Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Isu-isu sensitif jadi tumpuan Perbahasan Belia Muslim S'pura tahun ini

 Isu-isu kontemporari dan yang dianggap sensitif dibahaskan oleh sekumpulan belia di peringkat akhir Perbahasan Belia Muslim Singapura yang ke-9 pada Sabtu (14 Okt), anjuran Belia Darul Arqam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Isu-isu kontemporari dan yang dianggap sensitif dibahaskan oleh sekumpulan belia di peringkat akhir Perbahasan Belia Muslim Singapura yang ke-9 pada Sabtu (14 Okt).

Pertandingan yang berlangsung di Auditorium Masjid Sultan itu dianjurkan oleh Belia Darul Arqam (YODA).

Adakah tanggungjawab untuk membasmi berita palsu terletak kepada individu dan adakah langkah untuk menyesuaikan pemahaman agama mengikut konteks hari ini menjadi pemangkin untuk mengukuhkan lagi keharmonian dan perpaduan rakyat?

Kedua-dua topik ini diperdebatkan oleh para peserta peringkat akhir Perbahasan Belia Muslim Singapura bagi kategori indvidu dan berpasukan.

Pemenang kategori individu ialah Hidayat Amir, siswa dari fakulti undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS).

Beliau membangkang mauduk dengan mengusulkan satu kayu ukur untuk memperkasakan masyarakat, selain meningkatkan kesedaran terhadap berita palsu.

Natijahnya, tugas membasmi berita palsu bukan setakat menyerahkan tanggungjawab itu bulat-bulat kepada masyarakat untuk membanteras penyebarannya.

Sebaliknya, Encik Hidayat merumuskan bahawa tanggungjawab itu juga melibatkan Pemerintah.

"Saya berpendapat bahawa perdebatan sihat memang penting kerana kita sudah terbiasa dengan perdebatan online, dan tidak ada semak dan imbangan, tidak ada kajian, tidak ada keterbukaan terhadap bahagian yang berbeza. Jadi saya rasa apabila kita berdebat di atas pentas terhadap sesuatu mauduk yang penting, yang relevan, kita lebih terbuka untuk menerima perbezaan pendapat," kata Encik Hidayat.

Sementara itu Fityan Assyakirin sebagai penyanggah pula muncul sebagai pemenang kategori berpasukan semasa berdebat dengan pasukan Cendekiawan.

Mereka turut mengusulkan saranan-saranan seperti tadbir urus yang cekap dan rangsangan terhadap nilai moral sebagai salah satu pemangkin kepada keharmonian agama di sini.

"Jadi ini pada pendapat saya walaupun fahaman agama itu penting, tetapi kami tidak harus bergantung kepada fahaman agama kita untuk menyumbang kepada keamanan kebangsaan," kongsi Encik Mu'az Mohd Johan, seorang anggota kumpulan Fityan Assyakirin.

"Kami berharap wadah seperti ini akan diperbanyakkan agar para belia dapat bergabung tenaga membincangkan, membahaskan tentang isu-isu yang bukan saja penting tapi juga sensitif dalam masyarakat yang berbilang bangsa, kaum dan agama di Singapura."

Fityan Assyakirin membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai bernilai S$4,000, sementara Encik Hidayat membawa pulang hadiah wang tunai bernilai S$1,000. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan