Images

Demi capai impian; graduan politeknik ini tekad masuk ITE ukir kecemerlangan

BERITAmediacorp: Ketika satu pintu tertutup maka pintu lain akan terbuka.

Kata-kata mutiara saintis dan pencipta telefon, Alexander Graham Bell itu menjadi pembakar semangat bagi Haziq Azli, ketika graduan politeknik ini membuat keputusan untuk kembali ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE) demi mencapai impiannya.

Keputusannya itu dibuat selepas hampir 10 tahun beliau meninggalkan bangku sekolah.

TIDAK MINAT KURSUS DI POLITEKNIK

Pada 2010, Haziq Azli, yang ketika itu berusia 17 tahun, memasuki Politeknik Nanyang (NYP) untuk mengikuti kursus Sains Makanan dan Pemakanan.

Namun, ia bukan bidang yang diminati beliau dan prestasinya sepanjang tiga tahun di NYP, kurang memberangsangkan.

"Terus terang saya tak fikir masa depan saya. Saya fikirkan nak habiskan sekolah sahaja. Minat nak belajar pun belum kuat lagi ketika usia saya 17 tahun," katanya mengimbau kembali cabaran semasa di sekolah.

Mujur, keputusannya cukup untuk membantu beliau mendapat diploma tiga tahun kemudian.

Selepas menjalani Perkhidmatan Negara (NS), Haziq bekerja sepenuh masa di sebuah syarikat farmaseutikal pada 2016.

Walaupun tugasnya tidak ada kaitan dengan diploma yang diraih, Haziq memilih bekerja di syarikat tersebut kerana dijanjikan peluang mengikuti diploma sambilan yang ditaja penuh.

Malangnya, syarikat itu terpaksa 'tutup kedai'.

Namun hasrat Haziq untuk sambung belajar tidak luntur.

KETIKA SATU PINTU TERTUTUP MAKA PINTU LAIN TERBUKA:ALEXANDER GRAHAM BEL

Kini pada usia 27 tahun, Haziq adalah pelajar Tahun 2 di ITE Kolej Barat, mengikuti kursus Kejuruteraan Elektronik.

"Secara terus terang, ramai yang tanya kenapa awak balik ITE, kenapa tak ambil diploma, kenapa tak kerja sambil belajar?" ujar Haziq.

Namun, beliau percaya langkah yang diambilnya itu penting demi mengejar impiannya untuk menjadi seorang jurutera.

"Saya rasa mengapa tidak pergi ke ITE untuk fahami asasnya. Saya pun tak pernah belajar tentang kejuruteraan. Jadi jika saya masuk ITE, dapatkan asasnya untuk apa yang saya minat. Dengan asas itu, saya boleh pergi lagi jauh sebab asas saya kukuh," tambah Haziq yang akur pada mulanya agak janggal masuk darjah bersama pelajar yang rata-rata sedekad lebih muda daripada beliau.

" Bila saya masuk ITE, rakan-rakan kelas saya semua umur 17, 18, 19 tahun. Dalam segi itu, saya rasa macam pelik dan janggal nak berinteraksi, nak bual nak tanya pasal sekolah. Jadi susah sikit pada mulanya untuk saya," kata Haziq.

"Saya pun perlu menyesuaikan diri. Sudah hampir sembilan tahun tidak belajar, otak saya dah 'karat'. Saya perlu mula belajar asasnya," tambahnya lagi.

TANTANGAN BUKAN MENJADI HALANGAN

Haziq berkata: "Kalau kita ada minat, bukan sahaja keputusan kita bagus, tetapi peluang-peluang akan mula masuk. Orang akan nampak kegigihan kita, minat dan kemahuan."

Lantaran itulah, berbekalkan semangatnya untuk berjaya dan usaha serta minat yang mendalam, Haziq meraih keputusan cemerlang gred (GPA) sempurna 4.0 pada semester pertama di Kolej Barat.

Bahkan juga memenangi dua anugerah Teknologi Lee Kuan Yew.

"Saya rasa saya berjaya sebab saya ada sokongan keluarga. Sokongan keluarga amat penting buat saya. Saya rasa ini adalah peluang terakhir untuk saya berjaya sebab umur semakin meningkat," mengulas pendorong utamanya untuk berjaya.

Kejayaannya itu memberi kesedaran kepada Haziq akan pentingnya pembelajaran sepanjang hayat tidak kira di mana titik permulaannya.

"Untuk saya, ilmu adalah penting. Untuk saya sambung belajar tidak harus dihentikan. Walaupun kita mula dari mana pun, mahupun dari asasnya," katanya.

Kini Haziq berhasrat untuk meneruskan pembelajaran hingga ke peringkat PhD.

MESEJ BELIAU KEPADA PELAJAR ITE

"Buat remaja-remaja di ITE, ramai yang melihatnya sebagai “It’s The End”. Namun, saya boleh katakan yang ITE itu tak semestinya yang terakhir. Tak semestinya anda dari ITE, tak ada orang yang akan pandang.

Dengan portfolio yang anda ada, anda tetap boleh pergi jauh. Boleh tetap ambil diploma dan ijazah. Ia bergantung kepada usaha anda sendiri," nasihat beliau.
 

- BERITAmedicaorp/FZ/tq

Top