Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahasiswi NTU tubuh kempen lindung warga tua dari 'berita palsu'

Sedang laporan-laporan palsu disebarkan di media sosial, sekumpulan mahasiswi Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berharap untuk mendidik warga tua Singapura tentang cara-cara untuk memeriksa kesahihan berita yang disebarkan kepada mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahasiswi NTU tubuh kempen lindung warga tua dari 'berita palsu'
Diterbitkan : 03 Feb 2020 11:07AM Dikemas Kini : 23 Sep 2020 02:42AM

SINGAPURA: Sedang laporan-laporan palsu disebarkan di media sosial, sekumpulan mahasiswi Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berharap untuk mendidik warga tua Singapura tentang cara-cara untuk memeriksa kesahihan berita yang disebarkan kepada mereka.

Baru-baru ini, mesej-mesej di wadah sosial seperti WhatsApp dan Facebook mendakwa bahawa sebilangan rakyat Singapura dijangkiti virus korona baru itu dan stesen MRT Woodlands ditutup akibat kes yang disyaki adalah jangkitan virus berkenaan.

Mesej-mesej tersebut disahkan sebagai tidak benar oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), secara berasingan.

Bagi menangani maklumat palsu yang disebarkan menerusi WhatApp, kumpulan yang terdiri daripada empat mahasiswi pengajian komunikasi menubuhkan sebuah kempen untuk projek tahun akhir mereka yang dinamakan "Sure Anot". Kempen itu disasarkan kepada rakyat Singapura yang berusia antara 50 hingga 64 tahun.

"Banyak berita palsu dikongsi di kumpulan-kumpulan tertutup seperti WhatsApp," kata Cik Rachel Anne Chew Ming Hui, 23, salah seorang anggota pasukan. "Kempen kami diharap akan dapat menggalak orang awam dalam lingkungan usia ibu bapa kami supaya lebih berwaspada terhadap mesej-mesej yang diterima menerusi kumpulan-kumpulan tersebut."

WhatsApp adalah wadah kiriman mesej sosial yang digunakan paling meluas dalam kalangan rakyat Singapura, menurut syarikat pemasaran digital Media One Marketing. Namun, mesej-mesej tersulit (encrypted) WhatsApp dan atas sebab itu para pengawal selia tidak boleh mengakses dan mengesahkan mesej-mesej palsu itu.

Sebahagian besar golongan lanjut usia juga tidak tahu cara untuk mengesahkan maklumat palsu

Pasukan mahasiswi itu memilih untuk menumpukan usaha mereka kepada golongan lanjut usia kerana mereka mendapati dalam satu tinjauan prakempen bahawa sebahagian besar golongan itu menerima maklumat palsu tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengesahkannya.

Daripada 178 rakyat Singapura berusia antara 50 hingga 64 tahun yang ditinjau, hampir semua pernah menerima mesej palsu menerusi WhatsApp. Namun, sekitar separuh daripada mereka tidak tahu bagaimana untuk memeriksa maklumat seumpama itu.

KAEDAH TIGA LANGKAH "Be Safe, Be Sure"

Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, pasukan itu melakar pendekatan serampang tiga mata yang disarankan kepada golongan lanjut usia apabila membaca mesej melalui WhatsApp.

"Kami menyedari bahawa golongan lanjut usia mungkin rasa keliru apabila disuruh menggunakan kaedah memeriksa fakta seperti pencarian 'reverse' gambar," kata Cik Lee Yun Ting, 25, ketua pasukan Sure Anot. "Adalah penting untuk menawarkan langkah-langkah yang lebih mudah untuk mereka lakukan, untuk memerangi penyebaran berita palsu."

Pencarian reverse image adalah proses di mana gambar yang dimuat naik, menjalani pencarian online untuk menentukan sama ada terdapat salinan imej serupa daripada sumber-sumber lain.

TANYA PADA DIRI SENDIRI, "BETUL KE?"

Berikut adalah dua langkah pertama yang disarankan

Jangan mengongsi mesej itu dengan serta-merta tanpa mempersoalkan bahan tersebut, seperti yang dilakukan ramai orang.

Penerima harus bertanya pada diri sendiri:
"Betul ke?", iaitu sama ada mereka yakin maklumat yang baru diterima itu adalah benar. Misalnya, mereka boleh menanyakan orang yang mengirimkan mesej itu, dari mana sumbernya.

Langkah-langkah itu dilakarkan berdasarkan hasil tinjauan prakempen kumpulan untuk selepas mendapatkan nasihat daripada para profesor mereka.

Mereka mendapati sepertiga responden mengongsi dengan segera mesej berita yang diterima daripada seorang kawan atau anggota keluarga. Hanya satu daripada 10 responden akan meminta lebih maklumat daripada pengirim mesej untuk memeriksa sama ada ia benar.

Langkah ketiga dan terakhir yang disarankan mahasiswi-mahasiswi itu melibatkan pengesahan mesej.

Mereka berkata para pengguna dinasihati supaya mencontohi rangka kerja yang dihasilkan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada 2013. Rangka kerja itu mengingatkan para pembaca supaya memeriksa sumber berita yang dibaca, memahami apa yang dibaca, mencari lebih banyak maklumat dan melakukan penilaian sendiri.

Selain langkah-langkah tersebut, kumpulan mahasiswi itu juga menubuhkan kumpulan-kumpulan WhatsApp dan Facebook di mana mereka mengongsi laporan-laporan palsu yang sudah dibuktikan kepalsuannya. Kebanyakan penjelasan mereka dikongsi daripada rakan usaha sama Black Dot Research, sebuah platform bebas di Singapura untuk memeriksa fakta.

Pasukan itu akan mengadakan pameran bergerak dari 13 hingga 16 Februari di pusat beli-belah Jurong Point untuk meningkatkan kesedaran tentang gejala "berita palsu" dan mendidik orang ramai tentang kaedah tiga langkah yang dilakarkan itu.

Mereka juga berharap untuk mengongsi kaedah berkenaan melalui kelas-kelas celik digital bagi warga lanjut usia anjuran badan bukan mencari untung RSVP Singapore The Organization of Senior Volunteers.

Sumber : Today/AY/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan