Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

DPPMS anjur sidang usahawan belia buat pertama kali; timba ilmu dari usahawan mapan

30 peratus daripada 730 anggota Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) kini terdiri daripada usahawan muda yang berusia bawah 35 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 30 peratus daripada 730 anggota Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) kini terdiri daripada usahawan muda yang berusia bawah 35 tahun.

Perangkaan itu dijangka meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Demikian dijelaskan oleh Presiden SMCCI, Encik Farid Khan, di persidangan usahawan belia ILLUMINATE 2019 yang dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh SMCCI pada Sabtu (28 Sep).

Matlamat ILLUMINATE 2019 adalah untuk memperkasakan golongan belia tentang pengelolaan industri perniagaan, sekaligus dijadikan wadah untuk membina rangkaian dan menimba kemahiran yang relevan bagi mengharungi cabaran ekonomi masa hadapan.

BINA KEYAKINAN DAN KEPERCAYAAN, RAIH PENGETAHUAN BARU

ILLUMINATE 2019 mengajak para peserta untuk saling bekerjasama dan mendapatkan tunjuk ajar daripada para usahawan mapan.

Turut bermurah hati untuk mengongsi pengalaman mereka dengan usahawan muda yang lain adalah Encik Adeel Najam, pengasas bersama Circles.Life serta Ustaz Tarmizi Wahid yang mengendalikan Institut Safinah. Mereka turut menekankan peranan penjenamaan peribadi dalam menguruskan perniagaan masing-masing.

Selain itu, para peserta juga boleh menyertai bengkel-bengkel interaktif dan cuba 'memancing perniagaan' (pitching) di mana mereka
turut berpeluang untuk mengongsi idea perniagaan mereka dan meninjau sejauh mana mereka sudah bersedia untuk menceburi bidang perniagaan.

Perincian isu perniagaan, temasuk cabaran dan ganjarannya dikongsi oleh empat usahawan muda, antaranya Encik Faruq Marican, CEO dan pengasas bersama Popsical yang menghasilkan sistem karaoke bijak.

Presiden SMCCI, Farid Khan turut menaruh keyakinan terhadap kebolehan anak muda kita untuk menjadi usahawan yang berjaya walaupun berdepan dengan perlbagai cabaran.

"Sekarang ini, kita lihat ramai anak muda yang datang dan banyak perniagaan 'start up' pun oleh orang muda. Kita boleh belajar daripada mereka dan kita juga boleh lihat cara mereka kendalikan perniagaan mereka. Bukan semua yang berhasil. Ada yang tak berhasil dan mereka perlu belajar juga tentang masalah yang mereka menempuhi dahulu," ujar beliau.

SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN TERHADAP ILLUMINATE 2019

Acara tersebut berjaya memikat lebih 300 belia berbilang kaum yang berpeluang menimba ilmu tentang cara-cara menguruskan perniagaan antara satu sama lain.

Menurut mahasiswa NUS, Muhammad Yusuf Osman: "Saya fikir acara-acara sebegini bagus untuk memberi belia kita dan mereka yang mahu jadi usahawan gambaran sebenar tentang apa keusahawanan itu sebenarnya. Belajar daripada mereka yang berpengalaman bukan sahaja belajar daripada buku."

"Di sini, kita dapat berjumpa dengan para pemilik perniagaan daripada industri berbeza jadi daripada situ, kita boleh tahu selok belok perniagaan daripada individu-individu yang lain jadi kita boleh dapat tahu daripada industri yang lain," tambah Cik Indra Jalal, pemilik perniagaan LionX Systems.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan