Images
  • jelajah kitchen scraps main

Ibu muda tanam sayuran sendiri, tulis buku tentang kemampanan sebagai warisan generasi masa depan

BERITAmediacorp: Kesedaran terhadap kepentingan tabiat mesra alam kian meningkat, dipacu gerakan antarabangsa dan setempat yang diperhebat sejak akhir-akhir ini.

Bagi seorang ibu muda di sebuah flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Punggol, gaya hidup yang menitikberatkan kelestarian alam sekitar, khususnya dari segi penghasilan makanan dan pengurusan sisa, sudah lama beliau amalkan.

Usaha beliau itu didorong keinginan untuk menjadi peran contoh terbaik buat anak-anaknya.

Tidak cukup dengan hanya mengamalkannya bersama keluarga, suri rumah itu malah menulis buku baru-baru ini dengan harapan lebih ramai dapat menyemai keprihatinan terhadap bumi itu dalam generasi akan datang.

ELAK PEMBAZIRAN, KURANGKAN SISA

Sejak berpindah ke rumah mereka sendiri sekitar empat tahun lalu, Siti Nur’afifah Hussain dan suaminya mula menanam sendiri bahan masakan lazim yang digunakan, demi mengelakkan pembaziran.

“Jika kita beli di pasar raya, (herba dan sayuran) dijual dalam jumlah yang banyak, kerana dalam satu ikat dan kita tidak perlukan jumlah sebanyak itu untuk masakan. Jadi dengan adanya tanaman sendiri, kita hanya perlu memetik berapa yang kita perlukan, jadi kita dapat elakkan pembaziran di situ,” kongsi bekas guru prasekolah berusia 28 tahun itu.


Bermula dengan tanaman daun seperti kari dan pandan, beliau dan suami memperluaskan ‘ladang’ di rumahnya untuk merangkumi sayur-sayuran seperti bak choy, kang kong dan bayam.

Malah sejak beberapa bulan lalu, mereka juga berjinak-jinak dengan kaedah baru seperti hidroponik dan penggunaan cahaya buatan agar dapat memanfaatkan sepenuhnya sudut-sudut di dalam rumah, untuk mengatasi apa yang beliau sebutkan sebagai cabaran “ ruang terhad” dalam menanam tumbuhan di flat BTO.

Lebih menarik lagi, kompos atau baja yang mereka gunakan, diperbuat daripada sisa yang dihasilkan semasa memasak – seperti potongan sayuran yang tidak diingini, kulit bawang dan telur dan bermacam lagi.

Ini sekaligus mengurangkan sisa makanan yang dijana oleh keluarga tersebut.

TANGANI MASALAH GENTING PENGHASILAN MAKANAN, PENGURUSAN SISA

Usaha keluarga Cik Nur’Afifah mengurangkan pembaziran dan sisa makanan itu jelas patut dicontohi, terutamanya di Singapura. Ini kerana isi rumah menyumbang kepada sekitar separuh sisa makanan yang dijana di sini setiap tahun.

Malangnya, sisa makanan di sini juga menunjukkan peningkatan sekitar 20 peratus dalam tempoh sedekad yang lalu – daripada 641 juta kilogram pada 2010 kepada 744 juta kilogram pada 2019.

Lebih membimbangkan lagi, hanya 18 peratus sisa makanan dikitar semula, dengan bakinya dihantar ke loji sisa ke tenaga (WTE) dan memenuhi tapak pelupusan yang menghampiri kapasiti di negara ini.

Masalah pembuangan dan pembaziran makanan ini lebih serius bagi sebuah negara seperti Singapura, di mana 90 peratus bekalan makanannya kini diimport.

SELARAS PELAN HIJAU 2030, SASARAN ’30 JELANG 30’

Usaha yang dilakukan individu seperti Cik Nur’Afifah selaras dengan matlamat '30 menjelang 30’ Singapura dalam menghasilkan makanan sendiri.

Diumumkan pada 2019, ia menetapkan sasaran menghasilkan 30 peratus keperluan zat makanan negara secara setempat menjelang tahun 2030.

Ini berbanding sekarang di mana Singapura mengimport lebih 90 peratus bekalan makanannya.

Terkini, usaha memelihara alam sekitar di Singapura diperhebat dengan pelancaran Pelan Hijau 2030 – gerakan seluruh negara yang menyentuh segenap aspek kehidupan.

Salah satu tunggak visi ini adalah Kehidupan Mampan (Sustainable Living), yang antaranya termasuk mencantas jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

‘SIKIT-SIKIT, LAMA-LAMA JADI BUKIT’

Bukan pemerintah saja yang mempunyai rancangan masa panjang. Bagi Cik Nur'Afifah, usaha beliau memelihara alam sekitar tidak terhenti pada dirinya sendiri saja.

Berkongsi kepada BERITAmediacorp, beliau berkata tindakan setiap individu walaupun tampak kecil kesannya, berpotensi mencetus impak lebih meluas dengan berkongsinya dengan orang lain sebagai galakan.

Atas dorongan itu juga, beliau pada tahun lalu menerbitkan buku kanak-kanak berjudul "Growing Kitchen Scraps" atau "Menanam Sisa Dapur".

Buku tersebut, yang boleh didapatkan di wadah-wadah seperti kedai buku Kinokuniya dan syarikat penerbitan tempatan UnguPen, menerangkan dengan mudah cara-cara untuk menanam makanan di rumah dan mengurangkan sisa.

Berpegang pada prinsip melentur buluh biar dari rebungnya, Cik Nur'Afifah menerangkan penat lelah beliau dan suaminya bukan hanya bertujuan untuk menanam makanan sendiri, tetapi juga menyemai nilai-nilai murni dalam diri anak-anaknya.

"Apabila menanam di rumah, ia turut menjadi satu wadah pembelajaran untuk anak-anak saya melihat sendiri cara-cara untuk menanam tumbuh-tumbuhan ini, mereka dapat memegang, melihat merasa dan melihat seluruh proses pembesaran tumbuh-tumbuhan itu," kongsi beliau yang mempunyai empat cahaya mata berusia antara tujuh bulan hingga enam tahun.

"Dan ia turut mendorong mereka untuk menghargai makanan yang ada dan mereka tak membazirkan makanan, kerana mereka sudah tahu betapa susahnya untuk mendapat hasilnya."

Ujar beliau mengakhiri wawancara:

"Jadi bila kita mulakan perubahan dari sekarang, sedikit-sedikit, lama-lama akan jadi bukit, bukan? Jadi mudah-mudahan apabila anak kita lihat, mereka juga akan mengikut dan mencontohi dan akhirnya mereka akan terbiasa dan lalu menjadi gaya hidup".

Baca laporan-laporan lain BERITA Jelajah Cinta Bumi:

- BERITAmediacorp/tq

Top