Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

'Kami harapkan banyak rekod peribadi terbaik' kata ketua rombongan S'pura ke Sukan Asia

Pasukan atlit Singapura bermatlamat memperbaiki prestasi mereka di Sukan Asia, meskipun tidak menetapkan sasaran pingat, kata Chef de Mission Singapura, Lee Wung Yew pada Selasa (14 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
'Kami harapkan banyak rekod peribadi terbaik' kata ketua rombongan S'pura ke Sukan Asia

Chef de Mission pasukan Singapura Encik Lee Wung Yew (paling kanan) (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 15 Aug 2018 08:57AM Dikemas Kini : 15 Aug 2018 03:32PM

SINGAPURA: Pasukan atlit Singapura mungkin tidak menetapkan sasaran pingat bagi Sukan Asia 2018, namun matlamat mereka adalah untuk memperbaiki prestasi mereka sebelum ini, kata Chef de Mission atau ketua rombongan pasukan Singapura, Lee Wung Yew pada Selasa (14 Ogos).

Beliau berharap "banyak rekod peribadi terbaik" akan dicatatkan oleh para atlit.

"Semua orang mempunyai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) masing-masing, namun kami cuba untuk menghadkan tekanan yang mereka lalui," kongsi Encik Lee kepada para wartawan sebelum berlepas ke Jakarta, sambil menyerahkan kepada para atlit untuk menunjukkan keupayaan mereka di gelanggang pertandingan Sukan Asia yang bermula pada Sabtu ini di Jakarta.

"Apa yang penting adalah mereka ke sana, lakukan yang terbaik kemudian lihat apa yang akan terjadi. Kami mahu mereka mempertingkatkan persembahan mereka (yang lalu), dan kami mengharapkan banyak rekod peribadi terbaik daripada atlit kami. "

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu berkata bulan lalu bahawa tiada sasaran "khusus" ditetapkan bagi kontinjen negara dan Encik Lee menambah bahawa ini akan mengurangkan sedikit tekanan ke atas para atlit.

"Saya percaya akan ada kurang tekanan - perhatian tidak ditumpukan kepada mereka, mereka tidak perlu melihat nama mereka disiarkan di media - jumlah pingat emas yang mereka akan perolehi," kata Encik Lee, yang juga merupakan bekas atlit menembak kebangsaan yang pernah mewakili Singapura sebanyak enam kali di Sukan Asia dan tiga kali di Sukan Olimpik.

Kontinjen tahun ini seramai 265 atlit dalam 21 acara, adalah yang terbesar mewakili Singapura di Sukan Asia.

Pada temasya di Incheon pada 2014, Singapura diwakili 223 atlit yang berjaya membawa pulang lima pingat emas, enam perak dan 14 gangsa.

Harapan diletakkan pada para atlit dalam acara sukan renang, layar dan boling, yang pernah meraih pingat untuk Singapura di Sukan Asia lalu, kata Encik Lee.

"Kami melihat lebih banyak atlit kami berjaya di peringkat dunia," tambah beliau. "Ini adalah perkembangan yang baik untuk kita."

PERSIAPAN RAPI

Kontinjen Singapura ke temasya Sukan Asia juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran di Indonesia, dengan adanya kebimbangan mengenai jerebu akibat kebakaran hutan.

Kesesakan lalu lintas di ibu kota Indonesia yang didiami 10 juta penduduk juga sering dianggap yang paling teruk di dunia. Pihak penganjur temasya sukan sudah berusaha untuk menangani masalah tersebut dengan mengambil langkah-langkah seperti menyediakan laluan-laluan khusus.

Bagi mempersiapkan mereka untuk perjalanan, pasukan atlit Singapura akan menerima kit asas yang termasuk pelitup 3M, pembasmi kuman, penyumbat telinga dan bantal leher.

"Keadaan berjerebu meningkat secara mendadak maka pelitup ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga," jelas Encik Lee. "Sekiranya ia (mutu udara) mencecah paras tertentu, para atlit boleh menggunakannya bergantung kepada tahap ketahanan mereka."

Selain faktor luaran, Encik Lee percaya bahawa para atlit bersedia untuk bersaing dan gembira dengan bimbingan yang diberikan beberapa atlit lebih mapan kepada rakan-rakan atlit yang kurang berpengalaman.

"Mereka memainkan peranan mereka," katanya. "Saya melihat mereka mainkan peranan seperti abang dan kakak - ini sesuatu yang menggalakkan kerana ia membantu atlit muda menyesuaikan diri dan saya mahukan lebih ramai atlit mapan mengambil peranan ini."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan