Images
  • gravel
    (Gambar fail: Jeremy Long)

#BeliaSG: Takdir

BERITAmediacorp: Apa sebenarnya dalam fikiran mereka yang pecah amanah ketika melakukan kesalahan? Ingin bersenang-lenang? Yakin tidak akan ditangkap? Yang pasti, 'Takdir' tidak akan menyebelahi mereka, seperti kisah dalam cerpen ini.

HIDUNGNYA dikepit. Namun, bau busuk dari tong sampah itu tetap dapat menusuk masuk ke lubang hidungnya. Tangan kirinya kemudian digunakan untuk mengibas lalat-lalat dekat tong sampah tersebut. Tsk! Menggangu sahajalah lalat-lalat ini!

Dia mendengus lalu terus mencari kotak-kotak dan kadbod yang boleh dia gunakan sebagai alas.

Kotak-kotak yang dipungut dari tong-tong sampah dihamparkan di atas lantai konkrit. Mata Rosa memandang persekitarannya sebelum dia duduk bersila di atas kotak itu.

Dia menjulurkan kakinya yang lenguh selepas puas dia berjalan selama tiga jam di kawasan itu. Rosa mengurut otot-otot kakinya yang tegang.

Matanya terpandang pada sebuah bangunan yang terletak lima puluh meter bertentangannya.

Tanpa disedari, dia mula menggigil. Titisan air hujan mula gugur dari awan-awan gelap di langit mendung. Baju kemeja berbutang yang berjenama basah kuyup.

Tidak lama kemudian, siren kereta polis kedengaran...

****

Lia mengintai skrin komputer riba Rosa. Matanya terbeliak apabila dia ternampak bahawa Rosa sedang berbelanja dalam talian pada waktu kerja.

Bukan itu sahaja, Rosa sedang menggunakan kad kredit milik syarikat E-fax untuk membuat bayaran barang-barang yang telah didaftar keluar.

“Kau sudah menyalahgunakan hak kau sebagai pengurus kewangan syarikat ini. Tindakan kau ini tidak betul, Rosa” Lia menasihati teman kerjanya itu.

“Kau tidak usah risau. Aku akan menanggung semua perbuatan aku ini. Kau tidak perlu berpura-pura untuk mengambil kisah tentang aku,” mendengar jawab Rosa yang berdesing di kupingnya, Lia menggeleng kepalanya lalu kembali menaip di komputer ribanya itu.

Rosa pula terus sedap berbelanja dalam talian sambil tersenyum-senyum sendiri.

Rosa sekarang berada dalam pejabat pengurus mereka. Encik Fadil agak terkejut akan jumlah wang yang di dalam bank akaun syarikat tidak sepadan dengan pembelanjaan syarikat.

Encik Fadil meminta Rosa untuk menyemak kembali dokumen-dokumen perbelanjaan syarikat. Rosa mengambil kembali fail-fail di atas meja Encik Fadil dan menghembuskan nafas lega pada saat dia menjejak keluar dari bilik itu.

Nasib baik Encik Fadil masih belum dapat tahu tentang perbuatannya. Tahulah dia bagaimana untuk ‘menyemak’ semula dokumen-dokumen syarikat.

Rosa memandu pulang ke rumah dalam kereta mewahnya. Dia meletakkan keretanya di tempat letak kereta yang berdekatan dengan rumah.

Sedang dia menuju ke bangunan kondominiumnya, Rosa terlihat seorang pengemis yang berehat di tepi jalan atas timbunan kotak-kotak.

Pengemis itu terus duduk tegak dan mengangkat tangan lalu meminta sedikit duit.

Rosa memandang pengemis itu dari hujung rambut ke hujung kakinya yang tidak berkasut. Dia menjeling panjang kepada orang itu. Rosa mengambil beberapa keping duit syiling dari koceknya lalu mencampakkannya.

****

Seminggu kemudian, Rosa dikejutkan dengan khabar beliau dipecat, sebaik sahaja pulang dari bercuti di Thailand.

Dia cuba menelefon Encik Fadil dan Lia tetapi panggilannya tidak dijawab.

Rosa mula berasa bingit. Apa yang sedang berlaku sekarang ini? Rosa mengeluh. Akhirnya dia memutuskan untuk ke bangunan E-fax.

Setibanya di bangunan tersebut, Rosa terus melulu ke arah pejabat Encik Fadil. Namun, dia dihalang oleh pegawai keselamatan di situ.

“Hanya kakitangan tempat ini yang dibenarkan di sini.”

“Saya Rosa, Pengurus Kewangan syarikat ini. Kamu tidak kenal saya?”

“Kamu sudah dipecat Rosa,” Encik Fadil menjawab ringkas lalu mencampakkan dokumen-dokumen ke arahnya.

Encik Fadil sudah tahu bahawa Rosa telah menyalahgunakan kuasanya, Rosa telah pecah amanah.

Encik Fadil mengerahkan pegawai keselamatan untuk mengusir Rosa dari situ. Rosa terus ketawa. Dia masih tidak percaya bahawa ini semua sedang berlaku.

Ini bukan mimpi. Dia menampar mukanya. Ini benar-benar, ini bukan mimpi! Tanpa dia sedari dia sudah dibawa keluar dari bangunan tersebut.

Dia terduduk di tepi jalan itu. Siren kereta polis semakin kuat kedengaran. Fikirannya berserabut. Jantungnya berdegup kencang.

Antara hujan yang semakin lebat dan tangisannya yang teresak-esak, Rosa mula tertawa, “Inilah takdirku. Takdir seorang penipu yang sombong akan kemewahan yang palsu selama ini. Ya, inilah takdirku.”

KARYA: NURUL SERI DAYANTI DENNY LIN
SEKOLAH MENENGAH ORCHID PARK 

- BERITAmediacorp/aq

Top