Images
  • nyp main
    Projek Muhammad Nazly Rusali (kiri) dan Sofea Aini (kanan) dipamerkan di Perpustakaan Negara. 

Kisah penghidap barah buah zakar, cabaran suri rumah jadi sumber inspirasi 2 belia NYP

SINGAPURA: Meninggal dunia pada usia 22 tahun kerana barah buah zakar.

Mungkin tidak ramai yang tahu seseorang yang masih muda juga boleh menghidap penyakit yang juga dikenali sebagai barah testikel itu.

Bagi Muhammad Nazly Rusali, kisah yang diceritakan oleh saudaranya yang bekerja sebagai seorang jururawat, tidak dapat dilupakan.

Ia sekali gus menjadi pencetus idea bagi projek 'Balls' yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit itu dalam kalangan kaum Adam.


Projek Nazly antara yang dipaparkan dalam pameran bertemakan 'Infuse' hasil cetusan idea kreatif para pelajar tahun akhir Sekolah Reka Bentuk Politeknik Nanyang.

USAHA TINGKAT KESEDARAN MENCABAR

Menerusi projek Balls, golongan lelaki diharapkan dapat mengenal pasti sebarang kelainan pada bahagian buah zakar mereka, yang mungkin sahaja simptom kepada barah testikel.

Menurut Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS), penyakit buah zakar bukan berada dalam kedudukan barah paling kerap menyerang lelaki, merangkumi antara 1 hingga 2 peratus kes barah yang dihidapi lelaki. Namun, ia berlaku dalam kalangan lelaki muda iaitu di peringkat produktif - dalam lingkungan usia antara 20 hingga 40 tahun.

"Semasa menjalankan kajian, ramai lelaki tidak mahu berbual dengan saya kerana mereka malu atau segan," cerita Nazly.


Namun, itu tidak mematahkan semangat Nazly. Beliau tetap menjalankan projek itu kerana percaya tentang pentingnya meningkatkan kesedaran.

"Saya rasa amat penting untuk saya bantu meningkatkan kesedaran kerana (buat masa ini) mereka lebih pentingkan rasa malu daripada kesihatan mereka sendiri," ujar Nazly.

PROJEK BERI RUANG KEPADA SURI RUMAH

Bagi Sofea Aini Abdul Rahim pula, projek bertajuk 'Empowerment' merupakan hasil pengamatan beliau terhadap keperluan yang diluahkan ibunya sendiri.


"Selama 10 jam setiap hari dan pada hujung minggu, mereka sibuk dengan hal-hal mereka," kata Sofea merujuk kepada golongan suri rumah.

Maka itu, Sofea ingin mengendalikan sebuah ruang di mana para suri rumah boleh melakukan kegiatan-kegiatan yang mereka inginkan pada masa lapang.

Sepanjang dua hari (8-9 Mac), hasil cetusan idea 162 pelajar akhir tahun dari jurusan reka bentuk industri, ruang dan komunikasi visual Politeknik Nanyang dipamerkan di Perpustakaan Negara.  

- BERITAmediacorp/aq

Top