Skip to main content

Iklan

Iklan

Nadi Kampus

#BeliaSG: Selagi Masih Ada Kudrat

Kadang niat murni kita disalah anggap. Bagi watak 'Amin' dalam karya pelajar ini, rakan-rakannya mula menjauhkan diri kerana beliau suka meluangkan masa melakukan kerja-kerja sukarelawan. Ada juga yang menuduhnya ingin menunjuk-nunjuk. Anda pernah berdepan dengan situasi seperti ini?

Anggaran Waktu Membaca:
#BeliaSG: Selagi Masih Ada Kudrat

(Gambar hiasan: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 29 Jan 2020 08:32PM Dikemas Kini : 29 Jan 2020 08:46PM

BERITAmediacorp: Kadang niat murni kita disalah anggap. Bagi watak 'Amin' dalam karya pelajar ini, rakan-rakannya mula menjauhkan diri kerana beliau suka meluangkan masa melakukan kerja-kerja sukarelawan. Ada juga yang menuduhnya ingin menunjuk-nunjuk. Anda pernah berdepan dengan situasi seperti ini?

AMIN menghulurkan beberapa syiling dan sebotol air minuman kepada Pak Samad. Dia hanya mampu mendermakan air minuman itu, kerana dirinya sendiri sedang menahan dahaga dek cuaca yang panas terik.

Sudah lama Amin mengenali Pak Samad yang selalu meminta sedekah di kaki lima. Walaupun segelintir jiran tetangga mencurigai lelaki uzur itu, Amin tidak menghiraukan cemuhan mereka dan akan cuba sedaya upaya menolong Pak Samad setiap hari. Jika sehari tidak bertemu Pak Samad, hatinya tidak tenteram.

Setelah pulang ke rumah, Amin mencapai buku catatannya. Setiap kali Amin menderma atau melakukan kerja-kerja sukarelawan, dia akan mencatatkannya di dalam buku itu.

Berbunga-bunga hatinya apabila dia melihat catatan itu hampir penuh. Dia tidak sabar untuk berkongsi perkara ini dengan ibunya. Amin mahu ibunya berasa bangga.

Sebenarnya, semangat Amin untuk menyumbang kepada masyarakat berputik sejak dia melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Pelangi pada cuti sekolah Jun yang lalu.

Amin berbesar hati apabila diberitahu bahawa kelas-kelas Bahasa Melayu yang dikendalikannya untuk kanak-kanak di rumah tumpangan itu, amat dihargai. Mereka menjemput Amin untuk kembali menabur bakti pada cuti sekolah Disember.

Walaupun sibuk sebagai seorang mahasiswa di universiti, Amin berminat dalam bidang sukarelawan sejak menonton filem yang mengisahkan tentang jerih payah seorang anak angkat yang dibesarkan oleh keluarga angkatnya. Sejak menonton kisah itu, pandangan Amin terhadap golongan yang memerlukan mulai berubah.

Amin sedar bahawa setiap golongan yang memerlukan pasti ada kekurangan dan kelebihan masing-masing, serta memiliki jalan hidup yang berbeza-beza. Ada yang tidak berkeluarga, ada yang dihimpit masalah kewangan dan ada yang kurang upaya.

Amin bersyukur kerana dikurniakan segala kemewahan walaupun dia seorang anak yatim. Ayahnya sudah meninggal dunia dan ibunya yang menyara kos kehidupan mereka seorang diri.

Tidak dapat dinafikan bahawa Amin prihatin akan jumlah peminta sedekah yang semakin meningkat di sekitar kawasan itu. Maka itu, walaupun Amin tidak memiliki wang jajan yang mencukupi, dia tetap akan berusaha untuk menghulurkan apa yang dia ada kerana dia percaya, setiap pertolongan pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap golongan yang memerlukan.

Seperti yang dirancang, Amin akan melaksanakan kerja-kerja sukarela pada musim cuti sekolah. Keterujaan untuk memulakan tugas berbunga-bunga di hati Amin. Lalu Amin berjalan ke Rumah Warga Emas Sayang yang terletak di Lorong Awani, agak jauh dari rumahnya.

Amin ditugaskan untuk menyediakan makanan tengah hari bagi warga emas di sana. Walaupun Amin sudah lama berkhidmat untuk membantu golongan yang memerlukan, tugas ini merupakan sebuah pengalaman yang baru.

Sebelum ini, Amin hanya mendermakan duit kepada pelbagai pertubuhan amal, membantu menjaga kanak-kanak di rumah anak yatim dan sebagainya. Namun dia tidak pernah menjaga golongan warga emas. Niat Amin ialah untuk menolong golongan yang memerlukan supaya mereka turut merasakan kasih sayang daripada masyarakat.

Berkhidmat sebagai seorang sukarelawan di Rumah Warga Emas Sayang merupakan kegiatan harian Amin sepanjang musim cuti sekolah. Meskipun, ramai kawan sekolah mengajaknya keluar bersama-sama, Amin lebih rela meluangkan masa bersama keluarganya ataupun menjadi sukarelawan di sesebuah acara bagi mendapatkan dana untuk golongan yang memerlukan di Singapura.

Amin akan menjelaskan kepada mereka tentang urusannya dan berharap mereka memahami niat murninya untuk membantu golongan tersebut.

Namun, tanpa diduga ramai kawan Amin menjauhkan diri. Mereka bahkan mengumpat tentang Amin. Mereka menghina Amin dan menuduhnya Amin sombong kerana menjauhkan diri daripada mereka. Ada juga yang menganggap Amin sengaja mahu menarik perhatian orang lain dan menunjuk-nunjuk.

Sememangnya, membantu golongan yang memerlukan ini penuh dengan cabaran. Amin percaya bahawa satu hari nanti, tindakannya akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada dirinya.

Amin bangga terhadap dirinya sendiri setelah menurut kemahuan hatinya dan menempuh pelbagai cabaran. Bagi Amin, dia akan terus membantu selagi kudrat masih ada.

KARYA: NUR DINAH MOHAMED
SEKOLAH: SEKOLAH MENENGAH TANJONG KATONG  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan