Images
  • family generic
    (Gambar hiasan: Jude Beck/Unsplash)

#BeliaSG: Wujud

BERITAmediacorp: Apa sebenarnya yang diinginkan seorang anak dalam sebuah keluarga? Kehidupan mewah ataupun perhatian ibu bapa? Mampukah ibu bapa memberikan kedua-duanya? Cerpen dalam ruangan #BeliaSG minggu ini menyampaikan satu mesej penting dalam bentuk nasihat. Mungkin resipi 'kehidupan keluarga harmonis tidak serba kekurangan' ini mudah, tetapi kita sering kali terlepas pandang.

AKU membelek gambar-gambar masa kecilku. Walaupun beberapa kepingan potret keluarga sudah pudar, wajah-wajah mereka terpahat di hati. Aku mengenang kembali kenangan masa lampau yang tidak begitu manis bagiku.

Aku tidak mempunyai kenangan seperti duduk bersama ibu bapa dan bergelak ketawa bersama-sama. Kelibat mereka berdua pun jarang kelihatan. Mereka terlalu sibuk di pejabat atau di luar negara. Aku pula tidak pernah mengambil tahu tentang tugas mereka ataupun di mana mereka berada kerana tiada apa-apa yang akan berubah.

Aku seolah-olah tidak wujud bagi mereka. Hanya Mizal seorang yang boleh aku harapkan dalam masa suka dan duka. Dia sudah aku anggap seperti abangku sendiri. Aku sering ke rumahnya dan ibu bapanya pula selalu menyambut kedatanganku dengan tangan terbuka.

Kadangkala, aku bermalam di situ kerana suasana di rumahnya amat berlainan. Rumah Mizal sentiasa meriah dengan gelak ketawa dan gurau senda antara mereka adik-beradik serta ibu bapa mereka. Hatiku girang berbaur sedih melihat kegembiraan mereka sekeluarga.

Aku tidak pernah merasakan kebahagiaan yang sama bersama keluargaku. Sebaliknya, setiap kali aku pulang ke rumah, keceriaan di wajahku hilang begitu sahaja. Salamku selalu disambut oleh pembantu rumah kami, Kak Indah. Dialah yang menjaga aku kerana ibu bapaku jarang berada di rumah.

Suasana di rumah begitu sunyi dan sepi seperti hidupku. Bagiku, rumah banglo bertingkat tiga yang dikagumi ramai rakanku yang lain hanya seperti sebuah hotel - tempat aku tidur dan makan sahaja. Aku tidak pernah merasakan syurga dalam rumahku sendiri yang sepatutnya menjadi destinasi yang aku tujui selepas sekolah dan markas perkongsian tentang perkara yang berlaku seharian.

Aku tidak pernah meminta atau menginginkan barangan berjenama yang kerap dibelikan oleh kedua ibu bapaku. Barang-barang itu tidak bermakna. Aku melihatnya sebagai sogokan untuk aku mengetap bibirku daripada keluhan atau soalan-soalan yang membingitkan pendengaran mereka setibanya mereka di muka pintu.

Aku rindu akan kemesraan antara aku dengan insan-insan paling aku sayangi. Setiap hari aku berharap mereka akan pulang dan meluangkan masa bersamaku walaupun hanya buat seketika. Makan malam bersama-sama atau pergi bercuti sekali-sekala seperti Mizal dan keluarganya. Sudah lama aku berdoa namun masih belum termakbul. Dengan itu, aku kerap belajar dan mengulang kaji pelajaran supaya masa lapang tidak terasa panjang.

Sebagai anak tunggal, sejujurnya aku mendambakan kasih sayang ibu bapaku. Harta bukan ukuran kasih sayang mahupun pengisi ruang sepi dalam dadaku ini. Namun, aku memilih untuk bersangka baik terhadap mereka dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Malah, aku berpendapat bahawa mereka sepatutnya bersyukur kerana aku pandai menjaga diriku dan tidak terjebak dalam perkara-perkara yang menconteng arang di muka mereka. Jika mereka boleh bekerja siang dan malam hanya untuk mendapat kemewahan, aku juga ingin mengikut langkah mereka. Ya, aku ingin berpegang pada prinsip 'ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi'.

Hanya sahaja aku ingin membuktikan tentang pentingnya membahagikan masa. Aku bertekad dan akan aku genggam kata-kataku sehingga hujung nyawa. Aku tidak akan mensia-siakan keluargaku dalam usaha aku memberikan kemewahan kepada mereka.

Hari demi hari, tahun berganti tahun, aku bekerja keras. Dengan pertolongan Mizal, aku berjaya atas titik peluhku sendiri untuk menjadi seorang jutawan yang cukup terkenal melalui syarikatku yang terus berkembang. Ibu bapa mana yang tidak bangga dengan kejayaan anak mereka dan pastinya mereka juga ingin menumpang kejayaanku.

Aku sama sekali tidak keberatan dengan sikap mereka kerana walau apa pun yang berlaku, mereka tetap darah dagingku. Kalau bukan kerana sikap mereka, mungkin aku tidak akan menyedari apa yang baik dan apa yang buruk.

Setelah berumah tangga dan dikurniai dua cahaya mata yang comel, aku selalu mengingatkan mereka bahawa kita tidak boleh menjadi buta dengan kelebihan yang kita ada. Aku sentiasa memastikan aku sekeluarga akan meluangkan masa bersama pada setiap hujung minggu. Aku juga terus memantau perkembangan mereka. Aku tidak ingin sejarah berulang.

Bagiku, kasih sayang yang dicurahkan lebih berharga daripada duit kerana duit tidak akan pernah memberikan kebahagiaan yang berkekalan. Terima kasih aku ucapkan kepada ibu bapaku kerana mewujudkan hubungan kekeluargaan yang pahit ditelan tetapi manis untuk dijadikan iktibar.

KARYA: NUR FIRZANAH NOORUL HAQ
SEKOLAH: SEKOLAH TINGGI PEMERINTAH BUKIT PANJANG 

- BERITAmediacorp/aq

Top