Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Kem wartawan BERITAmediacorp tarik penyertaan sekitar 100 pelajar

Hampir 100 pelajar menyertai kem wartawan hari ini (17 Mac) anjuran bersama BERITAmediacorp dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Mar 2019 09:59PM Dikemas Kini : 17 Mar 2019 10:16PM

BERITAmediacorp: Hampir 100 pelajar menyertai kem wartawan hari ini (17 Mac) anjuran bersama BERITAmediacorp dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Acara tersebut sebahagian daripada usaha BERITAmediacorp untuk mendampingi masyarakat khususnya golongan muda dan berkongsi pengalaman dalam penerbitan berita.

Selama sekitar lima jam, para pelajar dapat memainkan peranan sebagai seorang wartawan - dari menghasilkan laporan, merakam suara latar, membuat 'piece to camera' serta menyampaikan buletin berita.

Acara berlangsung di Perpustakaan Daerah Woodlands.

Turut hadir ialah Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

"Ada yang beritahu saya bahawa mereka tidak terfikir proses untuk menyampaikan berita di kaca TV; mereka sahaja menontonnya di rumah. Tetapi dengan adanya proses pendekatan seperti ini, mereka dapat rasakan bahawa ia bertahap-tahap, mempunyai sistem yang sangat padat dan juga penting dalam menghasilkan sebuah buletin," kongsi Dr Faishal.

"Kami harap program ini dapat berikan para belia cara untuk menilai informasi dan mereka juga dapat menggunakan bahan-bahan yang sesuai daripada perpustakaan kami," menurut Ketua Perkhidmatan Bahasa Melayu NLB, Zubaidah Mohsen.

Kakitangan BERITA turut memberi bimbingan dalam penulisan skrip, tajuk utama, struktur cerita, latihan sebutan dan cara penyampaian.

Di akhir kem, pelajar dapat melihat sendiri hasil kerja keras mereka.

"Saya dapat mempelajari daripada wartawan semua bagaimana mahu menulis skrip dan berita, bagaimana mahu merakam PTC serta 'voice over' dan ini semua maklumat yang asas tetapi terperinci bagi kewartawanan dan ini sesuatu yang sangat baik bagi peserta-peserta," ujar seorang peserta kem tersebut, Hazirah Nurfitrah Mohd Hanifar.

Seorang lagi peserta, Muhammad Arshad Sapri pula berkata: "Ia memberikan inspirasi kepada sesiapa yang hendak menjadi seorang wartawan pada masa hadapan dan ia telah mengajar saya banyak tentang bahasa Melayu."

Anugerah juga disampaikan bagi beberapa kategori termasuk Skrip Berita Terbaik, Penyampai Berita Terbaik dan Wartawan Harapan.

Para pelajar juga membawa pulang cenderamata BERITA dan NLB.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan