Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Madrasah Alsagoff tawar kursus 'coding', cipta e-buku dan program dron dalam kurikulumnya

Bukan hanya terkenal sebagai sebuah madrasah tertua di S'pura, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah juga dikenali sebagai madrasah yang menggunakan iPad bagi hampir setiap subjek pembelajaran sejak 10 tahun lalu. Mulai tahun ini, madrasah yang terletak di Jalan Sultan itu menerapkan satu lagi pembaharuan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bukan setakat terkenal sebagai sebuah madrasah tertua di Singapura, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah juga dikenali sebagai madrasah yang menggunakan iPad bagi hampir setiap subjek pembelajarannya sejak 10 tahun lalu.

Mulai tahun ini pula, madrasah yang terletak di Jalan Sultan itu menerapkan satu lagi pembaharuan.

Ia akan melancarkan secara rasmi pendidikan koding (coding), penghasilan buku elektronik (e-book) dan pembelajaran dron sebagai sebahagian daripada kurikulum pembelajarannya.

Ini selepas sesi percubaan yang dijalankan madrasah itu tahun lalu bagi sekumpulan pelajar Darjah 6, terbukti keberkesanannya.

Penggunaan teknologi secara meluas yang diterapkan oleh Madrasah Alsagoff ini juga menjadikannya satu-satunya madrasah yang diiktiraf oleh syarikat besar, Apple.

MURID DARJAH 6 HASILKAN BUKU ELEKTRONIK BAGI PELAJAR RENDAH

Bermula sebagai sebuah program pos-PSLE (Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah), 26 murid Darjah 6 mempelajari cara-cara untuk menggunakan produk sofwe Apple "Everyone Can Create".

Dengan niat sebagai satu sesi 'percubaan' untuk memberi pendedahan kepada para pelajar, pengalaman yang diraih murid-murid selama tiga minggu itu ternyata membawa hasil di luar jangkaan.

Murid Darjah 6 bukan sahaja dapat mengetahui selok belok menggunakan aplikasi itu, malah mampu menghasilkan buku cerita elektronik dalam Bahasa Arab.

Melihat mutu dan kualiti yang mereka hasilkan, pihak madrasah membuat keputusan untuk menggunakan produk mereka itu sebagai teks bacaan untuk murid rendah, dari Darjah 1 hingga 3.

"Setelah memperkenalkan iPad di pendidikan Alsagoff hampir 10 tahun yang lalu, inilah masa untuk kita pergi ke peringkat selanjutnya di mana para pelajar kali ini juga didedahkan dengan kemahiran-kemahiran untuk mereka mencipta sendiri buku, mempunyai kemahiran berfikir yang lebih berstruktur.

"Jadi, kami merasakan dengan memperkenalkan lebih banyak lagi bahan-bahan dan juga aplikasi-aplikasi yang bersesuaian dengan pengekodan, di mana kita adakan pendidikan STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian, dan Matematik) di Madrasah ini," kata mudir madrasah itu, Ustaz Syed Mustafa Alsagoff.

Dua produk terbaik datang daripada Sofiyyah Mohd Amirullah dan Nurhana Rehan.

Berkongsi pengalamannya, Sofiyyah berkata proses mempelajari sofwe memberikan keyakinan untuk dirinya.

"Selepas membuat projek bersama rakan-rakan kelas saya, saya berasa lebih yakin kerana saya dapat menghasilkan buku ini untuk adik-adik Darjah 3," kongsinya.

Ingin memberikan murid peringkat rendah belajar secara interaktif, Nurhana berharap buku elektronik yang dihasilkannya itu dapat membawa keseronokan kepada mereka.

"Harapan saya untuk buku ini ialah pelajar dari Darjah 3 dan Darjah 2 boleh belajar buku ini dan belajar lebih dengan Bahasa Arab dan mereka boleh belajar yang kita boleh belajar Bahasa Arab dengan seronok," kongsinya.

BUKU ELEKTRONIK DIBUKA KEPADA ORANG RAMAI

Akur bahawa sumber dan teks Bahasa Arab bagi murid rendah boleh dikatakan agak 'langka' di sini, Ustaz Syed Mustafa berkongsi madrasah itu sedang berusaha untuk menjadikannya mudah untuk diakses bagi penggunaan orang ramai.

Menariknya, produk yang dicipta itu tidak hanya boleh dikongsi kepada mereka yang menggunakan produk Apple, malah ia terbuka kepada pengguna alat elektronik bijak lain seperti Samsung dan sebagainya.

"Sepertimana yang kita tahu bahan-bahan Bahasa Arab amat terhad terutama dalam sudut teknologi dan juga bersesuaian dengan kita di Singapura atau di Malaysia yang bukan yang bertutur dalam Bahasa Arab.

"Jadi mereka sendiri, mencipta sesuatu yang sesuai untuk adik-adik mereka (murid rendah), jadi dengan ini bahan-bahan Bahasa Arab akan menjadi lebih kaya lagi pada masa hadapan dengan banyaknya buku-buku cerita, buku-buku yang pelajar sendiri menulis, melukis, dan pelajar sendiri meletakkan digital dan kemudian kita sebarkan kepada para pelajar peringkat rendah kemudian kalau ianya bersesuaian kita akan sebarkannya kepada masyarakat umum," kongsinya dengan pihak kami.

CIPTA ROBOT HASIL ILMU 'CODING'

Kurikulum yang akan ditawarkan Madrasah Alsagoff tidak hanya terhad kepada penghasilan buku elektronik.

Madrasah itu juga akan memperkenalkan pembelajaran pengekodan dalam kurikulum mereka sejajar dengan kemahiran dan keperluan yang semakin canggih pada alaf ke-21 ini.

Selain mampu untuk mencipta robot, pelajar juga akan diberi pendedahan kepada kemahiran memprogram dron.

"Saya rasa belajar pengekodan ini amat penting kerana semua orang tidak dapat peluang untuk sebenarnya belajar pengekodan dan belajar bagaimana robot ini digerakkan.

"Belajar pengekodan ini dapat menaikkan semangat saya untuk belajar dengan lebih tentang teknologi-teknologi dan saya harap apabila saya besar nanti saya dapat membuat robot saya yang tersendiri yang besar dan boleh berkhidmat dengan masyarakat," kongsi salah seorang murid pengekodan, Nur Wad'ah Mohamed. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan