Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Lebih 820 graduan Maktab Seni LASALLE raih diploma, ijazah hujung minggu ini

Lebih 820 graduan Maktab Seni LASALLE yang menamatkan pengajian tahun ini bakal meraih diploma dan ijazah sarjana muda masing-masing pada Sabtu (9 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 820 graduan Maktab Seni LASALLE yang menamatkan pengajian tahun ini bakal meraih diploma dan ijazah sarjana muda masing-masing pada Sabtu (9 Okt).

BERITAmediacorp bertemu dua daripada mereka dan mencungkil ilham dan aspirasi di sebalik projek tesis mereka.

KETENGAHKAN ISU HIJAB, SOSIAL SENSITIF SECARA KREATIF

Isu wanita bertudung membawa anjing berjalan-jalan mungkin dianggap sensitif dan jarang dibincangkan masyarakat.

(Ihsan: Maktab Seni LASALLE)

Lantaran itulah graduan jurusan Media dan Industri Fesyen, Nur Wahidah Mohamed Ismail, mengambil langkah berani untuk cuba membuka minda masyarakat mengenai isu-isu sosial dan hijab secara kreatif menerusi projek tesis berjudul COCOK!

Melalui paparan fesyen dan fotografi, Wahidah mengetengahkan isu-isu dari sudut halal dan haram yang sering disalahertikan masyarakat.

(Ihsan: Maktab Seni LASALLE)

"Projek ini ialah langkah pertama dan sesuatu platform yang boleh membuat masyarakat lebih memahami bukan sahaja tentang isu-isu hijab tetapi isu-isu sosial yang lain.

"Saya mula mengkaji apakah kesalahfahaman umum terhadap wanita-wanita yang berhijab," kongsi Wahidah.

(Ihsan: Maktab Seni LASALLE)

Wahidah salah seorang daripada lebih 820 graduan di Kolej Seni LASALLE yang bakal meraih diploma atau ijazah sarjana muda hujung minggu ini.

Beliau sebenarnya mendapat ilham bagi projek ini menyusuli kejadian pada Ogos tahun lalu, di mana seorang pekerja ditegur sebagai tidak profesional kerana mengenakan tudung semasa bertugas.

"Saya ingin memberi sesuatu perspektif yang berlainan, berunding dengan persepsi masyarakat tentang siapa wanita berhijab ini sebenarnya," jelas Wahidah.

TEROKA KONSEP MUSALA MASA DEPAN

Seorang lagi graduan yang tampil cemerlang ialah Noor Hafizan Noor Halim dalam jurusan Reka Bentuk Dalaman.

(Ihsan: Maktab Seni LASALLE)

Menerusi projek berjudul ‘Ascension: The Future of Mosque’, Hafizan meneroka seni reka bentuk ruang solat atau musala pada masa akan datang.

Ini lebih-lebih lagi, kata Hafizan, selepas melihat bagaimana pandemik COVID-19 “merubah hubungan kita dengan masjid dan tidak mustahil bagi sesebuah masjid itu berubah akibat sebab-sebab lain pada masa depan”.

(Ihsan: Maktab Seni LASALLE)

"Dengan jumlah masjid-masjid yang kita ada sekarang agak sukar untuk kita bina yang baru dan dengan saiz yang besar juga.

"Dari itu saya memfokuskan projek saya kepada musala-musala yang kecil sebagai huraian bagi masalah yang saya ketengahkan.

"Secara kesimpulannya saya mereka musala-musala kecil ini agar ia dapat didirikan di merata tempat dan tidak kira situasi," kata Hafizan.

(Ihsan: Maktab Seni LASALLE)

Menggunakan konsep bermodul, lakaran musala yang dicipta Hafizan membolehkan ia didirikan di merata tempat dengan mudah dan dapat berubah mengikut lokasi.

Majlis tamat pengajian mereka akan diadakan di Singapore Expo Sabtu ini (9 Okt). 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan