan dalam Pelbagai Bidang bagi peringkat sekolah rendah.

Irfan memberitahu BERITAmediacorp: "Anugerah ini sangat bermakna bagi saya. Ini anugerah terbaik yang pernah saya raih dan saya berasa hebat. Saya rasa usaha berpasukan serta sikap enggan berputus asa dan berdaya tahan melayakkan saya untuk mendapat anugerah ini.

"Apabila saya didiagnosis dengan disleksia, saya terkejut, sedih dan berasa keseorangan. Di sekolah saya, tidak ramai yang mengalami keadaan ini, mungkin saya seorang. Sangat sukar untuk saya menerima hakikat ini. Namun, saya memberitahu diri bahawa saya harus bekerja dengan lebih keras lagi."

AKTIF DALAM SUKAN, USAHA MASYARAKAT

Yang pasti, usaha beliau ternyata membuahkan hasil.

Irfan bukan sahaja cemerlang dalam pelajarannya, bahkan dalam sukan juga. Beliau mewakili sekolahnya, Sekolah Rendah Bukit Panjang, dalam pasukan bola sepak Kejohanan Bola Sepak Sukan Kebangsaan tahun lalu dan bagi Akademi Liverpool COURTS dua tahun lalu.

Sebelum ini beliau juga mengusahakan kempen mengumpul derma dengan Lions Befrienders Service Association, mendampingi dan mengajar kemahiran baru kepada para warga tua di rumah-rumah tumpangan dan mengambil bahagian dalam inisiatif "Clean as we go" bagi menjaga kebersihan sekitaran sekolah.

GURU MATEMATIK PENDORONG UTAMA

Guru Matematik beliau, Cik Ezlin, kongsi Irfan, menjadi tunjang kejayaan beliau.

"Pada mulanya, saya berada di tempat corot dalam Matematik. Saya tidak memberi tumpuan di kelas dan saya tidak tahu menjawab sebarang soalan.

"Mdm Ezlin memberi dorongan kepada saya dan beliau yakin saya boleh buat yang lebih baik. Saya nampak kesungguhan dalam matanya dan saya sedar saya tidak boleh lakukan setakat ini bagi setiap hari dalam kehidupan saya.

"Saya mahu menjadi seseorang yang lebih hebat lagi di masa hadapan," kongsi beliau.

Yang pasti, remaja ini tidak akan berhenti setakat di sini dan beliau ternyata terus bersemangat untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

"Kepuasan terbesar saya adalah apabila saya menjangkaui jangkaan saya kerana saya tidak menyangka akan mendapat anugerah ini. Sekarang saya berasa hebat sekali," kata Irfan.

UMAIRAH PERAN CONTOH BAGI RAKAN SEKOLAH

Seorang lagi remaja yang wajar dipuji ialah pelajar 18 tahun dari Sekolah Grace Orchard, Nur Umairah Mohd Akbar.

Walaupun mengalami Kurang Daya Intelek Ringan (MID), sifat kepimpinan Umairah menjadikan beliau peran contoh kepada rakan-rakan sekolahnya.

Di Majlis Penyampaian Anugerah Khas Kementerian Pendidikan (MOE) pada Selasa (27 Ogos), Umairah menerima Anugerah Pelajar Contoh Lee Kuan Yew.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Sebagai seorang bekas penolong ketua pengawas dan kini seorang mentor pengawas, Umairah menggalas pelbagai tanggungjawab dan banyak membantu rakan-rakannya menjalankan tugas di sekolah.

Malah, berkat prestasi cemerlangnya, Umairah juga salah satu daripada tiga pelajar di sekolahnya yang dipilih menyertai Program Penolong Jagaan Kanak-Kanak bagi Guru (Teacher Childcare Aide Programme).

Program tersebut adalah satu latihan kejuruan bagi belia dengan kurang daya intelek diambil bekerja dalam sekitaran pendidikan awal kanak-kanak.

Umairah berkongsi: " Sebelum ini saya tak pernah dekat dengan budak-budak kerana takut mereka luka dan sebagainya. Kerja ini mencabar, saya ingat kerja childcare senang, tapi tidak. Namun semakin saya belajar, semakin saya menyayangi mereka."

BERCITA-CITA JADI GURU JAGAAN KANAK-KANAK TAHUN DEPAN

Malah, sifat penyayang yang semakin menebal dalam dirinya mendorong Umairah untuk bekerja lebih daripada empat hari seminggu yang ditetapkan sekarang.

"Apabila saya berasa bosan, saya bertanya kepada ibu saya sama ada saya boleh ke tempat childcare atau tak, sebab rindu. Hati macam sayang mereka," luah Umairah, yang kini bekerja di cawangan PCS Grow and Glow di Holland Village.

Yang pasti, anak bongsu daripada tiga adik-beradik yang dijangka bekerja sebagai guru jagaan kanak-kanak ini yakin anugerah yang diterimanya itu dapat terus memberi inspirasi kepada dirinya.

"Bila saya dapat anugerah ini, saya rasa gembira. Ia memberi saya harapan untuk terus berusaha untuk mencapai impian saya dan menjadi inspirasi dan menolong kawan-kawan," katanya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan