Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI lancar buku panduan bimbing pelajar ITE persiap bagi kerjaya masa depan

Yayasan MENDAKI pada Sabtu (17 Ogos) melancarkan buku panduan untuk membantu pelajar ITE mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa depan. Buku bertajuk "Log in to the Future" itu dihasilkan bagi membimbing mereka terus teroka dan rebut peluang yang ditawarkan untuk memaksimumkan potensi mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Badan bantu diri Yayasan MENDAKI pada Sabtu (17 Ogos) melancarkan buku panduan untuk membantu pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa depan.

Buku bertajuk "Log in to the Future" itu dihasilkan bagi membimbing pelajar ITE terus teroka dan rebut peluang yang ditawarkan untuk memaksimumkan potensi mereka.

Antara lain, buku panduan setebal 60 mukas surat itu menyentuh cara-cara bersiap sedia dari segi kewangan, hadapi cabaran kerjaya dan trend masa depan.

Ia dilancarkan sempena seminar NextStop MENDAKI, di bawah daya usaha untuk mempersiapkan masyarakat dengan kemahiran yang diperlukan dalam landskap pekerjaan hari ini.

Lantaran itu, buku tersebut menyokong bidang tumpuan kerjasama M³ - MENDAKI, MUIS dan MESRA untuk memperkasa golongan belia, sekali gus diharap dapat membantu para pelajar membuat perancangan yang lebih bernas untuk masa depan mereka.

Ini termasuk menetapkan matlamat yang berkesan serta senarai semak kerjaya sesuai.

Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Pembangunan Negara Zaqy Mohamad menekankan perlunya kemahiran serta "penyesuaian kepada kerjaya" untuk melengkapi pendidikan yang dilalui pelajar di sekolah.

"(Bagi para pelajar) kemahiran amat penting dan juga penyesuaian kepada kerjaya dan pekerjaan yang akan datang juga penting juga," kata Encik Zaqy, yang juga Timbalan Pengerusi MENDAKI.

"Di sini, kita berharap kita dapat menolong pelajar kita untuk lebih bersiap sedia di mana mereka dapat kerjaya yang baik, mereka dapat menjalankan atau memulakan pekerjaan mereka dengan licin."

Bahkan beliau yakin dengan buku panduan serta kegiatan pembangunan yang dijalankan MENDAKI di pusat belia YouthSpace@ITE akan membantu pelajar dalam mempersiapkan mereka menyertai tenaga kerja.

Sebanyak 150 buku diagihkan kepada pelajar ITE yang menyertai seminar hari ini dengan 2,000 lagi akan dibahagi-bahagikan di ketiga-tiga pusat belia YouthSpace@ITE.

Sempena acara hari ini para pelajar juga berpeluang mengikuti sesi perbincangan bersama badan-badan seperti MENDAKI SENSE dan Teknologi Pembelajaran Adam Khoo tentang cabaran menghadapi ekonomi baru. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan