Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Meski sejuk dan mencabar 2 remaja Melayu S’pura timba pengalaman berharga berlatih dengan FC Nantes

“Kami hidup bak pemain bola sepak profesional.” Sekali dengar komen ini mungkin dianggap angkuh tetapi bukan begitu niat sebenar Iskandar Indera semasa menyingkap pengalaman berlatih lebih seminggu di Eropah baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Meski sejuk dan mencabar 2 remaja Melayu S’pura timba pengalaman berharga berlatih dengan FC Nantes

Ashrul (kiri), Jonathan (tengah) dan Iskandar (kanan) teruja dapat menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung di stadium FC Nantes. (Gambar: Etoile FC Academy)

BERITAmediacorp: “Kami hidup bak pemain bola sepak profesional.”

Sekali dengar komen ini mungkin dianggap angkuh tetapi bukan begitu niat sebenar Iskandar Indera semasa menyingkap pengalaman berlatih lebih seminggu di Eropah baru-baru ini.

Sebaliknya, ia satu pengalaman yang sangat-sangat dihargai sehingga menjadi bibit-bibit manis beraksi di padang bola Eropah.

November lalu, bekas pelajar Sekolah Menengah Ang Mo Kio itu bersama dua rakan sepasukan dari akademi bola sepak tempatan Etoile FC ditawarkan peluang menjalani program latihan bawah 17 tahun kelab Ligue 1, FC Nantes di Brittany, Perancis.

Ashrul (kiri), Jonathan dan Iskandar (kanan) bergambar dengan bekas pemain Man United Fabio Da Silva. (Gambar: Etoile FC Academy/Facebook)

Ashrul (kiri), Jonathan dan Iskandar (kanan) bergambar dengan bekas pemain Man United Fabio Da Silva. (Gambar: Etoile FC Academy/Facebook)

Dengan dibiayai sepenuhnya oleh FC Nantes, program tersebut dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh sebuah kelab Perancis dengan kerjasama akademi bola sepak Singapura, menurut Pengarah Etoile FC.

“Kami mahu anak didik kami mengikuti jejak pemain yang bakal menjadi profesional … pada akhir program, kami mahu mereka memahami bahawa bakat saja tidak memadai tanpa kerja keras dan komitmen jitu,” kata Encik Ludovic Casset kepada BERITAmediacorp.

LATIHAN MENCABAR, CUACA PULA SEJUK

Sepanjang tempoh dari 8 hingga 17 November lalu, Iskandar, Muhd Ashrul dan Jonathan Prashanth menginap, berlatih dan belajar bersama para pemain akademi pasukan terbaik dalam liga bola sepak belia Perancis itu.

“Pengalaman kami di akademi sangat seronok tetapi juga sangat mencabar berbanding di Singapura. Kami harus bangun tidur seawal 6.30 pagi sebelum ke sekolah berdekatan akademi itu.

“Sewaktu latihan pula, saya agak gementar kerana takut menjadi beban kepada pemain lain dalam pasukan,” luah Jonathan, 16 tahun.

Apabila ditanya tentang sesi-sesi latihan, Iskandar pula menambah bahawa ia padat dan ringkas tetapi tidak mudah.

“Latihan mencabar dan dihadkan kepada 1 jam 30 minit saja setiap sesi … kami mesti bekerja keras dan memberi fokus sepenuhnya. Tiada masa untuk berkhayal. Setiap saat berharga,” ujar pemain penyerang yang berusia 17 tahun itu.

Dalam pada itu, suhu bawah 10 darjah Selsius memburukkan lagi keadaan lebih-lebih lagi memandangkan ketiga-tiga anak muda ini belum pernah ke Eropah apatah lagi mengalami cuaca sejuk seperti itu.

“Saya tidak pernah ke Eropah. Saya tidak pernah rasa sejuk seperti di Nantes … Singapura panas tetapi semasa berlatih di situ, saya rasa seperti ada benda tajam di tekak saya ketika saya cuba bernafas.

“Sewaktu latihan juga, saya tidak dapat rasa badan saya – jari-jari saya menjadi kebas dan saya rasa seolah-olah hidung saya berdarah tetapi tidak sebenarnya,” ujar Ashrul pula yang bermain di bahagian kiri benteng pertahanan.

Walau bagaimanapun, lama-kelamaan ketiga-tiga pemain ini berjaya menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di Nantes sekali gus lebih selesa berlatih dan menimba pengalaman berharga.

BERBEZA BERBANDING S’PURA

Antara perbezaan yang disebut oleh ketiga-tiga remaja itu adalah jumlah pelajar yang sangat kecil dalam kelas-kelas seharian mereka iaitu hanya lapan orang saja!

“Sekolah mereka sangat unik. Lapan orang dalam bilik darjah bermakna setiap pelajar boleh mendapatkan bimbingan sepenuhnya bagi pelajaran mereka,” kata Jonathan yang sedang menuntut di Sekolah Menengah Ang Mo Kio.

Namun, perbezaan paling ketara menurut beliau adalah sikap profesional para pemain akademi tersebut, baik di luar mahupun di dalam padang.

“Mereka hadir untuk sesi latihan jauh lebih awal dan mereka mengambil berat terhadap setiap sesi latihan. Ini sangat berlainan berbanding yang kita lihat di Singapura,” tambah pemain midfield itu.

Turut bersependapat ialah Ashrul yang kagum dengan fokus seratus peratus yang diberikan setiap pemain sewaktu berlatih.

“Mereka pantas berfikir. Mereka tahu ke mana mahu mengumpan bola, bagaimana untuk menggelecek dan menyepak bola. Mereka mampu membuat keputusan dengan pantas.

“Mereka tidak bergurau atau berbual kosong tentang perkara lain ketika sedang menjalani latihan. Mereka hanya fokus dan memberikan sepenuh tumpuan,” kata beliau yang sudah tiga tahun berlatih di bawah asuhan Etoile FC.

BERMOTIVASI MENJADI PEMAIN LEBIH HEBAT

Sepanjang tempoh program itu, Iskandar, Ashrul dan Jonathan juga bertuah dapat menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung di Stadium de la Beaujoire.

Buat Ashrul, kemegahan stadium tersebut adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan: “Tapak FC Nantes sangat besar dan lebih 38,000 orang menonton perlawanan malam itu. Tidak pernah saya duduk di stadium seramai itu untuk menyaksikan perlawanan bola sepak!”

Iskandar pula terharu dengan layanan muhibah daripada para pemain FC Nantes yang meminjamkan jaket mereka apabila beliau kesejukan kerana terlupa membawa pakaian musim sejuk.

Malah, presiden FC Nantes sendiri yang menyampaikan ketiga-tiga pemain Singapura itu dengan jersi pasukan yang sudah dicetak dengan nama dan nombor pilihan masing-masing.

Para pemain Etoile FC Academy turut diberi jersi beserta nama dan nombor kegemaran mereka. (Gambar: Etoile FC Academy) 

Para pemain Etoile FC Academy turut diberi jersi beserta nama dan nombor kegemaran mereka. (Gambar: Etoile FC Academy) 

“Presiden kelab turun padang dan memberi kami jersi FC Nantes dengan nombor kegemaran kami serta nama kami. Saya seperti tidak percaya apabila menerima jersi nombor 10 dengan nama saya terpapar kerana itulah nombor kegemaran saya,” kata Jonathan penuh kegembiraan.

Pengalaman bertemu dengan para pemain FC Nantes termasuk bekas pemain Manchester United Fábio da Silva dan berlatih bersama rakan-rakan sebaya dari akademi bawah 17 tahun kelab unggul itu membakar semangat ketiga-tiga pemain dari Singapura untuk menjadi pemain lebih hebat.

Bak kata Iskandar:“Melihat mereka bekerja keras untuk mencapai cita-cita mereka dan kata-kata perangsang yang mereka kongsi bersama saya, saya rasa lebih bermotivasi. Mereka menjadikan saya seorang pemain yang berbeza, lebih baik.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan