Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mashitah Abu Bakar catat 5 gred A, antara pelajar terbaik Madrasah Al-Arabiah bagi GCE O

Wartawan BERITAMediacorp bertemu dengan pelajar cemerlang dari Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, dan mencungkil rahsia kejayaannya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sembilan agregat dan lima gred 'A'.

Itulah antara keputusan cemerlang yang dicatat pelajar madrasah, apabila keputusan GCE O diumumkan siang tadi (11 Jan).

Kesemuanya 340 pelajar madrasah menduduki peperiksaan GCE O tahun lalu.

Wartawan BERITAMediacorp bertemu dengan pelajar cemerlang dari Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, dan mencungkil rahsia kejayaannya.

MASHITAH ABU BAKAR - PELAJAR KONSISTEN

Ini dia antara pelajar terbaik dari madrasah Al-Arabiah, iaitu Mashitah Abu Bakar.

Dia mendapat gred 'A' bagi lima daripada sembilan subjek yang diambilnya, sekaligus mencatat mata sembilan agregat bagi lima subjek.

Menurut guru-gurunya, Mashitah merupakan seorang pelajar yang konsisten dalam pelajarannya dan ini terbukti daripada keputusan cemerlang yang seringkali dicapainya.

"Pihak sekolah pernah memanggil seorang pensyarah yang mengajar kami teknik pembelajaran. Jadi saya menggunakan teknik di mana saya belajar untuk 15 minit. Selepas itu saya berhenti sebentar dan ulang balik apa yang sudah saya baca dalam 15 minit itu dan saya akan lakukannya mungkin dalam sejam begitu," Mashitah memberitahu BERITAMediacorp.

BERHASRAT TUBUHKAN YAYASAN SENDIRI

Anak muda itu menyimpan hasrat murni untuk menubuhkan sebuah yayasan di hari muka kerana percaya insan yang berpengetahuan kurang manfaatnya jika tidak menabur bakti dan menyumbang semula kepada masyarakat.

Cita-cita murninya itu berputik sekembalinya dia dari sebuah lawatan bantuan kemanusiaan anjuran sekolahnya bersama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) di Istanbul pada 2015.

Rombongan itu ke sana untuk menghulurkan sedikit keperluan asas kepada para pelarian Syria di Istanbul supaya mereka lebih bersedia bagi mengharungi musim sejuk.

Nyata, kehidupan seharian yang dilalui para pelarian Syria amat menyentuh hatinya dan membuka matanya untuk lebih menghargai setiap apa yang diperolehinya sekarang.

Mashitah ingin melanjutkan pelajarannya sama ada di peringkat pra-universiti madrasah setempat ataupun mengambil jurusan Psikologi di Politeknik.

MUHAMMAD HAFAZ - DISLEKSIA BUKAN PENGHAMBAT KEJAYAAN

Seorang lagi pelajar Madrasah Al-Arabiah, lulus tujuh mata pelajaran GCE O, walaupun mengalami gangguan disleksia, sejak kecil lagi.

Ia adalah keadaan yang memberi kesan kepada pembelajaran bahasa - sama ada membaca, menulis atau mengeja.

Hal ini membuatkan para guru sekolah rendahnya beranggapan bahawa dia mungkin tidak wajar melanjutkan pelajarannya ke peringkat menengah kerana khuatir dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik.

Namun, Muhammad Hafaz Mohd Kahliab, mendapat sokongan kuat dari keluarganya.

Demi memastikan Hafaz menerima peluang pembelajaran sama seperti kanak-kanak yang lain, ibu bapanya mendaftarkan anak mereka itu ke Persatuan Disleksia Singapura (DAS) agar dia diberi bimbingan khusus untuk membantunya mengatasi sebarang cabaran dalam pembelajaran.

Hafaz kemudian menuntut di Madrasah Al-Arabiah setelah tamat pengajiannya bersama DAS pada 2014.

Daya dan kegigihannya jelas membuahkan hasil apabila dia menerima keputusan peperiksaan GCE O yang di luar jangkaannya hari ini.

Hafaz bukan sahaja lulus kesemua tujuh subjek yang diambilnya, malah mendapat A dalam Matematik dan IRK.

"Keadaan saya tidak menghalang saya dari membuat terbaik dalam peperiksan O Level. Tetapi ia mencabar saya untuk saya membuat yang terbaik dalam peperiksaan ini," Hafaz memberitahu BERITAMediacorp.

Dia kini mahu mengikut jejak langkah kakaknya mendalami ilmu ukhrawi di madrasah setempat kelak.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan