Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

LBKM mula anjur Klinik Pendidikan untuk lulusan GCE 'A', Poly yang ingin ke universiti dapat panduan

Para lulusan GCE 'A' dan politeknik yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti kini sudah mula memanfaatkan satu lagi sumber panduan untuk membantu mereka membuat pelbagai pertimbangan dan pilihan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para lulusan GCE 'A' dan politeknik yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti kini sudah mula memanfaatkan satu lagi sumber panduan untuk membantu mereka membuat pelbagai pertimbangan dan pilihan.

Dipanggil Klinik Pendidikan, ia merupakan usaha terbaru Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), mempertingkat sokongannya dalam bidang pendidikan - selain menawarkan bantuan kewangan.

Sesi sulung yang dijalankannya hari ini (18 Mac) ternyata mendapat sambutan baik dari golongan sasarannya.

Wadah sehenti Klinik Pendidikan LBKM cuba memberikan jawapan kepada lima soalan utama yang perlu dijawab seorang pelajar yang mahu melanjutkan pendidikan ke peringkat universiti, berlatarbelakangkan suasana pendidikan hari ini.

Lima soalan itu ialah seperti berikut:

Bagaimanakah ia akan dibiayai? Institusi manakah yang harus mereka pilih? Jika mereka ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara, apakah pertimbangan-pertimbangannya? Apakah pula jenis jurusan yang perlu seseorang pelajar ambil jika inginkan kerja tertentu? Dan bagaimana agaknya kehidupan di kampus universiti nanti serta kehidupan selepas menamatkan pendidikan?

Bagi sesi pertamanya hari ini, LBKM bekerjasama dengan badan-badan seperti MENDAKI dan AMP, selain kehadiran beberapa universiti untuk berkongsi informasi.

Malah anggota alumni muda dari pelbagai universiti juga turun padang untuk berkongsi pengalaman dengan para peserta demi memastikan para pelajar dan ibu bapa mereka dapat membuat keputusan yang lebih baik.

Salah seorang peserta, bekas pelajar maktab rendah, Nabilah Abdul Rahman berkata: "Saya telah mempelajari tip-tip bagi temuduga, bagaimana untuk bersiap sedia untuk temuduga dan juga gambaran tentang hidup sebagai seorang pelajar unverisiti."

Bapa kepada pelajar peringkat diploma, Jamsari Ahmad, pula berkata: "Kadang-kadang sebagai seorang bapa saya pun terfikir-fikir mana yang lebih sesuai untuk anak saya. Jadi LBKM adakan acara sebegini sangat baik, kerana bila saya datang sini saya dapat tahu apakah pilihan yang ada untuk anak saya pilih sebelum dia pergi ke universiti."

LBKM juga berhasrat untuk mengadakan sesi susulan Klinik Pendidikan itu, sama ada secara kumpulan kecil mahupun dalam talian.

Ini di samping terus mengembangkan lagi bantuan kewangan yang dihulurkannya kepada pelajar Melayu/Islam.

(Gambar-gambar: Taufiq Hussein Zalizan)

Presiden LBKM, Suhaimi Salleh berkata: "LBKM sering membuat kajian dan kajian semula tentang program-program yang sesuai untuk pelajar kita, untuk kekal relevan dalam keadaan sosio ekonomi yang sangat berubah-rubah.

"Dan insyaAllah pada masa hadapan kita akan mengadakan dermasiswa ataupun 'bursary' untuk mereka yang sedang belajar secara part time dalam bidang-bidang pos-siswazah."

Permohonan bagi dermasiswa pos-siswazah akan bermula tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan