Images
  • nyp

Gagal jadi doktor tapi jadi penerima Anugerah LKY dan azam bantu hasilkan ubat rawat barah

SINGAPURA: Kegagalannya untuk menjadi seorang doktor tidak pernah mematahkan semangat Encik Shahreyll Khairoullah, 24 tahun, untuk mencapai kejayaan yang membanggakan.

Minggu lalu (3 Mei), lulusan Politeknik Nanyang itu dipilih sebagai salah seorang di antara tiga pelajar di sekolahnya untuk menerima Anugerah Lee Kuan Yew Politeknik Nanyang yang berprestij bagi tahun ini.

KENANGAN LALU DIJADIKAN PEMBAKAR SEMANGAT

Pengalaman menjaga neneknya yang menghidap penyakit kencing manis menjadi pencetus minat bagi Encik Shahreyll untuk menjadi seorang doktor.

Meskipun kecewa setelah mendapati dirinya tidak layak mengikuti jurusan perubatan di sini, beliau berusaha meneroka cabang pendidikan lain untuk meneruskan niatnya membantu pesakit.

Hasratnya itu tercapai apabila diterima memasuki jurusan biologik dan proses teknologi di Politeknik Nanyang.


"Setelah saya mempelajari dalam bidang ini dan melanjutkan latihan industri di sini, saya menjadi sedar bahawa menjadi doktor itu tidaklah satu-satunya cara untuk membantu para pesakit.

"Dengan menghasilkan ubat-ubatan, ini juga dapat membantu pesakit-pesakit dan itu memberikan rasa yang puas bagi saya," menurut Encik Shahreyll, yang juga pernah dilantik sebagai presiden kelab sukan aikido di sekolahnya.

Semasa lawatan kami, Encik Shahreyll berkongsi pelibatannya dalam menghasilkan ubat merawat barah Multiple Myeloma, setelah diambil bekerja di sebuah syarikat bioteknologi berbilang negara, Amgen Singapore Manufacturing.

CEMERLANG DI SEKOLAH DAN TEMPAT KERJA

Berkat kerja kerasnya, beliau ditawarkan pekerjaan sepenuh masa. Tawaran itu datang selepas hanya lima bulan beliau bertugas di situ.

"Kami sangat gembira dengan masa depan beliau di syarikat kami. Saya rasa beliau memiliki masa depan yang cerah dalam Amgen dan berdasarkan apa yang beliau telah tunjukkan kepada kami setakat ini, beliau mempunyai peluang baik untuk terus meningkatkan diri dan meneruskan potensi beliau dalam syarikat ini," kata Encik Gregory Sukay, Pengarah Eksekutif dan juga penyelia Encik Shahreyll.

Selain cemerlang dalam bidang akademik, beliau mempamerkan minat mendalam dan niat murni untuk membantu masyarakat.

Beliau berharap agar dapat terus menghasilkan ubat-ubatan untuk menjadi penawar bagi pesakit-pesakit. 

- BERITAmediacorp/na

Top