Images
  • bengkel main
    Bengkel penterjemahan di Maktab Rendah Yishun Innova. (Gambar: BERITAmediacorp)

Lebih 60 pelajar maktab rendah diperkenalkan kepada kemahiran penterjemahan Inggeris-Melayu

SINGAPURA: Sumber maklumat mana yang sering anda jadikan sebagai rujukan apabila ingin menterjemah istilah-istilah tertentu? Jika anda hanya bergantung kepada Google Translate sahaja, penterjemahan anda sering kali akan kedengaran janggal.

Menerusi satu bengkel penterjemahan hari ini (17 Apr), para pelajar Program Elektif Bahasa Melayu (MLEP) dari tiga maktab rendah, diperkenalkan kepada sumber-sumber yang baik lagi tepat untuk dijadikan sebagai bahan rujukan.

Lebih menarik lagi, bengkel tersebut memberikan pendedahan kepada penterjemahan dalam konteks dunia penyiaran.

Bengkel seumpama itu diadakan buat julung-julung kalinya, anjuran bersama antara Jawatankuasa Penterjemahan Nasional di bawah naungan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI), Kementerian Pendidikan dengan BERITAmediacorp.

PENTERJEMAHAN DALAM MEDIA PENYIARAN

Dalam bengkel yang dihadiri seramai 62 pelajar, wartawan-wartawan BERITAmediacorp 'turun padang' untuk berkongsi pengalaman dalam melakukan penterjemahan dengan pantas dan cekap hampir setiap hari.


Wartawan berkenaan juga sempat menjelaskan tentang penggunaan istilah-istilah tertentu dalam penulisan - yang pastinya harus sesuai dengan konteks.

"Kami harap para pelajar faham penterjemahan yang betul itu penting dalam konteks penyebaran ilmu. Kami juga mahu mereka faham bagaimana kita menggunakan penterjemahan dalam bidang kewartawanan di mana ia boleh digunakan secara lebih halus lagi," jelas Editor Kanan Berita & Ehwal Semasa Melayu Mediacorp, Encik Daud Yusof.

AKUR PENTERJEMAH KADANGKALA DILAKUKAN SECARA LITERAL

Para peserta ternyata tidak kering gusi mendengar kesilapan-kesilapan penterjemahan yang lazimnya dilakukan secara literal. Namun, ada yang berkongsi bersama BERITAmediacorp bahawa penterjemahan bukanlah sesuatu yang mudah bagi mereka.

Misalnya, mereka ditunjukkan contoh sebenar bagaimana ungkapan 'Salesgirl wanted' disalahterjemahkan sebagai 'Penjual gadis' dalam satu iklan jawatan kosong.


"Remaja masa kini lebih terbiasa berbual dalam Bahasa Inggeris. Jadi ia memang sukar bagi kami. Tetapi dengan adanya bengkel penterjemahan seperti ini, saya merasakan ia dapat memberi peluang kepada remaja untuk memperluaskan lagi penggunaan bahasa mereka," kata Ariqah Arman, pelajar Maktab Rendah Tampines Meridian.

Jika sesetengah yang memandang remeh penterjemahan pula, Mohammad Fahmy Fadzil pula berpendapat sebaliknya. Malah pelajar dari Maktab Rendah Yishun Innova ini menitikberatkan peri pentingnya penterjemahan dalam negara berbilang kaum.

"Kerjaya sebagai seorang penterjemah tidak mudah dan jarang diketahui ramai. Namun bagi saya ia mampu mempertingkat komunikasi antara dua individu yang mungkin lazimnya berbual dalam bahasa yang berbeza," kata Fahmy.

INGIN PELBAGAI PENDEDAHAN UNTUK PERTINGKAT PENGGUNAAN BAHASA

Pelbagai aktiviti penterjemahan diadakan sepanjang sesi yang berlangsung sekitar tiga jam itu. Antaranya termasuk menterjemah tajuk berita yang ringkas dan menarik, di samping mengenal pasti perkataan-perkataan sesuai dalam ayat-ayat tertentu.


Satu lagi kegiatan menyeronokkan para pelajar adalah cabaran menterjemahkan lagu-lagu Inggeris terkini seperti Shallow, Maps, In My Blood ke dalam Bahasa Melayu.

Para pelajar juga dapat memahami dengan lebih baik lagi tentang peluang-peluang sedia ada sekiranya mereka berminat dalam bidang penterjemahan.

Para pegawai MCI juga hadir memberikan maklumat tentang biasiswa yang ditawarkannya dalam bidang penterjemahan serta laluan kerjaya yang boleh diceburi seseorang penerima biasiswa tersebut.

"Mungkin bengkel ini boleh diperluaskan kepada lebih ramai pelajar atau kepada mereka dari peringkat awal lagi," kata Nur Diyanah Mohammed Dali, pelajar Maktab Rendah Jurong Pioneer.

Yang pasti, penterjemahan memerlukan banyak pendedahan dan jangka masa panjang untuk dikuasai.  

- BERITAmediacorp/aq

Top