Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Dua beradik perjuang sukan tradisi Melayu jong, kolek

Sepasang adik beradik berusaha untuk menghidupkan semula sukan jong atau kolek, yang buat pertama kalinya disertakan dalam Pesta Sukan 2018 anjuran Persekutuan Sukan Layar Singapura (SSF).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebut sahaja jong atau kolek, ia pasti akan membawa anda mengimbau nostalgia masa lalu.

Selain menghiasi perairan sekitar negara sejak 1800-an, perlumbaan jong atau kolek juga pernah pada satu ketika dahulu menjadi kebanggaan masyarakat Melayu.

BERITAMediacorp menemui sepasang adik beradik yang berusaha untuk menghidupkan semula sukan tradisional itu.

Atas kerja keras mereka, perlumbaan jong buat pertama kalinya disertakan dalam Pesta Sukan 2018 anjuran Persekutuan Sukan Layar Singapura (SSF).

PERNAH SEBAHAGIAN PESTA SUKAN 60an

Perlumbaan jong atau kolek kerap diadakan di kawasan Katong, Siglap dan Pasir Panjang.

Pada kemuncak sukan ini, ia disertakan dalam Pesta Sukan tahun 1960an hingga 80an.

Namun saban tahun berlalu, ia mula pudar di mata dan pengetahuan generasi muda zaman ini.

(Gambar ihsan: Persekutuan Sukan Layar Singapura)

Lantaran itu, Encik Fawzi Nasir dan abangnya yang dibesarkan di Pulau Sekijang terdorong untuk menghidupkan semula sukan tradisional ini.

Bagi tujuan itu,mereka mendapatkan sokongan dan kepakaran anggota keluarga dari kepulauan Riau, tempat lahir ayah mereka.

Ditanya tentang motif di sebalik acara ini, Encik Fawzi mengulas tentang pentingya memperkenal sukan itu kepada generasi akan datang.

"Pentingnya kerana kalau sekarang kita tanya generasi muda sekarang 'Apa itu jong atau kolek?', pasti mereka tidak kenal atau melihat apa itu jong atau kolek. Jadi saya cuba mengembalikan apa itu jong dan kolek yang menjadi tradisi warisan kita," kata beliau.

"Harapan saya adalah untuk melihat generasi muda agar mereka boleh mengekalkan warisan ini untuk menganjurkan pertandingan kolek dan jong pada masa hadapan.

TERIMA PENYERTAAN SERANTAU

Perlumbaan jong yang pertama kali disertakan dalam Pesta Sukan 2018 hujung minggu ini bukan sahaja menerima penyertaan para penggemar baru dan muda tetapi juga peserta dari Malaysia dan Indonesia.

Atlit-atlit sukan layar negara turut mencuba nasib dalam perlumbaan kali ini.

Jong di perairan Singapura (Gambar: Persekutuan Sukan Layar Singapura)

Jong dan kolek pernah menghiasi perairan Singapura (Gambar-gambar ihsan: Persekutuan Sukan Layar Singapura)

"Niat dan hasrat kita mengadakan acara jong ini untuk mengembalikan sukan tradisi kita ini di Singapura supaya dapat mendedahkan anak-anak muda kita dan para pelayar kita untuk mengenali tradisi tentang permainan jong," menurut penolong pengurus besar SSF, Encik Rohaizan Zain.

Peringkat akhir perlumbaan jong ini berlangsung pada Ahad (5 Ogos) di pantai East Coast berdekatan Pusat Sukan Layar Nasional.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan