Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Hariss Harun dinobat Pemain ASEAN Terbaik ABK 2018; 2 pemain S'pura turut dicalon

Pemain kebangsaan Singapura, Hariss Harun pada Isnin malam (5 Nov) dinobatkan sebagai Pemain ASEAN Terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 (ABK 2018) anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Anggaran Waktu Membaca:
Hariss Harun dinobat Pemain ASEAN Terbaik ABK 2018; 2 pemain S'pura turut dicalon

Hariss Harun menang Pemain ASEAN Terbaik; Faris & Safuwan turut dinominasi (Gambar: Instagram/@hariss14)

BERITAmediacorp: Anak-anak Singa sekali lagi membuktikan bahawa mereka tidak gentar menunjukkan taring mereka, meskipun berada di gelanggang Harimau.

Pemain kebangsaan Singapura, Hariss Harun pada Isnin malam (5 Nov) dinobatkan sebagai Pemain ASEAN Terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 (ABK 2018) anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Pemain posisi tengah itu merupakan sebahagian pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), yang menggondol sembilan anugerah di majlis yang sama, menurut BERNAMA.

Sumbangan Hariss kepada JDT tidak asing lagi bagi para peminat bola sepak.

(Gambar: Mediacorp)

Mediacorp sebelum ini melaporkan, beliau merupakan sebahagian pasukan itu yang menjuarai Liga Super buat lima kali berturut-turut sejak 2014, kecuali pada 2017 apabila beliau dipinjamkan ke kelab Sepanyol Centre d'Esports L'Hospitalet dan pasukan Liga S. Home United.

Menyandang tanggunjawab kapten JDT, Hariss, 27 tahun, turut menyumbangkan satu gol dan membantu pasukannya menumpaskan Perak 2-1 pada perlawanan akhir dan menjulang piala Liga Super buat kali kelima Julai lalu.

Bakat beliau tidak terlepas daripada pandangan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Beliau amat hebat dari segi disiplin. Beliau benar-benar mahukan kejayaan, beliau sentiasa mahu mencapai lebih lagi, seiras dengan gagasan dan visi saya sendiri," kata TMJ dalam satu wawancara ekslusif bersama Mediacorp pada Julai.

DUA ANAK S'PURA TURUT TERCALON

Lebih istimewa lagi, dua lagi pemain asal Singapura turut dicalonkan bersama-sama Hariss bagi kategori sama di ABK 2018: Faris Ramli, yang bermain bagi PKNS FC; dan Safuwan Baharudin, pemain Pahang FA.

Dalam catatan di akaun Instagramnya, Hariss merakamkan rasa terima kasih beliau kepada TMJ, para peminat yang menyokongnya dan sempat memuji rakan-rakan senegaranya yang tercalon.

"Terima kasih kepada setiap daripada anda yang mengundi saya. Adalah satu penghormatan besar bagi saya untuk menerima anugerah ini. Saya tidak boleh mengecapinya tanpa sokongan keluarga tersayang, para peminat dan rakan sepasukan," kata Hariss dalam catatannya tengah hari ini (6 Nov).

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada @hrhcrownprinceofjohor (TMJ) kerana memberi kepercayaan kepada saya. Sokongan anda amat bermakna buat saya dan pasukan (JDT).

"Amat istimewa dicalonkan bersama-sama rakan senegara, @safuwanbaharudin (Safuwan Baharudin) & @farisramli (Faris Ramli). Kedua-duanya bermain musim yang baik dengan kelab masing-masing dan sama-sama patut memenangi anugerah ini. Terima kasih sekali lagi!"

Prestasi anak Singa di gelanggang Harimau musim lalu kini sudah terbukti. Dengan pasukan Singapura memulakan kempen bagi Piala Suzuki 2018 minggu ini, dapatkah kapten pasukan negara Hariss Harun dan rakan-rakannya menunjukkan prestasi yang sama di gelanggang lebih besar nanti?

SENARAI PENUH PEMENANG ABK 2018:

Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias (JDT)

Pertahanan Terbaik: Shahrul Mohd Saad (Perak) 

Pemain Tengah Terbaik: Muhammad Safawi Rasid (JDT) 

Penyerang Terbaik: Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Kedah)

Jurulatih Terbaik: Mehmet Durakovic (Perak) 

Pemain Wanita Terbaik: Nurul Azurin Mazlan (Penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan)

Pemain Import Terbaik: Rufino Segovia del Burgo (Selangor) 

Pemain ASEAN Terbaik: Hariss Harun (JDT)

Pemain Muda Harapan: Muhammad Safawi Rasid (JDT) 

Pemain Paling Popular: Lee Andrew Tuck (Terengganu FC) 

Anugerah Kasut Emas (Penjaring Gol Terbanyak): Rufino Segovia del Burgo (Selangor) - 31 gol 

Penyokong Terbaik: JDT

Media Sosial Terbaik: JDT

Laman Web Terbaik: JDT 

Anugerah Mesra Media: Yusri Che Lah (Ketua jurulatih Kelantan)

Anugerah Persahabatan: Hafizh Syahrin Abdullah (Pelumba MotoGP Malaysia) 

Anugerah Fair Play: Melaka

Anugerah Komuniti: Kedah Kenari Kid

Penjaring Terbanyak Liga Super: Rufino Segovia del Burgo (Selangor) - 31 gol 

Penjaring Terbanyak Liga Super (Tempatan): Shafiq Shaharudin (Kelantan) - 6 gol 

Penjaring Terbanyak Liga Premier: Anselmo Arruda Da Silva (Felcra FC) - 19 gol

Penjaring Terbanyak Liga Premier (Tempatan): Bobby Gonzales (Sarawak) - 13 gol

Best XI: Farizal Marlias, Marcos Antonio, Muhammad Safawi Rasid (JDT); Kamal Azizi Zabri, Lee Andrew Tuck, Thierry Chantha Bin, Mohd Faiz Mohd Nasir, Brice Hermann Tchétché Kipré (Terengganu FC); Shahrul Mohd Saad (Perak); Mohd Rizal Ghazali, Muhammad Akhyar Abdul Rashid (Kedah) 

Sumber : BERITA Mediacorp/BERNAMA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan