Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

Golongan millennial tidak setuju mereka terlalu memilih kerja, enggan kerja keras

Perbahasan sekian lama sama ada golongan millennial dalam pasaran pekerjaan dan tempat kerja menganggap diri mereka berhak mendapat keistimewaan, sekali lagi mendapat tumpuan umum selepas satu kiriman di media sosial menjadi tular baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Golongan millennial tidak setuju mereka terlalu memilih kerja, enggan kerja keras

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 12 Sep 2020 07:19AM Dikemas Kini : 12 Sep 2020 07:41AM

SINGAPURA: Perbahasan sekian lama sama ada golongan millennial dalam pasaran pekerjaan dan tempat kerja menganggap diri mereka berhak mendapat keistimewaan, sekali lagi menjadi tumpuan umum selepas satu kiriman di media sosial menjadi tular baru-baru ini.

Wawancara Mediacorp dengan kedua-dua majikan dan pemohon kerja mendedahkan mungkin ada lebih banyak persamaan antara kedua-dua pihak ini.

Mengulas isu tersebut, Cik Sharifah Zahrah Aljufri, 25, yang mencari pekerjaan sejak Mei, berkata bahawa mereka yang membuat kenyataan umum bahawa golongan millennial perlu lebih rendah diri dan lebih rela "menderita" seperti generasi terdahulu berfikiran stereotaip. Beliau juga berasa tanggapan umum bahawa golongan millennial membuat terlalu banyak tuntutan adalah tidak adil.

Encik Adam Esoof Piperdy, 30, ketua pegawai eksekutif dan pengasas syarikat penganjur acara Unearthed Productions, bersetuju bahawa zaman sudah berubah dan majikan perlu menerima dan belajar untuk menyesuaikan diri dengan cara pemikiran golongan millennial atau menghadapi risiko kehilangan bakat.

Perbahasan mengenai hal itu tercetus selepas satu kiriman Facebook oleh Encik Delane Lim, 35 pada 29 Ogos.

PEMOHON MAHU KERJA DENGAN BIJAK, BUKAN KERJA KERAS

Encik Lim, pengasas bersama FutuReady Asia menimbulkan persoalan: “Adakah kita membesarkan generasi kita untuk menjadi bayi dewasa? Saya telah menemubual 12 siswazah tempatan minggu ini yang memohon pekerjaan ... Saya kecewa dengan jawapan mereka kerana tiada seorang pun mempunyai keinginan tinggi untuk merebut pekerjaan."

Beberapa jam kemudian, satu lagi catatannya yang mengulas lanjut perkara itu menarik perhatian ramai pengguna dalam talian.

“Mereka lebih suka bekerja dengan bijak berbanding bekerja keras, tidak seperti generasi-generasi terdahulu. Saya menyokong dasar mengutamakan tenaga kerja Singapura tetapi ... mereka menyukarkan lagi kami untuk mempertimbangkan untuk menggajikan mereka. Jangan salahkan majikan kerana mempertimbangkan pekerja asing,” tulisnya.

Pusat Penyelidikan Pew di Amerika Syarikat, yang sudah mengkaji golongan millennial selama lebih sedekad, mentakrifkan millennial sebagai individu yang dilahirkan antara 1981 dengan 1996. Tahun ini, mereka akan berumur antara 24 dengan 39 tahun.

Apabila dihubungi Mediacorp pada Rabu, Encik Lim menjelaskan bahawa beliau hanya berkongsi pengalamannya dan menggariskan jurang jangkaan antara pemohon kerja dengan bakal majikan.

Encik Lim berkata beliau "diganggu" dan menjadi sasaran doxxing oleh pengguna media sosial yang tidak bersetuju dengan pendapatnya namun ada juga kumpulan "majoriti senyap" yang mengirimkan kata-kata positif, hamper coklat bahkan baucar CapitaLand bernilai S$200 kepadanya sebagai tanda sokongan.

PERBANDINGAN TIDAK ADIL

Cik Muslihah Mujtaba, 26, bekas penyelaras produksi yang mencari pekerjaan sejak Februari, berkata bahawa generasi muda lebih cenderung membuat lebih banyak tuntutan berbanding generasi lalu hanya kerana mereka mahukan yang terbaik.

"Bukan kerana golongan millennial tidak rela kerja keras, cuma kami lebih terdorong untuk cuba memperoleh pendapatan lebih besar dan peluang yang lebih baik kerana taraf kehidupan sekarang jauh lebih tinggi dan kami telah melabur begitu banyak dalam pendidikan kami," katanya.

Cik Sharifah, seorang lagi pemohon kerja berkata bahawa apa yang disifatkan Encik Lim sebagai tuntutan itu bukan permintaan yang tidak munasabah.

"Saya rasa sangat wajar untuk pemohon kerja bertanyakan soalan kepada majikan juga. Saya faham mengapa sesetengah pemohon kerja mempunyai jangkaan khusus, terutamanya jika mereka sudah terbiasa dengan (faedah dan cara bekerja) dari tempat kerja mereka yang dahulu, namun saya juga faham apa yang mereka mahu mungkin tidak sentiasa dapat dilaksanakan,” katanya.

"Mengenai dakwaan bahawa golongan millennial tidak cukup berkeinginan tinggi, saya fikir atas sebab keinginan tinggi maka itulah kami bertanyakan soalan dan letakkan jangkaan."

GOLONGAN MUDA BERPANDANGAN JAUH

Cik Yeo Wan Ling, 25, yang mencari pekerjaan sejak diberhentikan pada April, bersetuju bahawa di peringkat temu duga, pemohon kerja yang memberitahu bakal majikan tentang keperluan mereka untuk bekerja dengan baik adalah satu bentuk komunikasi yang telus dan sihat.

Penulis bebas Neon Drew, 24, berkata bahawa "seluruh pandangan (Encik Lim) berpusat pada cara pemikiran negatif bahawa anda hanya benar-benar menginginkan pekerjaan jika anda sanggup berhempas pulas atas nama kerja".

"Kami menetapkan syarat bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri dalam mengimbangi antara kerja dengan kehidupan, tetapi kami bersikap berhati-hati supaya dapat kekal bekerja untuk jangka panjang bagi mengelakkan kelelahan kerja," kata Encik Drew.

"JANGAN BAWA PEMIKIRAN SYARIKAT BERBILANG NEGARA"

Encik Dale Tan, 41, pemilik syarikat perabot pejabat percaya bahawa persefahaman antara kedua-dua pihak amat penting.

Walaupun majikan harus belajar menyesuaikan diri dan berusaha memahami cara pemikiran golongan muda, pemohon kerja muda juga perlu "melakukan kajian" dan mengemukakan tuntutan dan permintaan yang sesuai. Mereka tidak boleh menjalani semua temu duga dengan membawa "pemikiran syarikat berbilang negara".

"Mereka perlu memahami bahawa sebahagian syarikat kecil dan sederhana (SME) mempunyai sumber terbatas atau merupakan syarikat pemula yang baru bertapak. Maka itu tidak semua majikan akan dapat memenuhi tuntutan mereka, walaupun kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memahaminya," katanya.

Encik Piperdy dari Unearthed Productions pula berpendapat "ia tentunya dapat diterima" jika golongan millennial mempunyai jangkaan atau permintaan tertentu, kerana ini menunjukkan mereka tahu apa yang mereka mahukan. Beliau berkata 13 daripada 15 pekerjanya adalah golongan millennial.

SYARIKAT PERLU SESUAIKAN DIRI ATAU AKAN KETINGGALAN

Oleh kerana generasi millennial adalah generasi baru pekerja, para majikan perlu menyesuaikan diri atau menghadapi risiko ketinggalan, tambah Encik Piperdy.

"Tanpa idea segar, anda tidak akan dapat menjalin rangkaian dan ini sudah berlaku kepada beberapa SME sekarang."

Encik Sam Too, pengurus besar peruncit online Qoo10, yang mempunyai kakitangan dengan usia purata 31 tahun, berkata bahawa majikan perlu menghapuskan sebarang pandangan berat sebelah dan jangan menghakimi sebarang calon pekerja.

"Sifat saling menghormati adalah kuncinya. Kami juga berusaha untuk menjadi setelus mungkin," tambahnya.

"Menangani jangkaan dari awal dan mengimbangi jangkaan kedua-dua pihak sebaik mungkin adalah penting." 

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan