Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Separuh Jiwaku Hilang

Jika anggota keluarga tercinta mendapat tawaran memanjat tangga kerjaya di rantau lain, apakah anda akan membiarkannya pergi atau menjadi "batu penghambat"? 

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Separuh Jiwaku Hilang

(Gambar hiasan: Matthew Cooksey/Unsplash)

Diterbitkan : 25 Jun 2019 11:51PM Dikemas Kini : 26 Jun 2019 07:21AM

BERITAmediacorp: Jika anggota keluarga tercinta mendapat tawaran mendaki tangga kerjaya di rantau lain, apakah anda akan membiarkannya pergi atau menjadi "batu penghambat"? Cerpen tulisan pelajar ini mengisahkan penyesalan seseorang yang begitu mendalam kerana terasa seperti orang asing dalam kehidupan kembarnya sendiri. Apa pandangan anda mengenai isu ini?

ANGIN bertiup sepoi-sepoi bahasa, sedang sang bayu asyik menghembuskan nafasnya yang panjang itu. Aku mengulang kaji pelajaran bagi kuiz peribahasa yang akan diadakan pada keesokan harinya.

Tiba-tiba, aku terdengar teriakan begitu kuat. Sepantas kilat, aku bergegas ke arah bilik kembarku, Sarah.

Apabila aku melangkah masuk ke dalam biliknya, aku ternampak ayahku tersengih-sengih. Ibu dan Sarah pula berpelukan dan melonjak keghairahan.

Kegembiraan hati menujahkan keluar manik-manik jernih dari birai kolam mataku. Sarah ditawarkan untuk berlakon dalam sebuah rancangan Hollywood! Tiada perkataan yang dapat menggambarkan betapa gembira dan bangganya aku terhadap kembarku ini.

Namun, tatkala mendapat tahu Sarah akan berangkat pada minggu itu juga dan menetap di Amerika selama lima tahun, aku mula berasa bimbang dan sedih. Aku tidak sanggup berjauhan terlalu lama dengannya tetapi aku memilih untuk tabahkan diri dan menzahirkan kegembiraan - biarpun kesedihan dan kepiluan mula mencengkam jiwaku.

Masih jelas dalam ingatan hari kami sekeluarga menghantar Sarah ke Lapangan Terbang Changi. Aku tidak sampai hati menjadi batu penghalang yang menghambat impiannya. Aku memeluk Sarah seerat-eratnya sebelum dia memasuki dewan keberangkatan. Aku mencium pipinya yang sama gebu itu dan menyuruhnya untuk berjanji kepadaku agar terus memberi khabar - tidak kira menerusi kiriman mesej, panggilan telefon atau surat.

Sedar tak sedar, lima tahun berlalu dengan pantas. Sepanjang Sarah di sana, kami saling berhubung melalui ‘Skype’ dan e-mel. Ada kalanya kami bertukar-tukar gambar dan poskad.

Tanggal 29 Februari, kami menyambut ulang tahun yang ke-21 tahun.

Sarah menghubungi aku melalui aplikasi ‘Skype’ secara tiba-tiba sekitar waktu makan malam. Seperti biasa, hatiku melonjak keriangan kerana tidak sabar untuk menceritakan pengalaman aku di universiti. Dengan secepat mungkin, aku memanggil ibu dan ayahku untuk menjawab panggilan ‘Skype’ Sarah.

Sebaik-baik sahaja aku menjawab panggilannya, air muka Sarah bukan seperti biasa. Hatiku mula berdebar-debar. Apakah yang terjadi?

Jantungku patah seribu apabila Sarah memberitahu bahawa dia masih tidak dapat pulang ke rumah kerana dia telah menerima tawaran untuk berlakon dalam sebuah filem. Dia terpaksa tinggal di Amerika selama lima tahun lagi.

Remuk-redam jiwaku memberontak. Biarpun aku berkecil hati dengan keputusan Sarah, aku memaksa diri untuk bergembira dengan ibu dan ayahku. Sarah tersenyum lebar. Ibu dan ayahku mencurahkan tangisan kegembiraan kerana bangga dengan Sarah yang dapat mengejar impiannya untuk menjadi seorang pelakon terkenal.

Aku teringat kata-kata Sarah semasa di sekolah rendah tentang impiannya untuk menjadi terkenal. Aku tidak sanggup untuk menghalangnya. Aku turut tersenyum walaupun aku berasa amat kecewa.

Sekali lagi, aku memaksanya untuk berjanji agar sentiasa menelefon aku dan mengirimkan e-mel supaya aku dapat mengubati rasa rindu.

Beberapa tahun berlalu. Aku termenung memandang komputer ribaku yang serba gelap sambil menunggu panggilan ‘Skype’ daripada Sarah. Sudah berbulan-bulan berlalu sejak dia terakhir kali menelefon kami sekeluarga untuk bertanyakan khabar.

Dia juga sudah lama tidak membalas mesej-mesej yang dikirim. Tiba-tiba, aku menerima sepucuk e-mel daripada pengurus Sarah yang mengatakan bahawa Sarah dicalonkan sebagai pelakon wanita terbaik dalam Anugerah Perfileman yang berprestij dan dia harus meneruskan perjuangannya di rantau orang.

Aku seakan tidak percaya dia sanggup mengabaikan aku dan ibu bapaku demi mengejar populariti.
Tiada sebarang panggilan langsung. Adakah aku ini sudah dianggap sebagai orang asing baginya?

Aku menutup komputer ribaku sambil menangis teresak-esak. Sarah sudah aku anggap bagai kacang yang melupakan kulit.

Hari Raya Puasa tiba lagi. Aku, ibu dan bapaku meraikan sambutan istimewa ini tanpa Sarah sekali lagi dan mengambil gambar keluarga.

Tanpa diduga-duga, aku menerima sepucuk e-mel.

Daripada Sarah? Bisik hatiku.

Aku membuka e-mel tersebut. Air mataku menitis perlahan-lahan.

Sarah mengirimkan sekeping e-kad gambarnya dan kawan-kawannya memakai baju kurung di tempat kerja mereka tanpa apa-apa catatan. Perasaan marah meluap-luap di dada.

Aku tidak sangka bahawa dia tidak rasa rindu langsung kepada kami. Aku berasa sakit hati dan kecewa. Dia semakin terasing daripada keluargaku. Aku bergegas ke bilikku dan mendirikan solat zohor.

Ya Tuhan, berikanlah aku kekuatan. Ampunilah dosa-dosa Sarah dan tunjukkanlah kepadanya bahawa kami sekeluarga merinduinya. Semoga Sarah terbuka hatinya untuk pulang ke Singapura.

KARYA: NUSAYBAH ABDUL RAMAN
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH TANJONG KATONG  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan