Images

Lebih ramai belia, termasuk pelajar ITE dan politeknik, anggotai panel REACH

SINGAPURA: Ketika Gabriel Michael Wong, 17, dipanggil ke pejabat pengetua awal tahun ini, dia menyangka akan didenda.

Pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur itu tidak menyangka akan dipelawa untuk duduk dalam panel penyeliaan REACH, yang membantu membentuk arah tuju dan kegiatan unit pendampingan pemerintah.

Ini adalah kali pertama panel itu mempunyai 15 wakil pelajar, 10 lebih banyak berbanding panel sebelumnya. Selain pelajar dari universiti autonomi, panel baru itu juga mempunyai pelajar dari kolej ITE, politeknik dan Akademi Seni Halus Nanyang.

Gabriel, yang merupakan anggota termuda panel tersebut berkata dia antara lain mahu mengutarakan kebimbangan rakan-rakannya tentang mencari pekerjaan ekoran kesan ekonomi COVID-19.

Menyentuh tentang pelibatan anak muda, Gabriel berkata komunikasi harus berbentuk "dua hala", agar mereka tahu pandangan mereka didengar dan sesuatu akan dilakukan setelah maklum balas tersebut.

Panel kali ini, seperti penggal sebelumnya, termasuk wakil dari masyarakat perniagaan, kesatuan pekerja, badan akar umbi dan karyawan. Mereka akan berkhidmat selama dua tahun mulai 1 Oktober.

Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran berkata perwakilan panel yang pelbagai adalah "kritikal" kerana ia seharusnya mencerminkan kepelbagaian dalam masyarakat Singapura.

Meskipun di tengah-tengah COVID-19, REACH berjaya mendampingi 56,000 orang tahun ini, kongsi Encik Iswaran.

ULANG TAHUN KE-35 REACH

Pengerusi baru REACH, Tan Kiat How berkata, agensi itu telah berkembang sejak permulaannya sebagai Unit Maklum Balas 35 tahun yang lalu.

Pandemik COVID-19 menjadi pemangkin peralihannya secara online ke media sosial menggunakan aplikasi sidang video Zoom dan aplikasi pesanan WhatsApp.

Encik Tan, yang juga Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap di Pejabat Perdana Menteri, berkata bahawa REACH akan mempunyai tiga timbalan pengerusi.

Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam akan memimpin usaha REACH mendampingi masyarakat dan kumpulan berkepentingan, sementara Setiausaha Parlimen Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Eric Chua akan memberi tumpuan pada pelibatan belia. Anggota Parlimen dan penolong setiausaha agung NTUC, Patrick Tay pula ditugaskan untuk memperluas usaha mendampingi golongan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET).

Bersama dengan Encik Tan, ketiga-tiga timbalan pengerusi adalah sebahagian daripada panel penyelian lapan orang yang diperluas, yang kini mempunyai 39 anggota. 12 anggota dilantik semula sementara 27 adalah anggota baru.

ANGGOTA BELIA BOLEH ANJUR INISIATIF SENDIRI

Sejajar dengan gerakan Singapura Bersama, anggota panel belia REACH akan berpeluang menganjurkan inisiatif akar umbi dengan sokongan REACH, menurut unit itu.

Seorang lagi anggota pelajar baru, Mohammed Aizam Abdul Rahman, 22, berkata beliau ingin menjadi jambatan antara golongan belia dengan Pemerintah untuk melakarkan dasar masa depan.

"Saya rasa, terutama dengan COVID-19 ... mengambil kira suara belia dan memahami apa yang ingin kita lihat di masa depan boleh memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan Singapura," kata pelajar jurusan perniagaan di Politeknik Nanyang itu.

- CNA/TQ/tq

Top