Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Keputusan mengejutkan keluarga sendiri, Iman Fandi lancar kerjaya sebagai penyanyi

Model, pelakon dan personaliti media sosial Iman Fandi kini boleh menambah ‘penyanyi’ kepada senarai gelarannya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Model, pelakon dan personaliti media sosial Iman Fandi kini boleh menambah ‘penyanyi’ kepada senarai gelarannya.

Satu-satunya anak perempuan kepada legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad dan mantan model kelahiran Afrika Selatan, Wendy Jacobs itu mengeluarkan single pertamanya berjudul ‘Timeframe’ pada Jumaat (19 Feb).

Dengan melodi dan seni kata yang ditulis sendiri, ‘Timeframe’ adalah luahan berbilang kisah perpisahan dan kejauhan yang pernah dirasai Iman setiap kali perlu mengucapkan selamat tinggal kepada orang-orang yang dikasihi.

Lagu itu berjaya diterbitkan dengan bantuan penerbit hip-hop Singapura Flightsch dan jurutera muzik John Hanes yang pernah bekerja dengan jaguh-jaguh industri seperti The Weeknd, Ariana Grande, Taylor Swift dan Halsey.

Artis muda berusia mencecah 21 tahun itu mengakui langkah yang diambilnya untuk menjadi seorang penyanyi mungkin sesuatu yang tidak dijangka ramai, termasuk ahli keluarganya sendiri. Malah pada peringkat awal, Iman langsung tidak memberitahu ibu bapa atau adik-beradiknya tentang kontrak yang sudah ditanda tanganinya bersama Universal Music Singapore.

“Ketika saya menulis lagu ini pun, saya melakukannya secara sendirian. Hanya apabila saya rasa masa lebih sesuai baru saya mula memberitahu mereka. Mereka ada tertanya-tanya, mengapa saya asyik keluar rumah? Saya menjawab “Saya ke studio” dan “Saya sedang merakam video muzik”. Mereka hanya kata, “Apa?!” kongsi Iman secara berseloroh.

Menerangkan keputusannya untuk menceburi bidang nyanyian, Iman berkata minat beliau terhadap muzik berputik sejak aktif dalam bidang tarian dahulu. Beliau gemar bernyanyi karaoke dan sering mengadakan konsert-konsert kecil untuk rakan-rakan serta keluarganya.

Pada lewat 2019, Iman akhirnya membulatkan tekad untuk menjadikan impian terpendam itu sebuah realiti dan mula menulis ‘Timeframe’. Lagu yang ditulis ketika dalam perjalanan menaiki teksi itu kemudian berjaya menarik perhatian Universal.

TIDAK INGIN DIPANDANG ‘SEMPURNA’

Bercakap tentang matlamat beliau sebagai artis, Iman berharap dapat mengeluarkan muzik yang mendekatkannya kepada para pendengar dengan menunjukkan pelbagai sisinya yang mungkin tidak dapat dilihat menerusi media sosial atau kerjaya model.

Sebagai anak kepada pasangan ibu bapa selebriti dan memulakan kerjayanya sebagai model pada usia muda 14 tahun, Iman sentiasa menjadi perhatian umum dan sedar yang ramai mungkin menyangka bahawa beliau mempunyai kehidupan yang sempurna.

Maka itu, Iman berharap bahawa dengan menulis lagu-lagu berdasarkan pengalaman peribadinya sendiri, orang ramai dapat melihat bahawa beliau juga melalui cabaran dan keperitan seperti manusia biasa.

Sejauh ini, Iman bersama pihak pengurusnya Universal sudah menyediakan beberapa lagu selain ‘Timeframe’ dan sedang mengusahakan sebuah album mini (EP) yang akan dikeluarkan pada masa yang sesuai.

Bila ditanya jika beliau akan cuba mengeluarkan lagu-lagu Melayu suatu hari kelak, Iman mengakui penguasaan bahasa Melayunya agak “rojak”.

“Saya sendiri rasa yang saya kedengaran janggal apabila bercakap dalam bahasa Melayu, sangat kelakar. Jadi saya rasa tidak, tetapi jika mereka mahu saya bernyanyi dalam bahasa Melayu, hantarkan lirik kepada saya dan saya akan cuba. Tetapi ia bukan sesuatu yang saya rasa saya akan lakukan sepenuh masa”.

Bagi mempromosikan single terbarunya itu, Iman diwawancara penyiar Ria 897 Azura Goh dalam segmen Ria Kruz pada Jumaat (19 Feb).

Iman juga akan mengacarakan segmen The Shock Circuit di saluran radio Mediacorp 987FM bersama Sonia Chew dan Joakim Gomez dari 22 hingga 26 Feb dari 5 hingga 6 petang.

‘Timeframe’ juga boleh didengar menerusi khidmat penstriman seperti Spotify dan Apple Music.

Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan