Images
  • aqil shah
    Pelajar Sekolah Menengah Xinmin Aqil Nasran Shah bersama keluarganya selepas mendapat keputusan GCE 'O'. (Gambar: BERITAmediacorp)

GCE 'O': Walau dibelenggu cabaran keluarga, Aqil Nasran Shah berjaya dapat keputusan baik

SINGAPURA: Seperti di sekolah-sekolah menengah lain di merata Singapura hari ini (13 Jan), suasana di Sekolah Menengah Xinmin dipenuhi dengan wajah para pelajar yang tidak sabar mendapatkan keputusan GCE 'O' masing-masing.

Antara mereka termasuklah Aqil Nasran Shah Nizam Shah.

Setelah kertas keputusan diserahkan kepadanya, Aqil kelihatan sebak dan kemudian menangis. Titisan air matanya itu sebenarnya tangisan sebagai tanda kesyukuran.

Manakan tidak, Aqil berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan pendidikannya selama ini.

Aqil mendapat keputusan dua gred A dan empat gred B atau 11 mata bagi peperiksaan GCE 'O'nya itu.

AQIL IKAT PERUT SETAHUN, PERLU MASAK UNTUK KELUARGA

Dua tahun lalu, ayahnya mengalami serangan jantung dan adiknya pula berdepan dengan komplikasi paru-paru. Enggan menyerah kalah, keadaan itu sebaliknya membuatkan Aqil lebih kuat semangat dan bertekad untuk mengatasi kesulitannya.

"Cabaran utama yang saya hadapi adalah dalam mengatur masa kerana saya harus memberi keutamaan kepada masa untuk belajar serta masa untuk menjaga rumah kerana kedua-dua ibu bapa saya terpaksa kerja. Jadi kadangkala saya harus memasak makan malam agar seluruh keluarga kami dapat makan," kongsi Aqil.

Lebih menyayat hati lagi, pada usia remaja itu Aqil mengikat perut hampir setahun dengan tidak berbelanja semasa waktu rehat. Ini kerana dia tidak mahu membebankan keadaan kewangan keluarganya.

Namun, semua itu dipendamnya dan dirahsiakannya. Tiada sesiapa pun di sekolah yang tahu tentang masalahnya di rumah sehinggalah rakan-rakan dan guru kelasnya perasan yang Aqil tidak makan setiap waktu rehat.

Namun itu juga boleh dianggap sebagai suatu tahap kematangan yang dimiliki Aqil.

Guru bahasa Melayu Aqil, Cikgu Effendy Ahmadi, berkata: "Bagi saya, Aqil sudah menunjukkan saya sikap yang sangat matang. Walaupun dalam masalah yang dihadapi, dia tidak pun terjerumus dalam permasalahan tersebut. Malah, dia terus timbul dan naik untuk menjadi seorang pelajar yang lebih baik."

Semasa ditemui, bapa Aqil, Encik Nizam Shah Abdul Hamid jelas menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian anaknya itu.

"Saya tidak sangka keputusannya walaupun tidak yang terbaik tetapi sekurang-kurang Alhamdulillah dia sudah cuba yang terbaik. Sebagai seorang ayah saya sungguh bangga setelah apa yang dia lalui selama ini, saya cukup bangga," ujar Encik Nizam Shah.

Dengan keputusan yang boleh dianggap baik itu, Aqil kini merancang untuk melanjutkan pelajaran ke Politeknik Temasek dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

AMIRUL WIJAYA TERPAKSA TINGGALKAN IMPIAN WAKILI S'PURA

Bagi pelajar Sekolah Menengah Northbrooks, Amirul Wijaya pula, cabaran yang perlu dilaluinya berbeza sekali.

Amirul sebenarnya tidak perlu menduduki peperiksaan GCE 'O' dua tahun lalu kerana Amirul adalah seorang pelajar di Sekolah Sukan Singapura yang mengambil International Baccalaureate (IB).

Bagaimanapun Amirul mengalami kecederaan teruk pada bahagian kakinya dan tidak lagi boleh menyertai pertandingan, apatah lagi harapan mewakili Singapura satu hari nanti.

Bekas bakat sukan lompat kijang itu diberi peluang kedua di Sekolah Menengah Northbrooks yang mana dia perlu mengulang pengajian peringkat menengah tiga.

"Pada mulanya memang sukar bagi saya kerana saya perlu berdepan dengan sekolah dan sekitaran yang baru. Namun, guru-guru dan rakan-rakan menerima saya dan membantu saya dengan perjalanan saya ini dari mula hingga akhir," kongsi Amirul.

Dia akhirnya dapat menarik nafas lega kerana berjaya mendapat markah cemerlang bagi kedua-dua subjek matematik asas dan tambahan iaitu satu subjek yang sebelum ini sukar dianggap bagi Amirul.

Pencapaiannya itu antara lain disumbang oleh penekanan sekolahnya yang mementingkan perkembangan peribadi berbanding ranking.

Sekolah Menengah Northbrooks memperkenalkan kad laporan baru tahun lalu yang mana beberapa indikator seperti kedudukan peringkat dan kelas tidak dikongsikan. Peperiksaan pertengahan tahun bagi para pelajar menengah satu dan tiga juga ditiadakan.

"Kini, mereka boleh menyalurkan tenaga dan tumpuan mereka kepada perkembangan diri sendiri daripada membandingkan diri mereka dengan orang lain. Jadi saya rasa ini adalah satu cara yang baik untuk mereka memberikan tumpuan kepada kepakaran sendiri untuk pembelajaran mereka," kata Pengetua Sekolah Menengah Northbrooks Encik Nick Chan. 

- BERITAmediacorp/tq

Top