Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

ePustaka: 'Semurni Hati Atikah' tekankan pengorbanan insani tidak dibatasi beza agama, kaum dan status sosial

Apakah erti persahabatan di alam remaja?

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Semurni Hati Atikah' tekankan pengorbanan insani tidak dibatasi beza agama, kaum dan status sosial

Gambar: NLB

Diterbitkan : 13 Nov 2021 07:34PM Dikemas Kini : 13 Nov 2021 07:36PM

BERITAmediacorp: Apakah erti persahabatan di alam remaja?

Adakah setakat bersama di saat bahagia ataupun rela mengharungi segala keperitan kehidupan bersama?

Inilah persoalan yang mendasari perhubungan antara dua remaja, Atiqah dan Mei Ling, yang berlainan status keluarga, bangsa dan agama dalam novel ini.

Kisah berkembang pantas di awal cerita apabila pembaca dimaklumkan tentang penyakit serius yang dialami Mei Ling.

Keadaannya amat kritikal akibat kerosakan fungsi buah pinggangnya. Tiada lagi penawar dapat diikhtiarkan pada waktu itu kecuali beliau mendapatkan ginjal baru.

Sebagai sahabat karib kepada Mei Ling, Atikah tidak berhenti-henti mencari cara terbaik untuk membantunya. Akhirnya, beliau mengambil keputusan untuk mendermakan satu buah pinggangnya kepada Mei Ling. Beliau tidak sanggup melihat sabahatnya sengsara dan menghadapi risiko kehilangan nyawa.

Bukan mudah bagi Atikah untuk memaklumkan kepada keluarganya tentang keputusan pilihannya.

Persediaannya menghadapi pembedahan pemindahan ginjal adalah lebih getir dan mencemaskan lagi. Namun, kecekalan dan keyakinannya terhadap keputusannya sendiri melancarkan niatnya dipenuhi tanpa sebarang komplikasi.

Kejayaan proses pemindahan ginjal itu memberi sinar kehidupan lebih cerah kepada Mei Ling dan Atikah.

Hubungan mereka bertambah akrab, malah mereka saling ingin mendalami budaya bangsa masing-masing. Mereka juga bertambah cemerlang dalam pencapaian akademik dan bidang sukan.

Banyak pengajaran yang dapat diraih oleh pembaca remaja daripada novel ini. Menerusi hubungan antara Atikah dan Mei Ling, penulis menekankan kesejahteraan persabahatan memerlukan sifat prihatin, keikhlasan dan kesediaan untuk berkorban menurut kemampuan.

Setiap pengorbanan sesama insan yang ingin dilakukan tidak harus dibatasi oleh perbezaan agama, bangsa dan kelas sosial. Ia harus dilakukan atas dasar kemanusiaan.

Pembaca juga dibimbing tentang cara untuk menangani sesebuah masalah.

Emosi perlu dikawal dan kebijaksanaan berfikir, bertindak serta membuat keputusan harus diamalkan.

Selain daripada itu, novel ini juga menganjurkan pembaca muda memiliki sikap tidak berputus asa, menghargai persahabatan, bersyukur, bersifat empati dan sentiasa berfikiran positif.

Para remaja turut diingatkan bahawa setiap perbuatan yang dilakukan dan apa yang mereka alami pasti memberi kesan kepada ahli keluarga.

Tajuk: Semurni Hati Atikah
Penulis: Zailani Taslim
Penerbit: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2017.
Nombor Panggilan: YMalay ZAI
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan