Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

GCE 'N': Dahulu 'budak nakal' kini Nursyawalliah Rahmat lulus cemerlang

Dahulu Nursyawalliah 'sangat nakal'. Pernah memberontak, lari rumah dan sebagainya. Hari ini dia lulus GCE 'N' dan dapat 4 gred A. Ini kisah penuh inspirasi Nursyawalliah... 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pada usia 13 tahun, Nursyawalliah Rahmat seorang pelajar yang 'sangat nakal’.

Pelajar sekolah Menengah Bartley ini pernah lari daripada rumah. Malah sikap memberontak membuatkannya dia juga terbabit dengan pelbagai kegiatan terlarang pada usia yang muda, seperti menggunakan bahan-bahan yang memabukkan.

Akibatnya, ibu tiri Nursyawalliah, Cik Erma Yanti Massuri, terpaksa memfailkan laporan Kanak-kanak Di Luar Kawalan Ibu Bapa di Kementerian Sosial dan Keluarga (MSF).

Nursyawalliah kemudian dimasukkan ke sebuah rumah tumpangan iaitu Pusat bagi Wanita dan Remaja Perempuan Pertapis, sebelum dihantar ke Singapore Girls' Home.

Nursyawalliah Rahmat bersama ibu tirinya Cik Erma Yanti Massuri (baju merah).

Ternyata kehidupan di rumah tumpangan itu membuka lembaran baru baginya. Dengan bantuan pembimbing bernama ‘Miss Natasha’, Nursyawalliah mula berubah dan memberi tumpuan kepada pelajaran.

DARI PELAJAR TERCICIR JADI PELAJAR CEMERLANG

Hasil ketara terbesar disaksikan tahun lalu apabila dia menjadi antara pelajar terbaik kohort sekolahnya untuk Normal (Akademik) dan sekali gus menjadi penerima Anugerah Biasiswa Edusave.

Hari ini (17 Dis), satu lagi puncak ditawan Nursyawalliah apabila keputusan GCE 'N' diumumkan. Pelajar Normal (Akademik) itu boleh berbangga kerana lulus cemerlang GCE 'N' setelah mendapat dua gred A1 (Bahasa Melayu & Inggeris) dan dua A2 (Sains & Prinsip Perakaunan), serta tiga gred B bagi subjek-subjek lain.

Dengan pengalaman 'hitamnya' itu, Nursyawalliah ingin melanjutkan pelajarannya dalam bidang psikologi bagi membantu belia berisiko.

Malah, mengambil inspirasi dari "Miss Natasha", dia ingin kembali menyumbang bakti di Singapore Girls' Home.

Nursyawalliah Rahmat (Gambar: BERITAmediacorp/Ummu Rabbisyfina)

"Saya ingin mengambil kursus psikologi disebabkan perjalanan yang saya lalui. Saya rasa disebabkan pengalaman ini saya ingin melakukan benda yang sama seperti pegawai yang telah menolong saya dan mendorong saya untuk kebaikan diri sendiri.

"Saya ingin menolong remaja-remaja yang telah melalui perkara yang sama atau mungkin yang lebih teruk dari saya. Saya ingin mendorong mereka untuk menjadi lebih dan melakukan perkara yang lebih baik dalam kalangan masyarakat kami sekarang," kongsinya lagi penuh fokus dan wawasan.

NUR SYAFIQAH: BELAJAR DI HOSPITAL SETELAH DISERANG ANGIN AHMAR

Turut menjalani kehidupan mencabar sebelum lulus GCE 'N' ialah Nur Syafiqah Dahlan dari Sekolah Menengah Hillgrove.

Awal tahun ini ibunya diserang angin ahmar, sehingga sepanjang proses menduduki peperiksaan tahun ini, hospital merupakan rumah kedua Syafiqah.

Dia akur pada mulanya dia berasa sedikit tertekan dengan tanggungjawab yang harus dipikulnya itu kerana perlu juga menjaga ibunya di hospital.

Nur Syafiqah Dahlan (Gambar: BERITAmediacorp/Ummu Rabbisyfina)

Nur Syafiqah Dahlan (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Ummu Rabbisyfina)

Namun, cabaran tersebut tidak mematahkan semangat pelajar Normal (Akademik) itu untuk rajin belajar dan memberi yang terbaik dalam peperiksaan.

Hasilnya, Syafiqah hari ini lulus kesemua 6 subjeknya termasuk A1 bagi Bahasa Melayu dan B4 bagi Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

"Ibu saya selalu kata saya perlu belajar dengan tekun dalam pelajaran ini kerana mata pelajaran mungkin boleh menentukan masa hadapan kita yang baik.

"Daripada peristiwa ibu saya dahulu ibu saya tak berapa bagus dalam pelajaran jadi dia inginkan anaknya belajar betul-betul untuk ada masa hadapan yang lebih dan senang," kata Syafiqah yang turut aktif sebagai Setiausaha bagi Kelab Koir sekolahnya itu.

Nur Syafiqah Dahlan (Gambar: BERITAmediacorp/Ummu Rabbisyfina)

Sangat minat dalam bidang pendidikan dan kemasyarakatan, dia ingin melanjutkan pelajarannya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Selain Syafiqah dan Nursyawalliah, lebih 14,630 pelajar lain turut mendapatkan keputusan GCE 'N' masing-masing hari ini (17 Dis). 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan