Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Hoki dalam air dipertandingkan di Filipina; pasukan negara bertekad rebut emas pertama

Perlawanan pembuka tirai bagi sukan hoki dalam air Sukan SEA 2019 akan berlangsung pada 2 Disember. Bagaimana persiapan pasukan negara?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Hanya tinggal dua minggu lagi sebelum Sukan SEA membuka tirainya di Filipina.

Edisi ke-30 Sukan SEA bakal menjadi yang terbesar pernah dianjurkan dengan menampilkan jumlah sukan yang paling banyak dipertandingkan iaitu 56 jenis sukan.

Ini melebihi rekod lama iaitu 44 jenis sukan semasa Indonesia menjadi tuan rumah pada 2011.

Menurut garis panduan yang ditetapkan Persekutuan Sukan SEA, tuan rumah harus menganjurkan sekurang-kurangnya 22 jenis sukan.

Peningkatan pada jumlah jenis sukan juga bermakna, lebih banyak sukan baru akan diperkenalkan – lebih tepat lagi 10 sukan baru.

Antaranya ialah sukan hoki dalam air dan Singapura tidak mahu terlepas daripada menghantar pasukan untuk bertanding dalam sukan baru ini bagi membolot lebih banyak pingat daripada temasya kali ini.

HOKI DALAM AIR DI SUKAN SEA 2019

Pada Sukan SEA 2019 nanti, dua acara bagi sukan ini akan dipertandingkan bagi kategori lelaki dan wanita iaitu “4-lawan-4” dan “6-lawan-6”.

Ini merujuk kepada jumlah pemain dari setiap pasukan bagi setiap perlawanan.

Bagi pasukan Singapura, peluang untuk meraih pingat sangat cerah berdasarkan prestasi pasukan negara di Kejohanan Hoki Dalam Air Asia.

(Gambar ihsan: Kelab Hoki Dalam Air Stirling)

(Gambar ihsan: Kelab Hoki Dalam Air Stirling)

“Pada 2017 dan 2015, pasukan lelaki Singapura meraih pingat emas untuk kedua-dua kejohanan itu dan pasukan wanita pula mendapat pingat perak,” kongsi Vincent Law, antara 20 pemain hoki dalam air negara yang akan ke Filipina.

Mentelah lagi, bagi Sukan SEA 2019, hanya empat negara akan bertanding dalam sukan ini iaitu Singapura, tuan rumah Filipina, Malaysia dan Indonesia.

Apabila ditanya siapakah pesaing terdekat pasukan negara, atlit negara Vincent Law berkata, “Saya rasa pesaing terbesar kita adalah diri kita sendiri, melihat betapa pantasnya kita menyesuaikan diri dengan keadaan perlawanan dan betapa selesanya kita pada waktu itu.”

Perlawanan pembuka tirai bagi sukan hoki dalam air Sukan SEA 2019 akan berlangsung pada 2 Disember.

Sukan ini pertama kali diperkenalkan oleh Angkatan Tentera Laut Britain di England pada 1954 untuk memastikan para penyelam mereka kekal tangkas di dalam air.

(Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)

(Gambar: BERITAmediacorp/Izwan Ohtman)

Di Singapura sendiri, sukan ini sudah mula bertapak di sini dengan perasmian Kelab Hoki Dalam Air Stirling (UWHS) sejak 2004 lagi.

SUKAN SEA WADAH SESUAI UNTUK PERKENALKAN SUKAN BARU KEPADA UMUM

Pada mulanya ia dianggap pelik tapi lama-kelamaan timbul pula sifat ingin tahu. Inilah yang mendorong Nurul Fatin Rosli, 25 tahun untuk mencuba sukan itu semasa mula-mula menyertai UWHS dua tahun lalu.

Sebelum ini, Nurul Fatin hanya berminat pada sukan menyelam tetapi sukan itu boleh menelan belanja yang besar.

Jadi apabila diperkenalkan kepada sukan hoki dan ragbi dalam air, Nurul Fatin teruja untuk mencubanya memandangkan latihan dijalankan di kolam-kolam renang setempat dan bayaran yuran keanggotaan pula hanya $25 setahun saja dengan UWHS.

Walaupun tidak dipilih untuk mewakili negara di Sukan SEA kali ini, Nurul Fatin tidak sedikit pun berasa kecewa kerana akur banyak lagi yang perlu dipelajarinya.

Malah Nurul Fatin berasa bangga dan gembira dengan penampilan sulung sukan hoki dalam air di temasya sukan serantau itu.

Baginya, ia akan menjadikan sukan ini lebih dikenali dan menyimpan hasrat untuk mewakili negara di Sukan SEA akan datang.

Nurul Fatin kini satu-satunya pemain wanita Melayu dalam kelab tersebut dan berharap lebih ramai lagi akan menyertainya, tidak kira sama ada bagi tujuan riadah mahupun bertanding.

CARA PERMAINAN HOKI DALAM AIR

Sebelum perlawanan bermula, cakera getah atau “puck” seberat 2 kilogram akan diletakkan di tengah-tengah kolam sedalam 2 meter.

Berbeza dengan permainan hoki padang, kayu hoki yang digunakan adalah jauh lebih pendek iaitu setakat 15 sentimeter sahaja.

(Gambar ihsan: Kelab Hoki Dalam Air Stirling)

(Gambar ihsan: Kelab Hoki Dalam Air Stirling)

Nurul Fatin menjelaskan, “Dalam hoki padang, pemainnya boleh pegang kayu hoki dengan kedua-dua belah tangan tetapi untuk kami, cuma boleh pakai sebelah tangan sahaja dan tangan itu kena pakai sarung tangan. Jadi kalau kita pakai sarung tangan di tangan kanan, kita cuma boleh pegang kayunya dengan tangan kanan dan kita akan main dengan satu tangan sahaja. Tangan yang satu lagi boleh digunakan untuk berenang tapi tidak boleh menolak sesiapa saja”.

Setelah wisel dibunyikan, para pemain akan menolak puck di bawah permukaan air ke arah gawang gol pasukan lawan sepanjang tempoh mereka boleh menahan nafas mereka.

Setiap set perlawanan akan berlangsung selama kira-kira 30 minit.

“Dalam satu perlawanan, ada pecahan 15 minit, 3 minit rehat dan kemudian 15 minit lagi, kita akan bermain dan cuba menjaringkan gol sebanyak mungkin dan dalam satu kali dive, mungkin mengambil masa 10 saat kemudian kita naik ke atas (permukaan air), tarik nafas, turun balik dan teruskan perlawanan,” ujar Nurul Fatin. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan