Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Mat motor, belia Masjid Darul Aman bersatu hati ‘One Love On Wheels’ dampingi golongan memerlukan

'ONE LOVE ON WHEELS' - inisiatif gandingan dua generasi, yang terdiri daripada penggiat-penggiat motosikal dan belia Masjid Darul Aman, menjadi sebagai satu wadah untuk menyumbang semula kepada masyarakat setempat yang memerlukan keprihatinan masyarakat umum.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bak kata pepatah Melayu, ringin sama dijinjing berat sama dipukul, itulah istilah zaman ke zaman yang tidak lapuk dek hujan dan kering dek panas. 

Sikap ambil peduli dan keprihatinan sudah menjadi sebati dalam masyarakat kita, maka dengan acara seperti 'ONE LOVE ON WHEELS' - inisiatif gandingan dua generasi, yang terdiri daripada penggiat-penggiat motosikal dan belia Masjid Darul Aman, ia menjadi sebagai satu wadah untuk menyumbang semula kepada masyarakat setempat yang memerlukan keprihatinan masyarakat umum, khususnya dari mereka yang mempunyai kemampuan dari segi tenaga serta kelapangan masa untuk berkhidmat kembali kepada mereka.

Kesukarelawanan adalah sifat yang terpuji lagi amat digalakkan dalam agama. Ibadah sendiri tidak tertakluk kepada ikatan Hamba dengan Tuhannya semata-mata namun tidak dinafikan ia adalah peranan utama insan dalam erti kehidupan tetapi ia tercabang juga kepada hubungan dengan sesama insan.

Maka itu, konsep 'khilafah' ini membawa maksud penyebaran rahmah serta bersifat ihsan kepada sesama makhluk walaupun kepada tumbuh-tumbuhan, maka dalam erti kata lainnya, setiap individu harus memainkan peranan dalam menyebarkan rahmah dan ihsan ini kepada masyarakatnya terutama bagi golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik.

Bahkan, sehubungan dengan ini juga, ia terkait rapat dengan amalan sukarelawan itu sendiri yang mana, amalan tersebut mengukuhkan serta memperbaiki jalinan hubungan sesama masyarakat, kerana tanpanya, maka masyarakat akan pincang, lantas merobohkan keharmonian dan kestabilan masyarakat itu sendiri.

Dalam definisi umum, sukarelawanan merujuk kepada sebarang kegiatan altruistik meilbatkan penyediaan perkhidmatan tanpa diharapkan keuntungannya - iaitu secara sukarela - oleh individu atau kumpulan (sukarelawan ataupun relawan) "untuk memberi manfaat kepada individu, kumpulan atau organisasi lain.

BELIA MASJID DAN AKTIVITI KESUKARELAWANAN

Menerusi kelas-kelas harian anjuran masjid-masjid seperti aLIVE dan seumpamanya, ramai anak muda kita mula mengisi masa mereka di masjid setelah selesai kelas yang dihadiri, dan tambahan dari itu juga, rata-rata setiap masjid mempunyai kumpulan belia yang dianggotai oleh para belia dari aLIVE ataupun menerusi kawan ke kawan, yang diterajui oleh seorang pegawai pembangunan belia.

Inisiatif ini mula berkembang sejak beberapa tahun yang lalu, dengan terbentuknya pelbagai kumpulan belia seperti Ikhwan Ameerah yang berpusat di Masjid Al-Ansar dan Al Hawariyyun yang berpusat di Masjid Darul Aman. Mereka ini mewakilkan masjid mereka bagi pihak belia untuk menarik minat para belia setempat dengan perkembangan yang serba pesat agar mereka terdorong untuk ke masjid. Ini kerana konsep masjid khusus bagi 'orang-orang tua' sahaja sudah tidak relevan lagi, bahkan dengan mengikuti perkembangan semasa, masjid juga dapat menjadi pusat bagi menampung kegiatan-kegiatan berunsur kebeliaan dengan menggabungkan pendidikan moral di dalamnya.

Maka itu, acara-acara belia seperti Ramadan Youth Camp, yang diadakan secara tahunan oleh Kumpulan Belia Masjid-Masjid setempat dan juga acara eksklusif seperti ONE LOVE ON WHEELS yang diadakan di Masjid Darul Aman, iaitu satu usaha sama antara para penggiat motosikal dengan belia Masjid Darul Aman iaitu Al Hawariyyun, ia dapat mengisi kekosongan waktu para belia dari tersisa begitu sahaja dengan berkhidmat kepada masjid dan dalam masa yang sama, dapat membuat teman baru sambil bergotong-royong dan bergading bahu untuk berkhidmat secara sukarela.

Acara ONE LOVE ON WHEELS adalah satu acara tahunan anjuran Alhawariyyun Masjid Darul Aman bagi merapatkan lagi silaturrahim antara mat-mat motor dengan tenaga kerja Masjid Darul Aman, sekaligus berganding bahu untuk sama-sama menjayakan acara ini.

Tumpuan utamanya adalah pengagihan barang-barang dapur kepada keluarga-keluarga yang memerlukan di sekitar masjid.Ia mendapat sambutan baik dari belia setempat khususnya yang mendiami sekitar kawasan timur Singapura. Lebih dari itu, para belia yang menyertai acara ini bertungkus-lumus untuk menyiapkan barang-barang agihan, yang terdiri daripada makanan-makanan asas seperti beras, gula, susu pekat dan sebagainya untuk diagihkan kepada warga setempat yang memerlukan.

Pengagihan ini dilakukan oleh ‘mat-mat'motosikal bersama rombongan mereka ke estet-estet perumahan yang disenaraikan nama-nama mereka yang terpilih oleh pihak masjid. Kesudahannya, acara sebegini memupuk para belia kita khususnya, dengan nilai-nilai ihsan serta keprihatinan terhadap masyarakat dan lebih peka dengan keadaan sekeliling menerusi wadah ini dan memandangkan peringkat umur para belia yang menyertai acara ini terdiri daripada awal remaja, maka ia amat bermanfaat bagi mereka kerana bak kata pepatah Melayu, "melentur buluh, biarlah dari rebungnya".

Dari sini, kita dapat mengambil kefahaman bahawasanya anak-anak kita harus dididik dan diajar dari usia muda dan terdedahnya mereka kepada acara-acara seperti yang sedemikian akan membuat mereka lebih terbiasa dengan amalan sukarelawan sehingga mereka mencapai usia dewasa dan kita tidak harus lupa juga bahawa mereka akan menjadi pelapis bagi generasi yang terdahulu, lantas nilai-nilai apakah yang harus dibekalkan buat mereka?

PUPUK NILAI MANFAATKAN KAUM DAN NEGARA

Tidak lain dan tidak bukan nilai-nilai seperti gemar membuat kebajikan dan perkara-perkara yang memanfaatkan nusa, kaum dan negara.

Sememangnya, amalan sukarelawan ini adalah amalan fitrah maknawi yang terdapat dalam jati diri setiap manusia. Ia harus diusahakan serta diberi perhatian oleh kita sendiri agar tidak mensia-siakan peluang yang ada untuk sedia berkhidmat kepada masyarakat dari semasa ke semasa dan juga mendidik serta memupuk anak-anak muda kita dengan merasa senang untuk membuat kerja-kerja sukarelawan agar amalan ini tidak putus ditelan zaman dan dilupakan begitu sahaja.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan