Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Telahanku Meleset

Setiap insan dilahirkan dengan kekuatan, kelebihan dan kelemahan masing-masing. Ada yang berani menonjolkan bakat... tetapi ada juga yang tidak selesa bersifat terbuka. Yang pasti, bukan menjadi hak kita untuk menilai dan menghakimi orang lain - satu pengajaran yang jelas dalam karya pelajar ini.

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Telahanku Meleset

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 23 Apr 2019 11:06PM Dikemas Kini : 23 Apr 2019 11:13PM

BERITAmediacorp: Setiap insan dilahirkan dengan kekuatan, kelebihan dan kelemahan masing-masing. Ada yang berani menonjolkan bakat... tetapi ada juga yang tidak selesa bersifat terbuka. Yang pasti, bukan menjadi hak kita untuk menilai dan menghakimi orang lain - satu pengajaran yang jelas dalam karya pelajar ini.

JANTUNGKU berdegup kencang. Manik-manik peluh tidak henti-henti membasahi wajahku. Aku memegang erat tangan Qisya sambal mulutku terkumat-kamit membaca doa-doa yang aku hafal.

“Dan tempat pertama jatuh kepada Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang,” suara garau Encik Faizal menerjah gegendang telingaku.

Aku ternganga dan mataku membuntang mendengar pengumuman tersebut. Aku bingkas lalu mencubit diriku sendiri. Ternyata ini bukanlah sebuah mimpi.

Butir-butir permata jatuh berderaian dari empangan mataku yang pecah. Tidak aku sangka dan tidak pernah terlintas di fikiranku bahawa kami akan dinobatkan sebagai juara dalam peraduan drama tersebut. Perasaan gembira berbaur lega menyelubungi diriku.

Aku berganding tangan bersama rakan-rakan lain menuju ke arah pentas. Segaris senyuman tidak lekang menghiasi bibirku dan hidungku tidak henti-henti kembang kempis mendengar pujian para juri.

Aku berbesar hati kerana dapat mengharumkan nama sekolahku. Semua rasa penat dan lelah hilang secara serta-merta sebaik sahaja kami dinobatkan sebagai pemenang, sekali gus berjaya merealisasikan impian kami.

Tentunya, kemenangan ini juga tidak akan dapat kami miliki tanpa pertolongan Qisya. Dialah yang membuat kemenangan berpihak kepada kami.

“Qisya! Kau mahu apa di sini? Kami mahu berlatih. Kau jangan menyibuk pula. Pergi dari sini!” herdik aku sambil memandang Qisya dengan tajam.

Aku tidak mengerti sebab mengapa Qisya harus menyaksikan aku dan rakan-rakannya berlatih untuk peraduan drama yang akan datang ketika itu. Dia tidak memegang sebarang peranan dalam drama tersebut. Dia hanyalah seorang pengganti.

Aku pun tidak bersetuju mendengar keputusan guru kelab drama kami yang memberikannya tanggungjawab untuk menggantikan watak kami sekiranya salah seorang anggota tidak dapat hadir pada hari pertandingan.

Bagi aku, Qisya tidak layak untuk menggalas tanggungjawab seperti itu.

Adakah patut orang yang gugup apabila berhadapan dengan khalayak ramai diberikan peranan tersebut? Dia hanya akan membuat kami malu di hadapan ratusan penonton yang hadir untuk menyaksikan peraduan itu.

Sudah puas aku memujuk Cikgu Sarah untuk mencari orang yang lebih berpengalaman daripada Qisya tetapi pujukanku hanya seperti menuang air ke daun keladi. Dia tetap dengan keputusannya.

“Menyusahkan betullah budak Qisya itu,” aku menggerutuk dalam hati.

“Baiklah semua. Kita akan memulakan latihan sekarang," arah Cikgu Sarah.

Kemunculan Cikgu Sarah menghentikan niatku untuk mengejek Qisya lagi. Dengan pantas, aku segera menuju ke tempatku dan latihan drama kami pun bermula.

Begitulah kegiatanku setiap hari. Jadual harianku sentiasa padat. Setiap hari selepas kelas selesai, aku dan rakan-rakan yang dipilih untuk mewakili sekolah dalam peraduan drama pada tahun 2016 itu akan berlatih. Kami sentiasa mencuba untuk memperbaiki lakonan kami dan menghayati watak-watak masing-masing.

Selama hampir setengah tahun, kami berlatih dengan gigih tanpa kenal lelah. Tujuan kami hanyalah satu, iaitu untuk memenangi peraduan tersebut.

Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Hari yang ditunggu-tunggu tiba. Aku acap kali meneguk air liurku sambil cuba menenangkan diriku. Mataku melilau ke kiri dan kanan melihat keadaan di dalam dewan yang sesak dan riuh-rendah.

Semua tempat duduk di tempat itu dipenuhi dengan para pelajar dan guru-guru dari sekolah-sekolah lain. Ternyata hampir 10 sekolah mengambil bahagian dalam peraduan drama tersebut. Aku melirik ke arah piala yang terletak berdekatan dengan pentas. Tiba-tiba, timbul perasaan ragu di dalam diriku.

Tiga buah sekolah sudah tampil dan tidak lama lagi giliran kami pula. Aku terpanah melihat persembahan pesaing-pesaing kami yang amat kreatif dan menakjubkan. Adakah kami dapat mengalahkan mereka? Pelbagai persoalan bermain di ruang fikiranku.

Degupan jantung terasa lebih kuat. Tanganku seolah-olah menjadi beku tetapi peluh merenik di dahiku. Aku menarik nafas panjang dan cuba mengusir segala perasaan gemuruhku. Namun, kami baru sedar bahawa Farisya - pemegang watak utama kami - menghilang.

Semangatku yang tadinya membara serta-merta pudar. Tiada seorang pun rakanku yang mengetahui di mana Farisya berada. Perasaan bimbang mula menjirus deras dalam diriku. Apa yang harus kami lakukan? Masa tidak berpihak kepada kami. Apakah kami telah gagal?

Aku mengetap bibirku apabila terasa mataku panas membahang dan cuba menahan kuat air jernih daripada merembes keluar dari kelopak mataku.

Perasaan sedih bercampur marah melanda hatiku apabila memikirkan bahawa segala usaha, penat dan lelah kami hanya sia-sia sahaja.

“Cikgu, saya akan gantikan Farisya,” Qisya tiba -tiba bersuara.

Walaupun aku ragu dengan kemampuannya untuk membawa peranan watak utama dengan baik, aku terpaksa bersetuju. Namun, telahanku meleset.

Aku salah menilai Qisya selama ini. Tidak aku sangka bahawa Qisya seseorang yang berbakat dalam bidang lakonan, cuma dia tidak pernah menunjukkan kemahirannya itu. Buktinya, dia dapat melakonkan watak utama dengan sangat baik.

Malah, Qisya juga membawa pulang anugerah pelakon terbaik dalam peraduan drama tersebut. Lakonannya membuat semua terlopong dan terkesima.

Hanya selepas peraduan selesai, kami mendapat tahu bahawa Farisya terpaksa pulang ke rumah kerana berasa sangat pening dan mual. Dia turut menumpang gembira apabila mendengar khabar baik daripada kamu itu walaupun agak kecewa kerana tidak dapat mengambil bahagian pada tahun itu.

Aku pula sedar akan kesilapanku melalui peristiwa itu. Aku bertalu-talu meminta maaf kepada Qisya kerana sering mencemuh dan memperkecil kemampuannya selama ini. Aku benar-benar khilaf dan menyedari aku tidak seharusnya merendah-rendahkan kebolehan orang lain.

Kini, aku mengerti mengapa Cikgu Sarah berkeras untuk memberikan Qisya peranan sebagai pengganti walaupun kami tidak bersetuju - bak pepatah, hanya jauhari yang mengenal manikam.

KARYA: RUQAYYAH MUHAMMAD QOSIM
SEKOLAH: SEKOLAH TINGGI PEMERINTAH BUKIT PANJANG 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan