Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GCE 'A': 3 pelajar madrasah ini capai keputusan baik meski berdepan cabaran tersendiri

Memang Pembelajaran dari Rumah (HBL) menjejas semua pelajar semasa COVID-19 melanda. Tanpa pemantauan guru, pelajar perlu menyesuaikan diri dan berdisiplin. Memang tidak mudah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memang Pembelajaran dari Rumah (HBL) menjejas semua pelajar semasa COVID-19 melanda. Tanpa pemantauan guru, pelajar perlu menyesuaikan diri dan berdisiplin. Memang tidak mudah.

Namun bagi pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah bernama Ahnaf Fuad Alias ini, HBL tahun lalu itu lebih mencabar lagi baginya.

Ini kerana keadaan di rumah menyukarkannya untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Sedangkan ia tahun cukup penting bagi Ahnaf kerana dia akan menduduki peperiksaan GCE 'A'.

"Abang saya autistik. Dia memerlukan ruang dan juga kadangkala 'mengganggu'. Bukan apa tetapi abang saya memerlukan perhatian yang teliti untuk dijaga. Jadi saya harus mengimbangi masa bagi pelajaran dan abang saya. Itu bukan perkara yang mudah," kata anak bongsu empat beradik itu.

Namun, semua itu tidak dijadikan alasan untuk tidak boleh belajar.

Ahnaf bahkan muncul sebagai antara pelajar terbaik Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah tahun ini. Ahnaf meraih gred 'B' bagi dua subjek H2, iaitu Teologi Islam dan juga Syariah Islam.

Secara keseluruhannya, menurut Madrasah Wak Tanjong kepada BERITAmediacorp, 82 peratus pelajarnya yang menduduki peperiksaan GCE 'A' lulus dua subjek H2 dan dua subjek H1.

STRATEGI AHNAF ATASI PERINGKAT 'A'

Ketika dicungkil apakah antara rahsia kejayaannya sehingga mampu lulus peperiksaan nasional itu, Ahnaf menjawab dia banyak melakukan latihan pelajaran. Selain itu, dia juga menyertai kumpulan belajar (study group) dan sering kali mengulang kaji secara berkumpulan bersama rakan-rakan.

"Kami selalu beri semangat kepada satu sama lain untuk belajar. Jumpa untuk membuat latihan sama-sama," kongsi Ahnaf.

Dengan keputusan yang baru dicapainya itu, Ahnaf menaruh harapan untuk dapat melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Nanyang - khususnya dalam bidang pendidikan atau mengajar.

"Ia minat saya. Dari dulu lagi, semasa saya dalam peringkat sekolah rendah, biasanya apabila kawan-kawan bertanya soalan, saya suka cuba untuk memberi penerangan untuk apa-apa subjek. Daripada situ, minat saya berputik untuk mengajar," tambah belia berusia 19 tahun itu.

"Dan saya ingin membanggakan ibu bapa saya untuk sambung belajar di universiti."

MADRASAH AL-MA'ARIF CATAT PRESTASI MENGGALAKKAN; HASINAH MUNCUL PELAJAR TERBAIK

Sementara itu, lebih 92 peratus pelajar Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah lulus dua subjek H2 dan dua subjek H1. Perangkaan ini sememangnya menggalakkan kerana tidak jauh berbanding prestasi nasional.

Pelajar terbaiknya, Nur Hasinah Mohammed Salim, meraih tiga gred 'A' dan dua gred 'B'.

Keputusan 'di luar jangkaan' itu diraih meski Hasinah akur, "tidak senang fokus dalam kelas" dan hanya "belajar betul-betul" apabila melihat rakan-rakan sekelasnya gigih membuat persiapan bagi peperiksaan nasional.

"Cara saya belajar adalah dengan hanya banyak baca. Sebab subjek-subjek GCE 'A' kena banyak tulis esei. Jadi kalau tidak ada maklumat yang cukup, susah untuk tulis," ujarnya.

Pendekatan Hasinah itu ternyata cukup berbaloi. Hasinah mendapat gred A bagi Kertas Am (General Paper) - suatu pencapaian yang umumnya tidak mudah diraih jika kurang mahir membentangkan hujah-hujah bernas dalam bentuk esei. Dia juga mendapat A1 bagi kertas Bahasa Arab.

Prestasinya bagi subjek Syariah dan Teologi Islam juga cukup baik. Dia mendapat gred 'B' bagi kedua-dua subjek H2 itu. Bagi satu lagi subjek H2 iaitu Sastera Melayu, Hasinah mendapat gred 'C'.

Hasinah kini ingin mengorak langkah menjadi seorang peguam pula.

"Saya ingin belajar tentang undang-undang sejak kecil. Memang suka berdebat juga," kata Hasinah kepada BERITAmediacorp.

RAKAN BAIK, FATHIMAH, JUGA CEMERLANG

Lebih manis lagi bagi Hasinah, rakan baiknya bernama Fathimah Mohammed Haris, juga muncul sebagai antara tiga pelajar terbaik Madrasah Al-Ma'arif.

Menariknya, Fathimah bukan daripada keluarga Melayu. Sebenarnya hampir seisi keluarganya bertutur dalam Bahasa Tamil di rumah - bukan bahasa Melayu. 

Yang pasti semangatnya untuk belajar memang luar biasa. Apabila keputusan GCE 'A' diumumkan kepadanya, Fathimah mendapat keputusan yang sangat memberangsangkan - gred 'A' bagi bahasa Melayu (H1) dan gred 'B' bagi Sastera Melayu (H2).

Secara keseluruhannya, Fathimah mendapat gred 'B' bagi ketiga-tiga subjek H2 yang didudukinya termasuk Syariah Islam dan Teologi Islam.

Keputusan tersebut juga dicapai selepas bangkit daripada 'trauma' mendapat keputusan GCE 'O' yang kurang memuaskan beberapa tahun sebelum itu.

"Saya menghadapi kesukaran dalam membina keyakinan diri memandangkan keputusan GCE 'O' saya yang tidak memberangsangkan. Tetapi saya tahu bahawa saya tidak sepatutnya berputus asa. Saya masih perlu mencuba lagi mengambil peluang kedua ini," kata Fathimah.

Fathimah merancang untuk menceburi bidang psikologi di Universiti Nasional Singapura. Beliau khususnya ingin belajar lebih banyak lagi tentang isu-isu kesihatan mental, yang menurutnya kian meruncing pada masa kini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan