Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

'Legal Kaki' SMU cipta wadah kira gaji online CalculAID; bantu pekerja asing buat tuntutan

Berbekalkan tekad untuk memudahkan akses bagi menegakkan keadilan untuk para pekerja asing, sebuah pasukan mahasiswa SMU melancarkan wadah pengiraan gaji online secara percuma untuk membimbing para pekerja dalam proses menuntut gaji yang tidak dibayar oleh majikan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
'Legal Kaki' SMU cipta wadah kira gaji online CalculAID; bantu pekerja asing buat tuntutan

Pasukan 'Legal Kaki' di Festival Teknologi Undang-Undang (TechLaw.Fest) 2019. (Gambar: Nur Shukrina Abdul Salam)

SINGAPURA: Berbekalkan tekad untuk memudahkan akses bagi menegakkan keadilan untuk para pekerja asing, sebuah pasukan mahasiswa Universiti Pengurusan Singapura (SMU) melancarkan wadah pengiraan gaji online secara percuma untuk membimbing para pekerja dalam proses menuntut gaji yang tidak dibayar oleh majikan mereka.

Pasukan ‘Legal Kaki’ terdiri daripada dua mahasiswi undang-undang Nur Shukrina Abdul Salam dan Sambhavi Rajangam, serta mahasiswi ekonomi Joey Chung dan mahasiswa sistem maklumat Abhyuday Samadder.

Akademi Undang-Undang Singapura (SAL) bekerjasama dengan Legal Kaki untuk memperkenalkan lelaman CalculAID pada Oktober semasa Festival Teknologi Undang-Undang (TechLaw.Fest) 2020 dan dilancarkan bagi kegunaan pekerja asing mulai Isnin (21 Dis).

DEMI TEGAKKAN KEADILAN

CalculAID mula dibangunkan pada 2019 sebagai wadah untuk mengira gaji secara am bagi tujuan menghuraikan pertikaian dalam usaha rapat antara Legal Kaki dengan SAL.

Namun sejak pandemik COVID-19 melanda Singapura, kesannya terhadap para pekerja asing – kebanyakannya digantung kerja dan menginap di dormitori – begitu meruncing sekali.

Pasukan Legal Kaki menyingsing lengan semasa acara 'hackathon' pada 2019 untuk menghasilkan huraian teknologi yang membantu dalam menuntut keadilan. (Gambar: Nur Shukrina Abdul Salam)

Pasukan Legal Kaki menyingsing lengan semasa acara 'hackathon' pada 2019 untuk menghasilkan huraian teknologi yang membantu dalam menuntut keadilan. (Gambar: Nur Shukrina Abdul Salam)

Wadah CalculAID bermatlamat untuk memperincikan pengiraan gaji, meningkatkan kesedaran tentang hak pekerja dan membantu para pekerja ketika mengharungi proses tuntutan gaji.

Meskipun terdapat wadah-wadah bagi menghuraikan pertikaian antara pekerja dengan majikan, ramai pekerja – lebih-lebih lagi para pekerja asing – berdepan dengan pelbagai rintangan untuk menuntut keadilan.

Seseorang pekerja boleh membuat permohonan bagi proses timbang tara menerusi Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) atau memfailkan tuntutan menerusi Tribunal Tuntutan Pekerjaan (ECT).

Namun, Cik Shukrina, 22 tahun, berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa ramai pekerja asing kurang arif tentang hak-hak mereka dan sukar mendapatkan khidmat mahupun bantuan guaman serta tidak fasih berbahasa Inggeris, iaitu bahasa rasmi yang lazim digunakan dalam segala urusan di Singapura.

“Meskipun mereka boleh meminta bantuan pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah (NGO) yang membantu pekerja asing, saya fikir NGO-NGO tidak mempunyai kapasiti yang secukupnya untuk membantu seberapa ramai pekerja asing yang ingin dibantu,” kongsi Cik Shukrina kepada BERITAmediacorp.

Akibatnya, seseorang pekerja mungkin gagal dalam permohonannya kerana tidak berupaya menyatakan tuntutannya dengan jelas atau bahan bukti tidak mencukupi.

BIMBINGAN LANGKAH DEMI LANGKAH

Lantaran itu, CalculAID membantu untuk menangani cabaran-cabaran sedemikian dari empat aspek yang berbeza.

Pertama, wadah CalculAID boleh diakses dalam bahasa-bahasa yang digunakan oleh sebahagian besar pekerja asing selain Inggeris, iaitu Tamil, Benggali, Mandarin dan Bahasa Melayu. Versi bahasa Burma masih dibangunkan.

Kedua, CalculAID menghimpunkan segala pengiraan tuntutan gaji berdasarkan maklumat yang disediakan para pengguna dalam bentuk dokumen. Ia membantu seseorang pengguna supaya dapat menjelaskan pengiraan itu dan mempertahankan jumlah gaji yang dituntut semasa proses pengantaraan atau perbicaraan.

Mereka hanya perlu menjawab soalan-soalan yang tertera di laman CalculAID seperti hari dan waktu bekerja pada hari-hari yang dipertikaikan gajinya dan menyiapkan dokumen-dokumen yang perlu diserahkan.

Ketiga, CalculAID menyarankan dokumen-dokumen untuk dijadikan bahan bukti bagi menyokong tuntutan mereka.

Akhir sekali, CalculAID akan menjelaskan langkah-langkah seterusnya bagi memulakan proses menuntut gaji serta tip-tip bagi setiap peringkat.

Sebenarnya, CalculAID boleh digunakan oleh mana-mana pekerja yang diliputi Akta Pekerjaan dan bertugas pada waktu biasa.

Para pengguna laman CalculAid dibimbing soalan demi soalan.

Para pengguna laman CalculAid dibimbing soalan demi soalan supaya lebih berupaya menjelaskan tuntutan mereka semasa pengantaraan atau perbicaraan. 

Namun buat masa ini, ia disesuaikan bagi kegunaan para pekerja asing dengan menyertakan soalan-soalan berkenaan Permit Kerja dan Kebenaran Pada Prinsip bagi Permit Kerja.

CalculAID tidak meliputi para pembantu rumah warga asing yang diambil bekerja di bawah Akta Pengambilan Tenaga Kerja Asing.

Cik Shukrina melahirkan harapan agar wadah itu boleh dilancarkan bagi kegunaan masyarakat umum setelah ia diperhalusi dengan mengambil kira maklum balas para pekerja asing.

“Semestinya (CalculAID) tidak akan membantu untuk menyelesaikan isu-isu struktur... Namun kita fikir ia merupakan langkah menuju ke arah yang tepat,” akur Cik Shukrina.

Isu-isu struktur yang dimaksudkan beliau termasuk, majikan yang menukar kontrak pekerjaan setibanya pekerja asing di negara ini dan pekerja yang disuruh menandatangani 'cek kosong' atau kontrak baru yang tidak difahami syarat-syaratnya serta kontrak yang dipersetujui secara lisan.

Cabaran sedemikian, kata Cik Shukrina, mendatangkan masalah dari segi bahan bukti sekiranya berlaku pertikaian.

PENDIGITALAN DEMI TEGAKKAN KEADILAN

Sungguhpun CalculAID mudah untuk digunakan, di belakang tabir, Cik Shukrina meluangkan masa kira-kira 30 jam setiap minggu semasa penggal persekolahannya dan sebahagian besar tempoh cuti sekolah untuk menyelidik undang-undang dan proses penyelesaian pertikaian pekerjaan di Singapura.

Ini semua di samping tuntutan pengajiannya dalam jurusan undang-undang yang sudah cukup mencabar.

Pasukannya juga perlu berurusan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti SAL, Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Pusat Keadilan Masyarakat (CJC), peguam-peguam penasihat, syarikat konsultan Verlata dan NGO seperti Pusat Pekerja Asing (MWC) dan Transient Workers Count Too (TWC2).

Legal Kaki juga bekerjasama rapat dengan syarikat checkbox.ai yang menyediakan wadah tanpa kod bagi pembangunan huraian-huraian automasi.

Usaha Legal Kaki adalah sebahagian daripada inisiatif luas Akademi Undang-Undang Singapura (SAL) untuk menggalak pendigitalan dalam sektor guaman, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi seterusnya.

Mahasiswi undang-undang Nur Shukrina Abdul Salam ketika berucap di TechLaw.Fest 2019. (Gambar: SAL)

Mahasiswi undang-undang Nur Shukrina Abdul Salam ketika berucap di TechLaw.Fest 2019. (Gambar: SAL)

Dalam catatan LinkedInnya, Cik Shukrina berkata: “Sebagai peguam hari muka, saya sedar betapa perlunya untuk mendakapi teknologi dan gangguan kepada industri (guaman)”.

Berbekalkan kesedaran tentang masa depan pekerjaan yang berubah-ubah, mahasiswi tahun akhir itu menanti-nantikan latihannya sebagai peguam di sebuah firma guaman yang giat memanfaatkan teknologi guaman – khususnya dalam bidang undang-undang keluarga.

Namun Cik Shukrina, Pengarah Aturan Undang-Undang Legal Kaki, memerhatikan bahawa teknologi guaman kurang dimanfaatkan untuk memudahkan akses untuk menegakkan keadilan bagi masyarakat umum.

“Kebanyakan teknologi guaman dimanfaatkan bagi kegunaan korporat, seperti rantaian blok dan aplikasi komersil.

“Lantaran itu kami berharap agar (CalculAID) akan menggalak lebih ramai orang untuk mengusahakan akses kepada keadilan,” ujar Cik Shukrina.

Apabila ditanya tentang perkara yang membakar semangatnya untuk menebarkan sayapnya dalam bidang guaman – walaupun masih belum menamatkan pengajiannya – Cik Shukrina menjawab dengan sepatah perkataan: perwakilan.

“Perwakilan masyarakat Melayu/Islam dalam bidang guaman perlu dipertingkat.

“Saya cenderung dengan undang-undang yang berkenaan dengan kepentingan masyarakat, seperti undang-undang keluarga dan mungkin saya akan meneroka undang-undang Syariah juga,” kongsi Cik Shukrina.

Selain daripada harapan masyarakat setempat, perjuangan Cik Shukrina juga didorong oleh harapan yang dilahirkan orang tuanya terhadap dirinya.

“Bapa saya pernah memiliki perniagaan katering kecil-kecilan. Beliau seseorang yang tekun bekerja. Beliaulah yang mengusulkan supaya saya menuntut dalam jurusan undang-undang.

“Ibu saya seorang jururawat seumur hidup. Beliau menyanjungi prinsip berbakti kepada masyarakat.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan