Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Lebih 300 pendekar, srikandi dunia bakal bertarung di Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18 di S'pura

Lebih 300 pendekar dan srikandi dari 40 negara bakal bertarung di gelanggang silat OCBC Arena, Hab Sukan Singapura dari Khamis (13 Dis) hingga Ahad ini (16 Dis) sempena Kejohanan Pencak Silat Sedunia yang kembali diadakan di Singapura buat kali ketiga.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 300 pendekar, srikandi dunia bakal bertarung di Kejohanan Pencak Silat Sedunia ke-18 di S'pura

Gambar: Singapore Silat Federation/Facebook

SINGAPURA: Lebih 300 pendekar dan srikandi dari 40 negara bakal bertarung di gelanggang silat OCBC Arena, Hab Sukan Singapura dari Khamis (13 Dis) hingga Ahad ini (16 Dis) sempena Kejohanan Pencak Silat Sedunia yang kembali diadakan di Singapura buat kali ketiga.

Orang ramai dialu-alukan turun gelanggang untuk memberi sokongan kepada para pesilat sedang mereka memburu pingat bagi mengharumkan nama tanah tumpah darah masing-masing.

Bagi edisi ke-18 acara dwitahunan anjuran Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) dan Aladdin Street Singapore kali ini, Team Singapore bakal diwakili 29 pesilat termasuk bekas juara dunia Muhammad Shakir Juanda dan Sheik Farhan Sheik Alau'ddin, pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 Nurzuhairah Mohd Yazid dan pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 Sheik Ferdous Sheik Alau'ddin.

Antara pendekar negara yang akan bertarung dalam tempoh beberapa hari lagi adalah pasangan adik-beradik, Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin, 22 tahun dan Sheik Farhan Sheik Alau’ddin, 21 tahun.

Mampukah si adik menebus kekalahan di tangan jaguh silat Vietnam Nguyen Van Tri dalam acara Kelas Tanding Lelaki J (90 hingga 95 kilogram) di Sukan Asia?

Dapatkah abangnya pula memperbaiki kedudukan tempat kedua yang diraih dalam acara Kelas Tanding Lelaki I (85 hingga 90 kilogram) di temasya Sukan Asia Ogos lalu?

Yang jelas, sokongan penduduk setempat akan membantu menyemarakkan lagi semangat kedua-duanya dan juga rakan seperjuangan mereka untuk terus memperbaiki pencapaian mereka musim ini.

Ini termasuk srikandi negara, Nurul Suhaila Mohd Saiful yang akan bersaing dalam acara Kelas Tanding Wanita D (60 hingga 65 kilogram) dan Siti Khadijah Mohd Shahrem, pemenang pingat gangsa di Sukan Asia 2018, yang bakal beraksi dalam acara Kelas Tanding Wanita C (55 hingga 60 kilogram).

Kategori Seni yang akan membuka tirai kejohanan empat hari itu pula bakal menyaksikan antara lain, Nurzuhairah Mohd Yazid, 20 tahun cuba merebut pingat emas selepas meraih tempat kedua bagi acara Tunggal Seni Wanita (Perseorangan) di Sukan Asia beberapa bulan lalu.

Team Singapore akan berdepan dengan jaguh-jaguh rantau ini yang sudah tidak asing lagi dalam dunia persilatan. Antara mereka adalah juara dunia Mohd Faizul Nasir dan Mohd Al-Jufferi Jamari dari Malaysia serta Tan Drinh Nam dan Nguyen Van Tri yang mewakili Vietnam.

Maka itu, kejohanan yang menggulung musim pencak silat tahun ini dianggarkan penuh dengan aksi dan pertarungan hebat, terutamanya dengan prestasi cemerlang para wakil tuan rumah dan pesilat lain dari sejagat dunia yang bakal mengambil bahagian.

Selain silat, para pengunjung juga boleh menyaksikan pameran khas malah mencuba sendiri seni mempertahankan diri lain seperti Judo, Taekwondo, Wushu, Aikido dan Karate yang ditawarkan oleh ActiveSG sepanjang kejohanan itu.

Kali terakhir Singapura menjadi tuan rumah kejohanan tersebut adalah pada 2004. Ketika itu, para pesilat negara mencatat prestasi terbaik yang pernah dicapai di peringkat dunia dengan meraih empat pingat emas, empat perak dan sembilan gangsa.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan